Ramadhan yang hadir umpama satu suntikan kepada umat Islam. Fitrah kepada agama jelas kelihatan pada solat jemaah di masjid, tadarus al-Quran dan sebagainya. Ianya suntikan terbaik bagi kita untuk istiqomah mengabdikan diri kepada Allah.
Ramai yang menjadikan Ramadhan ini sebagai tempat untuk pulun habis-habisan untuk beribadah kepada Allah. Maka, bertilawahlah sehingga 2 - 3 juz sehari. Bagus dan teruskanlah usaha itu, cuma yang harus difikirkan adalah kualiti ibadah itu. Dan bagaimana pula selepas Ramadhan? Adakah kita yakin mampu untuk istiqomah dengan jumlah yang sama? Jangan ketika Ramadhan, 2 - 3 juz sehari, tetapi apabila berlalunya Ramadhan, semangat yang memuncak tiba-tiba kendur, hanya mampu membaca 2 - 3 muka surat sahaja sehari. Bukan ini yang kita mahu.
Sama juga, apabila bulan Ramadhan, mula berjinak-jinak dengan solat jemaah di masjid atau surau, tetapi berlalunya Ramadhan, kembali ke tabiat asal, cukup sekadar solat di rumah. Sekurang-kurangnya, cubalah kekalkan sedikit kebaikan atau suntikan yang diterima ketika Ramadhan. Jika, kita mula berjinak-jinak dengan bersedekah dan berinfaq, didiklah diri kita untuk meneruskan amalan tersebut.
Jadikanlah Ramadhan ini, medan untuk kita istiqomah di atas jalan-Nya. Kejarlah kuantiti ibadah itu, dengan turut menjaga kualitinya. Dan doa dan berusahalah untuk istiqomah selepas berakhirnya Ramadhan ini. Jika, kita target untuk tilawah al-Quran, 1 juz sehari, istiqomahla selepas ini. Jika mampu kita istiqomah selepas setahun, ayuh kita tingkatkan kepada 1.5 atau 2 juz sehari pula tahun hadapan atau melakukan tambahan dengan tadabbur pula.
Moga-moga injection atau antibiotik yang kita terima ketika Ramadhan dapat menjadi pelindung dari gangguan atau halangan selepas ini. Bukan mudah untuk kita istiqomah, tetapi teruslah berdoa dan berusaha. Allah saja yang mampu membolak-balikkan hati kita.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment