Thursday, November 24, 2011

Monopoli

Dalam ekonomi, istilah Monopoli merupakan penguasaan sepenuhnya terhadap sesuatu barangan perdagangan atau perkhidmatan dalam pasaran tertentu oleh seseorang atau sesebuah syarikat. Sebagai contoh, di sebuah daerah, hanya terdapat sebuah kedai runcit. Kedai tersebut berpotensi menaikkan harga sesuka hati atau tidak melaksanakan layanan pelanggan dengan baik tanpa risaukan persaingan. Jika kedai tersebut menaikkan harga barang sesuka hati pun, kedai tersebut akan terus dikunjungi pelanggan. Ini disebabkan tiada persaingan ataupun monopoli. Bagaimana keadaannya sekiranya banyak kedai runcit di daerah yang sama? Maka tidak timbullah isu monopoli kerana setiap kedai akan menawarkan harga yang terendah dan servis yang terbaik untuk menarik pelanggan.

Justeru itu, penggabungan Malaysian Airline System (MAS) dengan Air Asia seharusnya mengundang kegelisahan kepada pengguna kapal terbang. Ini kerana, jika sebelum ini, kedua-dua syarikat tersebut sering bersaing untuk meraih keuntungan dengan cara tersendiri. Jika MAS yang merupakan syarikat penerbangan terulung dan senior di Malaysia manakala Air Asia pula yang terkenal dengan penerbangan tambang murah yang sinonim dengan motto "Now Everyone Can Fly". Persaingan di antara kedua-dua syarikat sebelum ini sebenarnya memberi keuntungan kepada pengguna kapal terbang disebabkan persaingan untuk mendapatkan pelanggan. Namun, persoalan yang timbul sekarang, adakah penggabungan kedua-dua syarikat tersebut turut menggalakkan keuntungan kepada pengguna atau sebaliknya? Ataupun, penggabungan ini akan menyebabkan berlakunya monopoli yang akan membebankan pengguna?




Oleh itu, monopoli ini akan mengakibatkan suasana yang tidak sihat dalam bidang ekonomi. Jika berlakunya monopoli oleh sesebuah syarikat, nak tak nak, khidmat syarikat tersebut terpaksa digunakan walaupun servisnya teruk, harganya meningkat dan sebagainya.

Betapa indahnya Islam, yang dipenuhi dengan perbezaan pendapat. Pelbagai aliran mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafi'e dan Hambali menunjukkan kekayaan ilmu, hujah dan pendapat di kalangan mazhab. Para imam mazhab sendiri menunjukkan rasa hormat dan berlapang dada apabila berhadapan dengan pengikut mazhab yang lain. Perbezaan ini menunjukkan kekayaan bagi orang Islam dan tidak sepatutnya berlakunya gejala taksub mazhab dan bergaduh akibat hal ini. Sama juga halnya dengan kepelbagaian aliran jama'ah yang wujud di serata dunia dan tidak terkecuali di Malaysia. Wujudnya Ikhwanul Muslimin, Hizbut Tahrir dan Tabligh yang cukup terkenal dengan corak dakwah di serata dunia. Jika di Malaysia pula, wujud pula Pas, Ikram, Isma, Haluan, Tabligh dan sebagainya yang masing-masing mempunyai matlamat yang sama, cuma prinsip dan gerak kerja yang berbeza. Sama juga dengan kepelbagaian mazhab, tidak sepatutnya berlaku taksub pada jama'ah dan bergaduh akibat ini.

Cuma bayangkan jika di dunia ini hanya ada satu aliran mazhab? Cuba juga bayangkan jika hanya ada satu aliran jama'ah? Atau, cuba bayangkan jika di Malaysia hanya ada satu aliran mazhab (orang dari luar negara dilarang sama sekali melaksanakan mazhab lain) dan hanya ada satu aliran jama'ah sahaja? Adakah menarik? Bagi saya, inilah dia monopoli!! Tidak ada persaingan dan tidak ada pilihan untuk orang Islam melakukan kebaikan dengan corak yang berbeza.

Firman Allah: "Kemudian, Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, ada yang pertengahan dan ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah Yang demikian itu adalah karunia yang besar." (Fatir, 35: 32)

Maka, beruntunglah orang Islam dengan tiadanya sistem monopoli untuk melakukan kebaikan. Banyak pilihan dan bergantung kepada setiap individu untuk memilih jalan masing-masing. Jika seseorang itu sesuai untuk berjuang dengan sesuatu aliran jemaah untuk menegakkan Islam, ayuh, teruskanlah perjuangan. Laksanakanlah gerak kerja sebaik mungkin dan di samping itu, peliharalah hubungan yang harmoni dengan sahabat-sahabat di dalam aliran yang lain. Inilah ukhwah yang diidam-idamkan, bukan hanya berkata-kata, tetapi turut melaksanakan. Ayuh, fastabiqul khairat....

Wednesday, November 9, 2011

Kamu Perlu Merubah Dunia Ini... Walaupun Kamu Keseorangan

Masyarakat muslim cukup unik binaan strukturnya. Islam mendidik individu-individunya agar setiap orang daripada mereka menjadi satu unit yang lengkap lagi melengkapi. Dia seumpama batu-bata yang teguh, disusun bersama batu bata yang lain dalam binaan yang besar.

Proses ini bermula sejak pembentukan masyarakat Islam pertama di bawah petunjuk Nabawi. Antara seruan pertama Islam ialah sabda Rasul s.a.w (yang bermaksud):

“Allah memberi hidayah melalui kamu seorang lelaki lebih baik bagi kamu daripada unta Humr an-Ni’am(jenis unta yang paling tinggi nilainya)” (Muttafaq ‘alaih)

Semenjak saat itu, setiap individu daripada generasi awal Islam memikul fikrah Islamiah dan aqidah yang murni dalam pemikiran mereka, begitu juga keimanan yang mendalam dan mantap di dalam jiwa-jiwa mereka.

Sehingga ianya terserlah dalam kata-kata, tingkah laku dan gerak diam mereka. Setiap individu di kalangan mereka seolah-olah membentuk sebuah umat. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w terhadap peribadi Abu ‘Ubaidah al-Jarrah: “Dia diutuskan sebagai sebuah umat”

Khalid al-Walid di medan perang mewakili sebuah umat. Beliau bertanggungjawab melemah dan menumbangkan Rom di tanah Arab.

Abdul Rahman bin ‘Auf di dalam bidang ekonomi mewakili sebuah umat. Dialah yang berperanan memecahkan monopoli Yahudi di Madinah yang sekian lama sebelumnya menguasai kegiatan ekonomi Madinah.

Umar al-Khattab dalam soal keadilan mewakili sebuah umat. Lorong-lorong Madinah dijelajahinya untuk menangani permasalahan rakyat. Gabenor dan penguasa dihimpun setiap tahun untuk dikaji siasat. Perhimpunan haji saban tahun dijadikan tele-aduan umat.

Mus’ab bin ‘Umair pula dalam usaha da’wah mewakili sebuah umat. Tiada satu rumah di Madinah melainkan dimasuki sinar da’wah Islamiah dan petunjuk al-Quran.

Mu’az bin Jabal dalam soal halal haram mewakili sebuah umat. Zaid bin Thabit dalam soal hukum hakam pusaka mewakili sebuah umat. Banyak dan banyak lagi contoh individu di kalangan mereka yang sedemikian.

Benarlah kata-kata mereka yang menyifatkan:
“Suara Qa’qa’ di medan perang menyamai seribu pahlawan”. Bukankah beliau mampu menyusun kembali tentera muslimin yang kucar kacir, menaikkan semangat juang mereka, mengacau bilaukan musuh, mencari titik kelemahan mereka dan lain-lain lagi.

Setiap seorang daripada mereka hanyalah seorang individu, tetapi dengan tekad kemahuan serta amal kerja, dia seolah-olah sebuah umat, mengubah wajah sejarah dengan usahanya itu. Sebagaimana yang dikatakan:

“Amal praktik seorang lelaki di kalangan seribu lelaki lebih baik daripada kata-kata seribu lelaki kepada seorang lelaki.”

Mereka berusaha seolah-olah tiada sesiapa di sekelilingnya yang turut bekerja bersamanya. Seolah-olah dia ingin memulakan binaan Islam dengan tangannya dan menyempurnakannya dengan tulang empat keratnya.

Kesungguhan inilah yang didapati oleh ‘Umar al-Khattab di kalangan tenteranya. Beliau berkata: “Sungguh mengkagumkan aku, panglima perang yang jika kamu melihatnya, kamu menyangkanya seorang tentera bawahan yang patuh. Mengkagumkan aku juga, tentera bawahan yang jika kamu menyaksikannya, kamu menyangkanya seorang panglima berkaliber”.

Lantaran ini, mereka telah merubah sejarah dunia, memimpin dan membinanya dengan baik. Tiada seorang pun di kalangan mereka yang memperkecilkan dirinya atau apa yang dilakukannya.

Mereka amat memahami sabda Rasulullah s.a.w:

“Sampaikan daripada aku walaupun sepotong ayat” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

Amal kerja dan sumbangan mereka tidak terhenti di satu tahap, bahkan ke penghujung nafas yang terakhir. Lihatlah Abu Ayyub al-Ansori yang mati syahid di pinggir pagar kota Konstantinople dalam usianya 80 tahun. Pada saat kematiannya, dia tidak menghentikan sumbangannya kepada Islam, bahkan menyampaikan kepada muslimin sebuah hadis yang pernah didengarnya daripada Nabi s.a.w: “Sekiranya Kiamat berlaku sedangkan di tangan salah seorang daripada kamu anak pokok, maka tanamkanlah ia” (Diriwayatkan oleh Ahmad)

Nilai dan sikap ini satu fenomena biasa di dalam masyarakat muslim pada sepanjang zaman. Setiap individunya menjadi batu-bata kepada binaan Islam yang agung. Mereka saling memperkukuhkan yang lain dalam segenap bidang dan lapangan. Hasil usaha mereka yang gigih, sesiapa yang melihat binaan Islam akan berkata: Alangkah indahnya! Alangkah hebatnya Islam! Dengan penuh tawadhu’ dan ikhlas, mereka tidak rela diri mereka hidup dengan kehidupan haiwan yang didambakan oleh mereka yang kufur kepada Allah.

“Dan orang-orang yang kafir berseronok dan makan seperti binatang ternakan makan. Nerakalah tempat mereka” (Muhammad, 47: 12)

Mereka tidak akan duduk berpeluk tubuh melihat sekeliling tanpa melakukan sesuatu. Akan tetapi mereka mengangkat slogan Nabi s.a.w: “Orang mukmin kepada mukmin yang lain seperti satu binaan yang saling kuat menguat satu sama lain” (Muttafaq ‘alaih)

Lantaran itu kita dapat lihat Ibnu al-Haitham, Ibnu al-Nafis dan Ibnu Rusyd saling lengkap melengkapi kepakaran mereka. Setiap seorang daripada mereka saling menguatkan yang lain untuk meninggikan binaan Islam. Akan tetapi pada zaman yang semakin kabur ghayah, bercampur aduknya visi hidup serta bersimpang siurnya misi masyarakat, pada saat yang sama binaan Islam semakin goyah dan rapuh, siapakah yang ingin mewakili umat mengembalikan binaannya yang agung?

Siapakah yang akan mewakili umat mengembalikan manusia kepada Tuhannya, memerdekakan mereka daripada belenggu syahwat, hawa dan material?

Siapakah yang akan mewakili umat menyelamatkan mereka daripada kejahilan?

Siapakah yang akan mewakili umat mempamer keindahan kesyumulan Islam dan membongkar wajah hodoh sekular?

Siapakah yang akan mewakili umat mengembali martabat syari’at serta menumbang kezaliman hukum manusia?

Siapakah yang akan mewakili umat menyekat ancaman serangan Zionis dan Salibi Antarabangsa?

Siapakah yang akan mewakili umat memecah monopoli Yahudi dan US, menyediakan barangan alternatif kepada barangan mereka?

Siapa? Siapa? Siapa?

Pastikan KITA!!!


Saturday, November 5, 2011

Rinduku Kepada....

Teringat pada Ibadah Haji 10 tahun yang lepas,
Perasaan rinduku kembali menggamit perasaan,
Rinduku pada Masjidil Haram dan Masjid Nabawi,
Rinduku untuk Wukuf di Arafah,
Rinduku untuk Tawaf dan Sai'e di Masjidil Haram,
Rinduku untuk Melontar Jamrah di Mina,
Rinduku untuk menziarahi Makam Rasulullah,
Rinduku untuk menziarahi Makam Baqi',
Rinduku pada umat Islam di Mekah dan Madinah...

Bilakah boleh ku melepaskan perasaan rindu ku ini?
Bilakah boleh ku menunaikan Haji dan Umrah lagi?

Atau biarlah ku memberi peluang kepada umat Islam yang lain,
Semoga bersama-sama saling melepaskan rindu...