Wednesday, August 3, 2016

Aktivis Politik Juga Perlukan Tarbiyah?

Melihat kondisi Politik tanah air sekarang ini, pemikiran saya jauh melayang. Jauh melayang seperti tiada noktah. Pertembungan dan perseteruan yang tidak berkesudahan, skandal yang memualkan dan kebajikan rakyat yang dianak tirikan, menjadikan politik ini mewarisi tabiat buruk yang berakar umbi. Laungan Reformasi, Politik Nilai dan Gerakan Pembaharuan hanya sekadar penyedap telinga yang ditenggelamkan oleh perilaku dan sikap sebenar ahli politik.

Politik juga merupakan suatu kerjaya, seperti kerjaya yang lain. Setiap orang pasti mempunyai pandangan yang berbeza berkaitan politik. Cuma, apabila kita melihat dari segi kebaikan, politik adalah saluran yang terbaik untuk meyebarkan kebaikan pada masyarakat.

Namun, persepsi di Malaysia ketika ini adalah berbeza. Seorang politikus itu ibarat 'tikus' dalam kerjayanya yang tidak memberi impak yang baik kepada diri dan masyarakat. Dipenuhi dengan skandal, penyalahgunaan kuasa, fitnah, mencerca lawan, provokasi dan sebagainya, seperti sudah sebati dengan kehidupan seorang politikus. Saya masih mencari pejuang tulen di dalam politik ini yang membawa politik baru dan matang untuk masyarakat.

Bagaimana seorang ahli politik mendepani lawannya dengan pelbagai ragam dan akhlak yang buruk? Bagaimana  ahli politik berdepan dengan fitnah dan cercaan yang berterusan dari lawannya? Bagaimana pula mendepani provokasi yang memualkan? Jangan pula, ahli politik yang membawa imej Islam yang berlebih-lebih dengan cercaan dan provokasi terhadap lawannya pula!

Justeru itu, mencari pejuang tulen di dalam politik semestinya membawa kita kembali kepada perjuangan Al-Quran dan As-Sunnah. Bagaimana hendak mengislahkan hubungan di kalangan manusia jika hubungan dengan Pencipta lebur? Bagaimana hendak berdepan dengan pelbagai godaan dunia jika benteng amal soleh tidak dijaga? Maka, tidak hairanlah kebanyakan ahli politik Muslim hanyut dengan godaan dunia jika hubungan dengan Allah tidak dijaga.

Bukan semua orang atau bukan semua pejuang Islam mampu menjadi ahli Politik yang baik. Semestinya, yang menjadi seseorang itu hebat hanyalah Allah Taala. Maka, proses Tarbiyah itu perlu diteruskan seiring dengan komitmen di dalam politik, bukannya diringankan. Teringat kata-kata seorang syeikh kepada seorang ukhti yang berjinak-jinak di dalam politik, "Ini adalah contoh yang terbaik di mana anti menyediakan bekalan di dalam mehwar politik dengan memberikan komitmen di dalam program tarbiyah."

Begitu juga perkongsian dari seorang Ahli Parlimen Parti Islam di Indonesia yang mengatakan bahawa beliau perlu menghabiskan 2 juzuk bacaan Al-Quran dalam sehari semenjak menjadi Ahli Parlimen, berbanding 1 juzuk ketika belum menjadi Ahli Parlimen. Itulah Tarbiyah Dzatiyah yang perlu dijaga di dalam dakwah ini.

Justeru itu, menjadi seorang aktivis Politik bukannya menjadikan diri kita mencari rukhsah atau keringanan di dalam tarbiyah. Jiwa dan diri perlu dilengkapi dengan bekalan yang secukupnya sebelum terjun ke arena politik.

Menjadi Ahli Politik bukan saja perlu cerdik dan pintar, tetapi juga tunduk kepada Allah. Menjadi Ahli Politik bukannya mahu membina empayar kuasa dan kekayaan, tetapi mahu meluaskan ruang kebaikan kepada seluruh manusia. Barulah Politik itu sendiri memberi manfaat kepada semua.

Wallahua'lam...

No comments:

Post a Comment