Agak lama kisah berkaitan acara Larian Pecut 100 meter tidak dibualkan oleh rakyat Malaysia. Nama-nama seperti Watson Nyambek, Azmi Ibrahim dan Nazmizan Muhammad serta kisah perseteruannya hanya tinggal sejarah. Tenggelam seolah-olah tidak akan wujud lagi nama-nama besar seperti itu.
Jika rekod 10.42 saat oleh Dr Jega saja, mengambil masa berpuluh tahun untuk dipecahkan, apatah lagi rekod 10.30 saat yang dicipta oleh Watson. Akhirnya, sejarah tercipta selepas 18 tahun, rekod 100 meter Malaysia dipecahkan oleh Khairul Hafiz Jantan dengan catatan baru 10.18 saat. Secara tiba-tiba, ada sedikit sinar di dalam sukan olahraga negara.
Begitu juga dengan rekod 100 meter Dunia yang sangat lama pada catatan 9.80 ~ 9.90 saat pada penghujung tahun 90an dengan nama-nama besar seperti Carl Lewis, Donovan Bailey dan lain-lain lagi. Akhirnya, Usain Bolt mencipta sejarah dengan rekod 9.58 saat!
Adakah rekod itu akan terhenti di situ saja? Pastinya TIDAK kerana Manusia Semakin Pantas! Setiap rekod itu pasti akan diperbaharui tetapi masa yang menentukan. Dunia sukan akan lebih menarik apabila banyak jagoan baru muncul dan apabila banyak rekod baru dicipta. Sukan pada zaman sekarang bukan hanya di padang dan gelanggang semata-mata, tetapi turut merangkumi pengajaran di kuliah, teknologi dan R&D bagi memastikan Sukan turut mempunyai nilainya yang tersendiri.
Kini, Manusia Semakin Pantas kerana Kepantasan Manusia berkadar langsung dengan Kemajuan Teknologi Manusia.
Tahniah diucapkan kepada Khairul Hafiz Jantan di atas kejayaan di SUKMA Malaysia. Di sebalik kejayaan dan rekod baru 100 meter, kini, Malaysia menantikan rekod baru 200 meter pula yang masih bertahan lebih 40 tahun.
No comments:
Post a Comment