Tuesday, July 20, 2010

Bertemu dan Berpisah

"Ini menantu baru yang kahwin hari tu ye?" tanya seorang pakcik kepada bapa mertua saya sambil bersalam dengan saya. Ketika itu, baru saja selesai kenduri doa selamat dan tahlil saudara bapa mertua saya pada hari Sabtu dua minggu lepas.

"Ya" jawab bapa mertua saya.

"Eh, ini Cikgu Ibrahim kan? Pengetua Sek. Keb. Dato' Bandar Rasah dulu kan?" tanya saya apabila agak mengenali wajah pakcik tersebut.

"Oh, kamu kenal saya. Kamu anak siapa ni? Anak Ustaz Abid?" tanya Cikgu Ibrahim yang merupakan pakcik tadi.

"Tidak. Itu bapa saudara saya.  Ya, cikgu jadi pengetua ketika saya Darjah 6." balas saya.

"Oooo....itu 14 tahun yang lepas. Saya tinggal di sini, di rumah murah Linggi." jawab Cikgu Ibrahim seperti seronok bertemu dengan bekas anak murid dia.

Ketika itu, hati saya agak seronok dan seperti tidak percaya berjumpa dengan beliau. Bahkan bapa mertua saya pun tersenyum mendengar perbualan kami. Saya yakin, beliau sendiri mesti seronok apabila bekas anak murid 14-15 tahun dahulu menegur beliau.

Tetapi, pagi Ahad yang baru ini, bapa mertua telefon mengkhabarkan bahawa Cikgu Ibrahim dan isteri meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada Sabtu petang yang turut disiarkan di akhbar. Saya sempat ke rumah dia tetapi tidak sempat menatap wajahnya.

Bagaikan terkejut apa yang berlaku. Baru seminggu bertemu, akhirnya tempoh pertemuan kami tidak panjang. Tidak sempat untuk saya bersilaturrahim dengan beliau, akhirnya beliau pergi dulu mengadap Rabb. Meskipun beliau tidak pernah mengajar saya di kelas, tetapi sedikit sebanyak, banyak perkara yang boleh saya contohi darinya. Bahkan, ibu dan abah saya juga yang mengenali beliau turut mengatakan bahawa beliau seorang guru yang baik.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah Cikgu Ibrahim Bachik dan isteri. Semoga kamu damai di sana, Insya Allah. Al-Fatihah...

No comments:

Post a Comment