Pada 29 Jun 2011 yang lepas, Futuwwah Training & Consultancy diundang untuk menyampaikan Forum bersempena Israk Mikraj di Maahad Tahfiz As-Saidiyah, Seremban. Justeru itu, pihak Futuwwah Training & Consultancy ini menampilkan tiga tokoh muda iaitu Cikgu Mohammad Khalid bin Zainol Abidin sebagai moderator dan dua orang ahli panel iaitu Ir Faridul Farhan bin Abd Wahab dan saya, Abu Hanifah bin Mohd Kamal.
Berikut adalah sedikit perkongsian dari saya mengenai soalan yang ditujukan kepada saya serta ringkasan jawapan dan rumusan yang diberikan.
Soalan 1:
Ustaz Abu, ketika Nabi SAW menceritakan perjalanan Israk Mikrajnya kepada kaum Quraisy, kebanyakan daripada mereka tidak mempercayai cerita Nabi SAW ini. Ini kerana, menurut mereka, perjalanan sebegitu (Mekah ke Baitul Maqdis, kemudian ke langit, “return flight”) menurut mereka adalah tidak logic. Namun anda sebagai seorang engineer, tentu tahu bahawa perjalanan sebegitu, dengan bantuan teknologi terkini, masih ada possibilitynya. Kebetulan, tamadun besar di zaman itu bukanlah bangsa Quraisy, sebaliknya Rom & Parsi. Merekalah yang menguasai tamadun ketika itu. Bahkan ada banyak hal-hal ajaib yang hingga kini manusia tidak dapat jelaskan, misalnya pembinaan Piramid, atau Stonage di U.K, dan sebagainya. Jadi soalan saya, apakah isu penolakan bangsa Quraisy terhadap cerita Israk Nabi SAW ini disebabkan kemunduran teknologi mereka, di mana kalaulah kisah Israk Mikraj ni diceritakan kepada bangsa Rom atau Pasi dan sebagainya, atau pun kita ada time machine di mana saudara sebagai engineer boleh kembali ke masa itu, saudara tidak akan terus menolak, lantaran ada kemungkinan perjalanan sebegitu ajaib masih boleh berlaku. Jadi apa pendapat saudara?
Jawapan: Saya nak bawa perbincangan tentang kemajuan teknologi terlebih dahulu. Di Jepun, semua maklum tentang kewujudan Bullet Train yang mampu mencapai kelajuan sehingga 300km/j berbanding di Malaysia di mana kelajuan Komuter hanya boleh sampai 120km/j. Sebenarnya, Bullet Train dibina pada tahun 1964 iaitu ketika itu Malaysia baru sahaja 7 tahun merdeka manakala Komuter di Malaysia hanya dibina penghujung 1990an. Jika berdasarkan kemajuan teknologi, sepatutnya keret api yang lebih laju lagi boleh dibina pada zaman sekarang. Contoh kedua, salah satu "Seven Wonders of the World" iaitu Giza Pyramid di Mesir yang dibina sekitar 2560 sebelum Masihi yang bermakna lebih 4000 tahun yang lepas. Ianya dibina setinggi 146.5 meter yang mengandungi 1,300,000 blok batu yang seberat 2.5 - 15 tan setiap satu. Percaya atau tidak? Kajian sejarah membuktikan yang ianya adalah benar. Pasti ada kemajuan teknologi yang mampu membina Pyramid segah ini. Contoh yang lain adalah pembinaan Petronas Twin Tower setinggi 451.9 meter dan kini bangunan yang paling tinggi adalah Burj Khalifa yang mempunyai ketinggian 828 meter. Maka, jika kita bercakap tentang teknologi, tidak mustahil akan wujud bangunan yang mempunyai ketinggian lebih dari 1 km suatu hari nanti. Kemajuan teknologi sebenarnya ada berkaitan dengan kemajuan manusia. Sebagai contoh, rekod dunia acara 100 meter pecut lelaki dipegang oleh Usain Bolt iaitu 9.58 saat. Maka, sama juga, tidak mustahil akan wujud "Hussin Bolt" yang akan berlari di bawah 9 saat. Ianya tidak mustahil jika berbicara tentang teknologi. Bagi diri kita yang tinggal di bandar dan terdedah dengan sains dan teknologi, kita mudah percaya tetapi bagaimana pula dengan orang yang tinggal di kawasan pedalaman? Adakah mereka percaya? Berbalik kepada persoalan tadi, kita imbas kembali peristiwa Israk Mikraj. Apabila Rasulullah menceritakan kepada kaum Quraisy, semua pakat gelak dan mengejek Nabi kerana tidak mempercayai cerita Nabi. Hanya Abu Bakar yang membenarkan dan mempercayainya. Memang layaklah digelar dengan gelaran As-Siddiq! Ibrahnya di sini adalah mewujudkan kepercayaan dalam diri seorang Muslim. Jika wujud kepercayaan dalam agama yang teguh dalam diri seorang Muslim, maka teguhlah dia hatta Islam itu dihina dan difitnah sebagai macam. Dan, jika tidak wujud kepercayaan yang kuat, berilah apa pun, tunjukkanlah bukti apa pun, maka dia tetap tidak mempercayainya meskipun buktinya adalah sesuatu yang menunjukkan teknologi yang sangat hebat. Rujuk dalil (55: 33) dan (49: 15).
Soalan 2:
Ustaz Abu, saudara terlibat di NIOSH yang terbabit dengan industri keselamatan di Negara kita. Soalan saya, apakah perjalanan Israk mahu pun Nabi SAW itu “selamat”? atau, apakah pemilihan buraq, tempat berlepas dan sebagainya mempunyai kaitan dengan keselamatan perjalanan Nabi SAW itu sendiri?Bagaimana dengan operation Nabi oleh malaikat Jibril, kalau berdasarkan kajian NIOSH, apakah operation di waktu kerja atau ketika tengah peak hour (sibuk) selamat untuk dilaksanakan?
Jawapan: Bila bercakap tentang "safety" atau selamat, motto yang paling biasa digunakan ialah "Safety First". Baru-baru ini, seorang trainer memberitahu bahawa beberapa pengamal keselamatan di seluruh dunia mencadangkan 1 motto yang lebih sesuai iaitu "Safety Starts From Me". Bagi saya pula, jika kita berbicara soal keselamatan dalam agama, maka lebih sesuai motto itu diubah kepada "Keselamatan Bermula Dari Saya Dengan Keizinan Allah". Keselamatan penting di mana-mana sahaja kerana bahaya menunggu tidak mengira tempat dan masa. Meskipun berada di rumah ataupun di surau, ada unsur-unsur yang boleh mendatangkan bahaya kepada kita, maka perlu mengutamakan keselamatan di mana-mana sahaja. Berbalik kepada soalan, sebenarnya tidak timbul isu selamat atau tidak jika ianya adalah perintah dari Allah. Lihat sahaja, ibadah Haji di Mekah yang menghimpunkan berjuta-juta ummat namun keselamatan tetap terjaga kerana ianya adalah ibadah kepada Allah. Tapi, tidak dapat disangkal ada juga berlakunya kejadian yang tidak diingini semasa musim Haji namun nisbahnya agak kurang. Banyak kisah, di mana, meskipun keselamatan itu diutamakan tetapi tetap juga berlaku kecelakaan. Yang paling penting sekarang ialah kita berdasarkan kepada agama. Keselamatan akan punah jika di sekeliling kita tidak berdasarkan kepada agama. Lihatlah peristiwa stadium baru yang runtuh, siling hospital yang roboh dan lain-lain lagi. Ini berpunca akibat khianat dan tidak amanah. Tetapi jika kita sebagai seorang Muslim melakukan kerja dengan amanah di samping menjaga aspek-aspek keselamatan, insya Allah segala-galanya Allah jaga.
Soalan 3:
Dalam peristiwa Israk Mikraj, terdapat kisah di mana dada Rasulullah dibedah dan hatinya dibersihkan. Adakah itu menunjukkan bahawa hati Rasulullah kotor?
Jawapan: Pada pendapat saya, itu hanyalah simbolik dalam penyucian jiwa. Dalam berdakwah kepada masyarakat (horizontal) perlunya Rasulullah menjaga hubungan dengan Allah (vertical), maka itulah pentingnya penyucian jiwa kerana hanya Allah yang memberi kekuatan untuk Nabi berdakwah. Sama juga lah dengan para daie. Itulah sebabnya perlu dijaga amalan-amalan wajib dan sunah seperti Tilawah Al-Qura, Qiamullail dan Solat Fardhu berjemaah. Nabi Musa apabila hendak berhadapan dengan Firaun yang mempunyai kekuatan dan pengaruh yang kuat di samping seorang pemidato yang hebat, turut meminta pertolongan Allah. Rujuk (Taha, 20: 25 - 28). Hasilnya, Allah memberi kemenangan kepada Nabi Musa dan itulah yang boleh kita ambil pengajaran.
Kesimpulan:
Petikan dari buku bertajuk "Quantum Tarbiyah" karangan Solikhin Abi Izzuddin, "Rasulullah seringkali menceritakan kepada para sahabat mengenai perjalanannya, Mikraj baginda menghadap Allah. Baginda sering pula menceritakan bagaimana keadaan syurga yang dijanjikan Allah kepada sahabat-sahabatnya. Suatu hari ketika Rasulullah dimikrajkan menghadap Allah, malaikat Jibril memperlihatkan kepada baginda taman-taman syurga. Rasulullah melihat ada sekumpula bidadari yang sedang bercengkerama. Ada seorang bidadari yang begitu berbeza dari yang lainnya. Bidadari itu menyendiri dan tampak sangat pemalu. Rasulullah bertanya kepada Jibril, "Wahai Jibril, bidadari siapakah itu?" Jibril menjawab, "Bidadari itu adalah diperuntukkan bagi sahabatmu Umar. Pernah suatu hari, ia membayangkan tentang syurga yang kau ceritakan keindahannya. Ia menginginkan untuknya seorang bidadari yang berbeza dari yang lainnya. Bidadari yang diinginkan itu berkulit hitam manis, dahinya tinggi, bahagian atas matanya berwarna merah dan bahagian bawah matanya berwarna biru serta memiliki sifat yang sangat pemalu. Kerana sahabatmu itu selalu memenuhi kehendak Allah, maka saat itu juga Allah menjadikan seorang bidadari untuknya sesuai dengan apa yang dikehendaki hatinya." Begitulah bidadari istimewa yang diperuntukkan khusus, hanya buat Umar, seorang sahabat yang sangat ditakuti syaitan. Beza sangat dengan kita, tidak ditakuti syaitan, tapi barangkali malah lebih disenangi syaitan, Na'uzubillah."
Wallahua'lam