Beberapa minggu yang lepas, saya baru sahaja menyertai Program ‘Family Day’ di Nur Lembah Lenggong, Perak Darul Ridzuan. Sudah lama menantikan program sebegini untuk mengeratkan kembali ukhwah-ukhwah yang renggang dek kejauhan. Boleh sahaja diibaratkan sebagai reunion untuk bertemu dengan rakan-rakan seperjuangan yang lama. Sudah tentunya, Family Day kali ini disertai oleh sahabat-sahabat yang berbeza umur, berbeza pekerjaan, berbeza kursus pengajian, berbeza status, berbeza pengalaman dan juga berbeza pendapat. Tetapi, itu tidak sedikit pun menghalang berukhwah dalam menjalankan aktiviti. Ternyata, nostalgia semasa berada di Universiti Sains Malaysia sesi 2002 – 2006 muncul kembali khususnya apabila berada dalam jalan tarbiyah bermula Julai 2003 hingga sekarang.
Di antara aktiviti-aktiviti yang masih dalam benak pemikiran ialah Flying Fox dan Malam Persembahan Islam. Ketika hendak melakukan terbangan flying fox, ternyata, perasaan gayat muncul lagi. Gayat pada ketinggian ditambah pula untuk menyeberangi kelebaran Sungai Perak menyebabkan saya berfikir berulang kali. Teringat ketika berada di Tingkatan 5, semasa menyertai Perkhemahan Pakaian Seragam, saya diminta mewakili PBSM untuk aktiviti flying fox. Melihat pada kedudukan launch yang amat tinggi, perasaan gayat terus menyelubungi diri. Lantas, terus meminta kawan lain untuk menggantikan. Tetapi, Alhamdulillah, kali ini, dapat juga melakukan terbangan walaupun gayat masih menghantui. Mungkin, melihat aksi-aksi yang menarik sahabat-sahabat menyebabkan perasaan gayat berkurangan.
Aduhai diri, ini baru aksi yang biasa atau enteng. Belum lagi aksi berkuda, berpedang, menyerbu dan diserbu. Andai aksi yang enteng ini pun kau masih gayat, bagaimana dengan aksi yang lebih dasyat dari itu, pasti kau akan ketinggalan. Sudah tentunya, saya menantikan aktiviti-aktiviti yang lebih mencabar dari itu pada masa akan datang.
Ketika Malam Persembahan Islam, terserlahlah bakat lakonan, nyanyian, bersyair (‘sekali syair daa’), sketsa dan lain-lain pada diri setiap peserta. Sayangnya, belum ada sahabat-sahabat yang mampu melakukan persembahan terkini seperti tarian moon walking dan sebagainya.
Pada pendapat saya, hiburan dalam Islam tidaklah terhad hanya kepada nasyid sahaja. Tiada masalah untuk mendengar lagu-lagu berunsur pop atau balada selagi bentuk penyampaian dan lirik tidak terpesong atau lari dari jalan Islam.
Sebagai contoh: “Bagaikan syurga tanpa bidadari....” – lirik Sonata Musim Salju.
“Sungguh, orang-orang yang bertakwa berada dalam tempat yang aman. (Iaitu) di dalam taman-taman dan mata air – mata air. Mereka memakai sutera yang halus dan sutera yang tebal, (duduk) berhadapan. Demikianlah, kemudian Kami berikan kepada mereka pasangan bidadari yang bermata indah.” (Ad-Dukhan, 44: 51-54)
Bagaimana mungkin tiada bidadari dalam syurga sedangkan di dalam Al-Quran, jelas-jelas mengatakan bidadari itu wujud dalam syurga. Meskipun ramai dari kita beranggapan, lirik itu hanyalah kiasan, tetapi biarlah kiasan itu tepat dan tidak menafikan ketetapan Allah. Masih terdapat banyak lirik-lirik lagu yang jelas terpesong dari jalan Islam secara sedar atau tidak seperti Cintaku 100% dan lain-lain (saya pun dah tak ingat, banyak sangat kot).
Saya tertarik dengan usaha Tuan Guru Nik Aziz yang sudah mendekati penyanyi rock ulung negara, Amy Search. Semoga usaha beliau mampu kita ikuti untuk mentarbiyah jiwa-jiwa peminat seni. Tarbiyah bukanlah untuk mengubah jiwa seni seseorang itu tetapi bagaimana hendak kita mengambil manfaat potensi yang ada pada diri sesorang untuk Islam. Seharusnya, kita perlu mengubah persepsi masyarakat bahawa hanya lagu nasyid yang harus didengar manakala hiburan yang lain haram hukumnya. Saya masih belum mampu untuk menjelaskan secara terperinci berkaitan dengan hiburan ini. Cuma, pernah tak kita terfikir, andainya Islam memerintah Malaysia ini, adakah hanya irama nasyid yang berkumandang di radio dan televisyen? Sudah tentu masyarakat atau para dai’e harus mencari alternatif dalam hiburan Islam dan bukan hanya menghukum atau mengharamkan sesuatu bentuk hiburan.
Irama Nasyid juga semakin lama semakin perlahan momentumnya berbanding pada pertengahan era 90-an yang menampilkan Raihan, Rabbani dan Hijjaz yang mempunyai aura yang tersendiri. Album ‘Puji-Pujian’ dari Raihan yang mencatatkan kutipan 600 000 unit masih belum dapat diatasi hingga sekarang. Pemergian Ustaz Asri bin Ibrahim (vokalis utama kumpulan Rabbani) ke rahmatullah pada minggu lepas sudah tentunya memberi kesan yang cukup mendalam kepada penggiat nasyid, penggemar nasyid dan aktivis dakwah. Ternyata, masyarakat sekarang menantikan kembalinya hiburan-hiburan alternatif terutamanya irama nasyid yang menyampaikan mesej dakwah seperti yang dibawa oleh Raihan, Rabbani, Hijjaz, Yusuf Islam, Ruhul Jadid, Shoutul Harakah dan Izzatul Islam.
Semoga dengan berlangsungnya Family Day atau Hari Keluarga ini, terus merapatkan ukhwah sesama peserta. Semoga dengan ukhwah yang rapat menjadikan iman dan takwa semakin meningkat. Dengan ukhwah ini, sudah pastinya kita sedia terus mengembara dan memasuki ke alam masyarakat yang makin lama makin jauh dari Islam. Tetapi, usah dilupa kepada keluarga kita sendiri yang lebih dekat dengan diri kita.
“Sesungguhnya, orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.” (Al-Hujurat, 49:10)
“Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu (Muhammad) yang terdekat.” (Asy-Syu’ara’, 26: 214)
waa..mcm best je program family day..Nanti leh le ajak geng2 Taitsu g sana..hehe..Nak merasa gak flying fox..
ReplyDelete