Sunday, March 24, 2013

Formula Kemenangan

Dalam ucaptama Presiden Partai Keadilan Sejahtera (PKS) yang baru, Anis Matta, beliau menggariskan formula kemenangan di dalam jalan dakwah ini. Formulanya ada tiga iaitu :- Hubungan dengan Allah Taala, Kerja Keras di dalam dakwah dan Ukhwah Islamiyah. Sebenarnya, formula kemenangan ini bukanlah dicipta oleh Anis Matta, tetapi telah diterapkan dalam perjuangan Islam sebelum ini dan dimulai oleh Rasulullah dan Rasul-Rasul sebelum ini.

Pelik atau tidak kemenangan yang diraih oleh Tentera Muslimin seramai 313 orang yang menumpaskan 1000 orang Tentera Musyrikin pada peperangan Badar? Secara logiknya, memang mustahil Tentera Muslimin yang sedikit untuk mengalahkan Tentera Musyrikin yang ramai. Jadi apa rahsianya? Kita berbalik semula kepada asam garam dakwah dan formula kemenangan yang merupakan rahsia kekuatan umat Islam.

Muhammad Al-Fateh yang diabadikan dalam sejarah Islam di mana beliau dan tenteranya menawan negara Konstantinopel. Apa rahsianya? Seluruh tenteranya tidak pernah tinggal solat fardhu secara berjemaah walau sekali sejak akil baligh. Sebahagian besarnya tidak pernah tinggal solat sunat Rawatib sejak akil baligh. Muhammad Al-Fateh sendiri tidak pernah tinggal solat sunat Tahajud sejak akil baligh. Wow!! Superb bukan?

Tarbiyah Askariyyah yang diterapkan bukanlah dengan aktiviti fizikal semata-mata, dan juga bukanlah dengan menjadikan tentera menjadi golongan yang keras dan kasar, tetapi juga dengan tarbiyyah rohani yang melunturkan jiwa-jiwa supaya tunduk kepada Rabb Yang Esa.

Firman Allah: "Dan betapa banyak nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak lemah kerana bencana yang menimpanya di jalan Allah, tidak patah semangat dan tidak menyerah (kepada musuh). Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar." (Ali-Imran, 3: 146)

Mengapa begitu? Bukanlah kekuatan manusia itu yang memenangkan, tetapi Allah sajalah yang mengurniakan kekuatan itu. Hanya Allah yang memberikan kekuatan kepada kita dan hanya Allah saja yang berhak yang memenangkan dan mengalahkan kita. Jika kita sebagai seorang Muslim dan sebagai seorang dai'e mencari kekuatan dan kemenangan di dunia ini, maka tidak lain dan tidak bukan, kita perlu menjadi Pengabdi Allah. Tiada kemampuan atau kudrat bagi manusia jika meletakkan kemampuan dan strategi manusiawi dalam mencapai kemenangan. Tiada apa yang istimewa bagi diri seorang manusia melainkan yang dikurniakan oleh Allah sendiri.

Firman Allah: "Katakanlah (Muhammad), 'Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Ali-Imran, 3: 26)

Wallahua'lam.

1 comment:

  1. Tahniah kepada Ustaz Abu yang kini sudah merupakan kolumnis ruangan "Takwin" majalah JOM! Saya berdoa mudah-mudahan Ustaz Abu akan mucul sebagai pimpinan masa depan dakwah ini!

    Farhan Al-Banna

    ReplyDelete