Tuesday, May 9, 2017

Pelapis Dakwah

Saya tertarik dengan artikel ini berkaitan pembangunan akar umbi dalam kelab bola sepak - https://www.thesukan.com/lima-rahsia-utama-as-monaco-lahirkan-pemain-muda-luar-biasa-baik/.

Pada tahun 90-an, saya masih ingat kepada Ajax Amsterdam, sebuah kelab yang dibarisi majoriti pemain muda yang dilahirkan melalui akademinya sendiri, dan dengan barisan pemain mudanya, kelab ini muncul juara di peringkat Eropah. Bahkan, di kala ini, bukan hanya Ajax Amsterdam dan Monaco sahaja, kebanyakan kelab bola sepak antarabangsa mempunyai akademi yang mencetak pemain sejak di peringkat remaja lagi.




Seperti mana yang terkandung di dalam artikel di atas, pembinaan potensi di peringkat kanak - kanak dan remaja begitu penting dalam kekuatan pasukan untuk jangka masa panjang. Jika mereka bermula pada umur 12 tahun, terdapat tempoh masa sekitar 6 - 8 tahun untuk dibina potensi mereka sebelum bergelar pemain professional. Pada masa ini lah, potensi mereka dicari, dicungkil, dibentuk, dicorak dan dipelbagaikan. Berdasarkan ini, mungkin ini adalah antara punca di mana kualiti bola sepak Malaysia jauh ketinggalan di peringkat dunia, mahupun peringkat Asia kerana tiadanya program pembangunan akar umbi.

Maka, sangat penting program di peringkat akar umbi ini, bukan sahaja untuk Kelab Bola Sepak, tetapi seharusnya perlu wujud bagi Parti Politik, Persatuan Masyarakat, NGO Dakwah dan lain - lain bagi membina pelapis organisasi. Jika untuk pembangunan sukan itu sendiri banyak yang dilaburkan untuk membina bintang - bintang baru, kenapa tidak dilaburkan untuk Pemimpin Belia dan Ahli Politik yang hebat?

Negara kita umpama "kaku" apabila terus dipimpin oleh orang - orang lama, bahkan semakin teruk apabila berlakunya perseteruan politik di kalangan 'dinasour politik'. "Kekakuan" itu perlu dicairkan dan alangkah bagusnya jika NGO dan Parti Politik dipimpin oleh tokoh yang berumur sekitar 40 ~ 50 tahun, dan sebaiknya umur Pak Menteri kita juga harus di dalam lingkungan begitu supaya lebih bertenaga dan tidak merapu.

Maka, di dalam dakwah ini juga perlu diberi perhatian pada pembinaan pelapis dan kader - kader muda. Tidak ada yang sukar dan mustahil bagi membina kader sejak dari usia muda remaja seperti yang diqudwahkan oleh Rasulullah s.a.w.. Sejak zaman dahulu lagi, bahkan jauh sebelum Islam muncul di muka bumi, para Nabi dan Rasul yang diutus untuk menyampaikan wahyu Allah s.w.t dan syariat-Nya kepada umat manusia, semuanya adalah orang-orang yang terpilih dari kalangan pemuda yang berusia sekitar empat puluhan. Bahkan, ada di antaranya yang diberi kemampuan untuk berdebat dan berdialog sebelum umurnya genap 18 tahun. Berkata Ibnu Abbas r.a., "Tidak ada seorang Nabi pun yang diutus oleh Allah, melainkan ia (dipilih) dari kalangan pemuda sahaja (iaitu antara 30 - 40 tahun). Begitu pula tidak seorang 'Alim pun yang diberi ilmu melainkan ia (hanya) dari kalangan pemuda sahaja." Justeru itu, dakwah juga perlu melihat pembangunan pada kanak-kanak, remaja dan belia. Ianya bukanlah sesuatu yang baru, kerana ketika awal dakwah Rasulullah, kebanyakan yang mendokong dakwah Rasulullah ialah anak-anak muda dan remaja! Tahap pengkaderan pada tarbiyah pertama di Darul Arqam merangkumi Ali bin Abu Talib (8 tahun), Zubair bin Awwam (8 tahun), Talhah bin Ubaidillah (11 tahun), Saad bin Abi Waqas (17 tahun) dan Mushab bin Umair (24 tahun).

Bahkan, kader muda di peringkat remaja ini lah yang akan menggegarkan dakwah di Universiti dan di alam kerjaya apabila meningkat dewasa. Jika akademi Ajax Amsterdam dan Monaco melahirkan bintang berdarah jenis "B - Bola", maka akademi dakwah harus mencetak kader berdarah jenis "D - Dakwah"!

Memang benar peribahasa - "Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya." Maka, begitu juga halnya dengan dakwah dan tarbiyah. Organisasi dakwah tidak patut hanya merangka pelan pembangunan pada waktu sekarang sahaja. Ianya perlu dimasukkan juga pelan pembangunan untuk jangka masa panjang. Ini penting supaya tiada ketandusan dalam pelapis dakwah pada masa akan datang. Bahkan, pelapis dakwah yang dilahirkan kelak adalah mengikut acuan organisasi yang diidamkan dari segi kehebatan dan kepelbagaian mereka itu sendiri.

Maka, demi keberlangsungan dakwah di arus perdana, perancangan dakwah tidak harus ketinggalan dengan perancangan pembangunan akar umbi bola sepak. Dakwah juga harus dibangunkan dengan pembangunan akar umbi sama ada kanak-kanak, remaja dan belia supaya akan lahir generasi muda yang akan menjadi generasi utama dan generasi pengganti pimpinan pada masa akan datang.


Wallahu'alam