Sunday, June 5, 2016

Selamat Hari Lahir Ibu & Abah

Tiada perkara yang menggembirakan selain melihat anak-anak dan isteri saya menyediakan Kek Hari Lahir untuk Ibu dan Abah saya dan menyambut Hari Lahir bersama-sama. 

Berbudilah pada Ibu Bapa dan Keluarga serta raikanlah mereka kerana itulah aset kita yang paling bernilai untuk dibawa ke akhirat nanti.

Wednesday, June 1, 2016

Leicester City

Liga Perdana Inggeris (EPL) telah melabuhkan tirainya dengan kejuaraan dirangkul buat julung kali oleh Leicester City, iaitu sebuah pasukan kerdil dalam EPL yang pastinya mengejutkan majoriti peminat dan lawan mereka. Nama besar seperti Manchester United, Chelsea, Arsenal dan Manchester City terkedu apabila melihat piala idaman mereka terlepas begitu sahaja.

Leicester City bukanlah nama besar di EPL dan Eropah dan tidak mempunyai pemain berstatus bintang. Bahkan, pasukan ini diramal akan bergelut dari tersingkir ke liga bawahan pada awal musim. Namun, pemain berstatus bintang atau berkelas Dunia bukanlah syarat utama kejayaan sebuah pasukan. Ini pernah dibuktikan oleh Greece yang menjuarai Euro 2004 walaupun tanpa pemain berstatus bintang.

Justeru itu, di manakah letaknya kekuatan Leicester City? 

Kejayaan sebuah pasukan lebih terserlah dengan semangat berpasukan dan bukannya bergantung kepada "pemain bintang" semata - mata. Nama-nama besar seperti Wayne Rooney, Fabregas, Sergio Aguero dan Diego Costa, jelas tidak mampu melonjakkan pasukan mereka menjadi juara. Sebaliknya, semangat berpasukan mampu terus membawa seluruh pasukan terus maju ke hadapan meskipun siapa saja pemainnya.

Dalam membina sebuah pasukan yang mantap, pembangunan akar umbi sangat penting bagi sebuah pasukan bola sepak. Sebuah pasukan boleh dibina sejak dari akar umbi hingga menjadi sebuah pasukan yang kuat. Secara tidak langsung, nama-nama besar juga akan dilahirkan. Sebuah pasukan tidak perlu berbelanja besar untuk membeli nama - nama besar, sebaliknya perlu fokus pada pembangunan akar umbi. Artikel saya terdahulu - http://imam-abuhanifah.blogspot.my/2015/09/pembangunan-akar-umbi.html.

Begitu juga dalam dakwah. "Nama Besar" di dalam dakwah merupakan satu kelebihan tetapi bukanlah syarat utama kejayaan dakwah. Dakwah masih terus dan laju berjalan jika kader-kader bekerjasama dalam sebuah organisasi. Justeru itu, amal jamaie sangat penting dalam menggembeleng keseluruhan tenaga di dalam dakwah. Pastinya dakwah tidak akan hidup lama jika diletakkan di atas bahu seorang individu. Siapa pun kita dan apa pun latar belakang kita, bukannya isu besar. Yang penting, sumbangan kita di dalam dakwah ini. Di dalam dakwah dan tarbiyah juga, kita akan terus membina manusia "from zero to hero", hinggalah dakwah ini begitu unggul pada peribadi dan organisasi.

Jauhilah rasa rendah diri jika kita bukanlah "nama besar" di dalam dakwah ini. Sifat dalam dakwah dan tarbiyah ini adalah membina manusia menjadi peribadi yang unggul. Jika Leicester City mampu melonjak dengan semangat berpasukannya, mengapa tidak kita?