Sunday, March 31, 2013

Pencinta Sejati

Meminjam kata-kata dari Anis Matta:



“Jalan cinta selalu melahirkan perubahan besar dengan cara yg sangat sederhana. Kerana ia menjangkau pangkal hati secara langsung dari mana segala perubahan dalam diri seseorang bermula. Bahkan ketika ia menggunakan kekerasan, cinta selalu mengubah efeknya dan seketika ia berujung haru.”

“Para pencinta sejati tak suka berjanji. Tapi begitu mereka memutuskan untuk mencintai, mereka akan segera membuat rencana untuk memberi.”

“Pahlawan.. Jangan menanti kedatangannya. Mereka adalah aku, kau, dan kita semua. Mereka bukan orang lain. Mereka hanya belum memulai. Mereka hanya perlu berjanji untuk merebut takdir kepahlawanan mereka, dan dunia akan menyaksikan gugusan pulau-pulau ini menjelma menjadi untaian kalung zamrud kembali yang menghiasi leher sejarah.”

“Kita tidak solat, puasa, atau haji setiap saat, tapi kita bisa berdoa setiap saat. Berdoa membuat kita bisa merasakan kebersamaan dengan Allah sepanjang waktu.”

Sunday, March 24, 2013

Formula Kemenangan

Dalam ucaptama Presiden Partai Keadilan Sejahtera (PKS) yang baru, Anis Matta, beliau menggariskan formula kemenangan di dalam jalan dakwah ini. Formulanya ada tiga iaitu :- Hubungan dengan Allah Taala, Kerja Keras di dalam dakwah dan Ukhwah Islamiyah. Sebenarnya, formula kemenangan ini bukanlah dicipta oleh Anis Matta, tetapi telah diterapkan dalam perjuangan Islam sebelum ini dan dimulai oleh Rasulullah dan Rasul-Rasul sebelum ini.

Pelik atau tidak kemenangan yang diraih oleh Tentera Muslimin seramai 313 orang yang menumpaskan 1000 orang Tentera Musyrikin pada peperangan Badar? Secara logiknya, memang mustahil Tentera Muslimin yang sedikit untuk mengalahkan Tentera Musyrikin yang ramai. Jadi apa rahsianya? Kita berbalik semula kepada asam garam dakwah dan formula kemenangan yang merupakan rahsia kekuatan umat Islam.

Muhammad Al-Fateh yang diabadikan dalam sejarah Islam di mana beliau dan tenteranya menawan negara Konstantinopel. Apa rahsianya? Seluruh tenteranya tidak pernah tinggal solat fardhu secara berjemaah walau sekali sejak akil baligh. Sebahagian besarnya tidak pernah tinggal solat sunat Rawatib sejak akil baligh. Muhammad Al-Fateh sendiri tidak pernah tinggal solat sunat Tahajud sejak akil baligh. Wow!! Superb bukan?

Tarbiyah Askariyyah yang diterapkan bukanlah dengan aktiviti fizikal semata-mata, dan juga bukanlah dengan menjadikan tentera menjadi golongan yang keras dan kasar, tetapi juga dengan tarbiyyah rohani yang melunturkan jiwa-jiwa supaya tunduk kepada Rabb Yang Esa.

Firman Allah: "Dan betapa banyak nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak lemah kerana bencana yang menimpanya di jalan Allah, tidak patah semangat dan tidak menyerah (kepada musuh). Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar." (Ali-Imran, 3: 146)

Mengapa begitu? Bukanlah kekuatan manusia itu yang memenangkan, tetapi Allah sajalah yang mengurniakan kekuatan itu. Hanya Allah yang memberikan kekuatan kepada kita dan hanya Allah saja yang berhak yang memenangkan dan mengalahkan kita. Jika kita sebagai seorang Muslim dan sebagai seorang dai'e mencari kekuatan dan kemenangan di dunia ini, maka tidak lain dan tidak bukan, kita perlu menjadi Pengabdi Allah. Tiada kemampuan atau kudrat bagi manusia jika meletakkan kemampuan dan strategi manusiawi dalam mencapai kemenangan. Tiada apa yang istimewa bagi diri seorang manusia melainkan yang dikurniakan oleh Allah sendiri.

Firman Allah: "Katakanlah (Muhammad), 'Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Ali-Imran, 3: 26)

Wallahua'lam.

Tuesday, March 5, 2013

Dakwah Secara Touch n Go? Biar Betul?

Situasi 1:
Ikhwah A: "Alhamdulillah, ramai betul orang yang datang ke program kita malam ni. Tak sangka ana, ingatkan biasa je. Nampaknya dakwah kita sudah mula diterima masyarakat."
Ikhwah B: "Emm.. betullah. Jadi, bagaimana dengan mad'u-mad'u baru kita ni? Ada ke ikhwah/akhwat yang sedia untuk santuni mereka?"
Ikhwah A: "Setakat ni, macam tiada orang nak follow up mereka ni. Banyak agenda lain yang perlu diselesaikan. Insya Allah, bulan depan, kita buat lagi program macam ni, supaya lebih ramai yang dapat manfaat."

Situasi 2:
Ikhwah A: "Ada 20 orang ahli baru yang mendaftar dengan persatuan kita. Adakah kita dah aturkan atau sediakan usrah untuk mereka?"
Ikhwah B: "Rasanya macam susah je nak usrahkan mereka ni. Kita ajak mereka ke program taklim bulanan kita saja lah."
Ikhwah A: "Cukup ke dengan taklim bulanan yang sebulan sekali tu?"
Ikhwah B: "Jangan kisahkan tentang kekerapan tu. Yang penting, ahli kita semakin bertambah. Kita perlu cepat supaya kekuatan kita bertambah. Taklim sudah mencukupi untuk memberikan fikrah kepada mad'u kita."


Ikhwah & Akhwat sekalian,
Pernah tak antum melalui lebuh raya? (Hmm.. apa punya soalan daa?) Dalam suasana di lebuh raya, Touch n Go adalah penggunaan kad eksklusif ketika membayar tol. Seperti namanya, Touch n Go dimanfaatkan agar proses pembayaran dapat dilaksanakan dengan lancar tidak seperti lorong bayaran Tunai. Maklumlah, pengguna lebuh raya pastinya hendak cepat tiba di destinasi dan mengelakkan kesesakan jalan raya.



Maka, berlainan dengan Dakwah dan Tarbiyah yang sama sekali tidak boleh dilaksanakan secara Touch n Go di mana hanya untuk melihat keahlian yang ramai dan hadirin yang hadir pada sesuatu program. Dakwah yang kita laksanakan bukanlah untuk memperkenal "Brand" kita semata-mata, tapi apakah kesannya pada masyarakat? Apa kesannya, jika dibanggakan dengan keahlian yang bertambah tapi tiada penerusan tarbiyah? Apa kesannya, jika program umum dipenuhi oleh hadirin tapi tiada seorang pun yang kita usaha untuk santuni ke proses berikutnya? Dan apa juga kesannya, jika banner digantung di banyak tempat yang bertujuan untuk memperkenalkan "Brand" tanpa sebarang penjelasan mengenai inti dakwah kepada masyarakat? Mudahnya dakwah dan tarbiyah jika itulah yang disibuk-sibukkan.

Usah tertipu dengan jumlah yang ramai dan dengan besarnya program yang dianjurkan. Para dai'e harus fokus dengan kerja tarbiyah, harus fokus mentarbiyah segiat-giatnya agar hasil tarbiyah yang kita bina sangat-sangat bagus. Buatlah kerja tarbiyah ini dengan sabar kerana jalannya sangat lama dan sangat sulit. Hendak cepatnya kita untuk mencapai matlamat, bukanlah lesen untuk kita gugurkan kewajipan dalam dakwah ini. Mentarbiyah manusia umpama memasak mi segera, lagi lama direndam mi itu, lagi sedaplah mi segera itu dimakan dan puaslah hati si pemakan.

Insya Allah, boleh rujuk artikel saya yang terdahulu yang bertajuk Marhalah Dakwah - http://imam-abuhanifah.blogspot.com/2011/12/marhalah-dakwah.html. Moga kita sama-sama jelas mengenai pemeringkatan dan tahapan dakwah yang kita laksanakan.

Ikhwah & Akhwat sekalian,
Jika kita mengambil mudah proses tarbiyah dan pembinaan manusia ini, mustahil kita dapat membina masyarakat dan negara mengikut acuan dakwah yang sebenar-benarnya. Fikir-fikirkanlah.....

Wallahua'lam