Thursday, July 8, 2010

Piala Dunia 2010




Piala Dunia 2010 sudah menghampiri kemuncaknya. Meskipun Malaysia tidak layak ke Piala Dunia, rata-rata masyarakat kita cukup menghayati suasana Piala Dunia seperti mana kejohanan sebelum ini. Lihat saja di kedai-kedai mamak, penuh dengan peminat bola. Kesian dengan pemilik restoran, pengunjung duduk hingga 2-3 jam semata-mata untuk menonton perlawanan sedangkan hanya minum teh tarik dan roti canai.

Kejohanan Piala Dunia kali ni, rasanya, tidak saya hayati secukupnya, mungkin itu yang dilemparkan kepada saya oleh peminat fanatik bola disebabkan tiada satu pun perlawanan yang saya tonton keseluruhannya. Jika dulu, saya adalah antara orang cukup minat menonton Piala Dunia atau Kejohanan Euro tidak kira masa, tetapi tidak lagi sekarang. Seorang kerani wanita di kilang saya bercerita, dia sanggup bersengkang mata untuk melihat pasukan pilihannya Brazil beraksi. Meskipun, dia adalah seorang isteri kepada seorang lelaki dan seorang ibu kepada beberapa orang anak, namun pengorbanannya kepada bola sepak tidak dapat disangkal lagi.

Meskipun saya tidak menonton perlawanan yang disiarkan tetapi sempat mengambil tahu tentang keputusan dan perkembangan yang berlaku dalam Piala Dunia kali ini. Seperti kebiasaan pada sesuatu kejohanan besar, sudah pasti ada pasukan dan nama-nama besar yang menjadi sebutan dan sanjungan. Tidak kurang juga, pasukan dan nama-nama besar yang kecundang dan menjadi cacian penyokongnya. Sebagai contoh, runtuhnya Perancis dan Itali yang merupakan finalis 2006 pada peringkat kumpulan. Itulah sunnah atau kebiasaan dalam sesebuah kejohanan besar.

Mengikuti perlawanan Piala Dunia tidak hanya menimbulkan keseronokan menontonnya tetapi jika dilihat dari segi hak asasi manusia, ianya jelas meruntuhkan moral masyarakat sehingga ada yang terlibat dengan pertaruhan dan perjudian bola sepak. Bukannya sedikit jumlahnya, bahkan mencecah jutaan dan berbillion ringgit. Lebih parah lagi, ada golongan yang menghalalkan aktiviti perjudian tersebut dengan alasan untuk mendapatkan keuntungan daripada aktiviti tersebut. Kalau begitu, lebih baik dihalalkan sahaja perzinaan untuk menambah bilangan penduduk di Malaysia ini dengan cepat tanpa perlu akad nikah, kenduri kahwin dan kursus kahwin. Bagaimana, setuju?? Bukan itu sahaja, Piala Dunia ini juga berjaya melenyapkan isu Palestin dari bualan masyarakat. Baru sahaja, dalam sebulan atau dua bulan lepas kita berdemo membantah serangan Israel laknatullah ke atas kapal pengaman LL4G, kini isu tersebut hanya kembali asing dalam masyarakat disebabkan keseronokan Piala Dunia. Inilah salah satu sarana Ghazwul Fikri yang berjaya manjauhkan orang Islam dari mengingati Allah dan ikhwah dan akhwat di Palestin.

Sama-samalah kita muhasabah diri....

No comments:

Post a Comment