Saturday, July 20, 2013

Ramadhan - Medan Untuk Istiqomah

Ramadhan yang hadir umpama satu suntikan kepada umat Islam. Fitrah kepada agama jelas kelihatan pada solat jemaah di masjid, tadarus al-Quran dan sebagainya. Ianya suntikan terbaik bagi kita untuk istiqomah mengabdikan diri kepada Allah.

Ramai yang menjadikan Ramadhan ini sebagai tempat untuk pulun habis-habisan untuk beribadah kepada Allah. Maka, bertilawahlah sehingga 2 - 3 juz sehari. Bagus dan teruskanlah usaha itu, cuma yang harus difikirkan adalah kualiti ibadah itu. Dan bagaimana pula selepas Ramadhan? Adakah kita yakin mampu untuk istiqomah dengan jumlah yang sama? Jangan ketika Ramadhan, 2 - 3 juz sehari, tetapi apabila berlalunya Ramadhan, semangat yang memuncak tiba-tiba kendur, hanya mampu membaca 2 - 3 muka surat sahaja sehari. Bukan ini yang kita mahu.

Sama juga, apabila bulan Ramadhan, mula berjinak-jinak dengan solat jemaah di masjid atau surau, tetapi berlalunya Ramadhan, kembali ke tabiat asal, cukup sekadar solat di rumah. Sekurang-kurangnya, cubalah kekalkan sedikit kebaikan atau suntikan yang diterima ketika Ramadhan. Jika, kita mula berjinak-jinak dengan bersedekah dan berinfaq, didiklah diri kita untuk meneruskan amalan tersebut.

Jadikanlah Ramadhan ini, medan untuk kita istiqomah di atas jalan-Nya. Kejarlah kuantiti ibadah itu, dengan turut menjaga kualitinya. Dan doa dan berusahalah untuk istiqomah selepas berakhirnya Ramadhan ini. Jika, kita target untuk tilawah al-Quran, 1 juz sehari, istiqomahla selepas ini. Jika mampu kita istiqomah selepas setahun, ayuh kita tingkatkan kepada 1.5 atau 2 juz sehari pula tahun hadapan atau melakukan tambahan dengan tadabbur pula.

Moga-moga injection atau antibiotik yang kita terima ketika Ramadhan dapat menjadi pelindung dari gangguan atau halangan selepas ini. Bukan mudah untuk kita istiqomah, tetapi teruslah berdoa dan berusaha. Allah saja yang mampu membolak-balikkan hati kita.

Wallahua'lam.

Thursday, July 18, 2013

Siapa Pula Selepas Ini?

Palestin, Bosnia, Acheh, Chechnya, Kashmir, Tak Bai, Afghanistan, Iraq, Rohingya, Syria, Mesir... Apa samanya kesemua negara ini? Mereka ini majoritinya penduduk Islam tetapi...

Ditindas...
Dibunuh...
Wanitanya diperkosa...
Anak-anak kecil kehilangan ibu dan bapa...
Diperlakukan seperti binatang...
Hak mereka dirampas...


Mengapa ini berlaku pada negara Islam? Bukankah Islam satu-satunya agama yang diredhai Allah? Mengapa seluruh dunia memperlakukan Islam sebegini rupa dan umat Islam tidak mampu mempertahankan haknya?

Angkara siapa semua ini? Yahudi? Orang Kafir? Syiah?

Mengapa kita sibuk menuding jari kepada musuh Islam sedangkan kita sendiri tidak berbuat apa-apa? Memang itulah matlamat musuh Islam untuk melenyapkan Islam... Apa pula tindakan kita? Mengapa kita mudah menyalahkan pihak lain sedangkan kita sendiri langsung tiada usaha mempertahankan Islam. 

Masih lagi leka dengan urusan masing-masing...
Masih lagi leka dengan hiburan...
Tidak kisah meninggalkan solat dan perkara wajib yang lain...
Tidak rasa apa-apa apabila menjamah makanan di McDonald dan minum Coca-Cola...


Firman Allah: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara...” (Al-Hujurat, 49: 10)

Barangkali, ini perancangan Allah. Haruslah redha dan ambil peranan kita sebagai Muslim. Jika mereka itu saudara kita, apa peranan kita? Persaudaraan dalam agama itulah nilai yang paling tinggi. Persaudaraan yang membawa ke syurga, Insya Allah.

Habis sudah negara-negara Islam ditindas. Adakah kita dengan tenang melihat keadaan ini? Atau, adakah kita terfikir, negara mana pula selepas ini yang akan menjadi mangsa? Adakah negara kita? Tidak mustahil ianya berlaku.....