Thursday, November 24, 2011

Monopoli

Dalam ekonomi, istilah Monopoli merupakan penguasaan sepenuhnya terhadap sesuatu barangan perdagangan atau perkhidmatan dalam pasaran tertentu oleh seseorang atau sesebuah syarikat. Sebagai contoh, di sebuah daerah, hanya terdapat sebuah kedai runcit. Kedai tersebut berpotensi menaikkan harga sesuka hati atau tidak melaksanakan layanan pelanggan dengan baik tanpa risaukan persaingan. Jika kedai tersebut menaikkan harga barang sesuka hati pun, kedai tersebut akan terus dikunjungi pelanggan. Ini disebabkan tiada persaingan ataupun monopoli. Bagaimana keadaannya sekiranya banyak kedai runcit di daerah yang sama? Maka tidak timbullah isu monopoli kerana setiap kedai akan menawarkan harga yang terendah dan servis yang terbaik untuk menarik pelanggan.

Justeru itu, penggabungan Malaysian Airline System (MAS) dengan Air Asia seharusnya mengundang kegelisahan kepada pengguna kapal terbang. Ini kerana, jika sebelum ini, kedua-dua syarikat tersebut sering bersaing untuk meraih keuntungan dengan cara tersendiri. Jika MAS yang merupakan syarikat penerbangan terulung dan senior di Malaysia manakala Air Asia pula yang terkenal dengan penerbangan tambang murah yang sinonim dengan motto "Now Everyone Can Fly". Persaingan di antara kedua-dua syarikat sebelum ini sebenarnya memberi keuntungan kepada pengguna kapal terbang disebabkan persaingan untuk mendapatkan pelanggan. Namun, persoalan yang timbul sekarang, adakah penggabungan kedua-dua syarikat tersebut turut menggalakkan keuntungan kepada pengguna atau sebaliknya? Ataupun, penggabungan ini akan menyebabkan berlakunya monopoli yang akan membebankan pengguna?




Oleh itu, monopoli ini akan mengakibatkan suasana yang tidak sihat dalam bidang ekonomi. Jika berlakunya monopoli oleh sesebuah syarikat, nak tak nak, khidmat syarikat tersebut terpaksa digunakan walaupun servisnya teruk, harganya meningkat dan sebagainya.

Betapa indahnya Islam, yang dipenuhi dengan perbezaan pendapat. Pelbagai aliran mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafi'e dan Hambali menunjukkan kekayaan ilmu, hujah dan pendapat di kalangan mazhab. Para imam mazhab sendiri menunjukkan rasa hormat dan berlapang dada apabila berhadapan dengan pengikut mazhab yang lain. Perbezaan ini menunjukkan kekayaan bagi orang Islam dan tidak sepatutnya berlakunya gejala taksub mazhab dan bergaduh akibat hal ini. Sama juga halnya dengan kepelbagaian aliran jama'ah yang wujud di serata dunia dan tidak terkecuali di Malaysia. Wujudnya Ikhwanul Muslimin, Hizbut Tahrir dan Tabligh yang cukup terkenal dengan corak dakwah di serata dunia. Jika di Malaysia pula, wujud pula Pas, Ikram, Isma, Haluan, Tabligh dan sebagainya yang masing-masing mempunyai matlamat yang sama, cuma prinsip dan gerak kerja yang berbeza. Sama juga dengan kepelbagaian mazhab, tidak sepatutnya berlaku taksub pada jama'ah dan bergaduh akibat ini.

Cuma bayangkan jika di dunia ini hanya ada satu aliran mazhab? Cuba juga bayangkan jika hanya ada satu aliran jama'ah? Atau, cuba bayangkan jika di Malaysia hanya ada satu aliran mazhab (orang dari luar negara dilarang sama sekali melaksanakan mazhab lain) dan hanya ada satu aliran jama'ah sahaja? Adakah menarik? Bagi saya, inilah dia monopoli!! Tidak ada persaingan dan tidak ada pilihan untuk orang Islam melakukan kebaikan dengan corak yang berbeza.

Firman Allah: "Kemudian, Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, ada yang pertengahan dan ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah Yang demikian itu adalah karunia yang besar." (Fatir, 35: 32)

Maka, beruntunglah orang Islam dengan tiadanya sistem monopoli untuk melakukan kebaikan. Banyak pilihan dan bergantung kepada setiap individu untuk memilih jalan masing-masing. Jika seseorang itu sesuai untuk berjuang dengan sesuatu aliran jemaah untuk menegakkan Islam, ayuh, teruskanlah perjuangan. Laksanakanlah gerak kerja sebaik mungkin dan di samping itu, peliharalah hubungan yang harmoni dengan sahabat-sahabat di dalam aliran yang lain. Inilah ukhwah yang diidam-idamkan, bukan hanya berkata-kata, tetapi turut melaksanakan. Ayuh, fastabiqul khairat....

No comments:

Post a Comment