Madrasah Ramadhan hampir melabuhkan tirai. Semestinya suasana di bulan Ramadhan ini sangat menggamit hati umat Islam dan pastinya sukar untuk kita mencari suasana seperti ini pada bulan-bulan yang lain. Ramainya manusia yang solat jemaah di surau dan masjid, meriahnya masjid ketika solat tarawikh dan iktikaf pada 10 malam terakhir, rajinnya bertilawah dan bertadarus al-Quran, rajinnya bersedekah dan kembalinya fitrah manusia ke arah kebaikan.
Rasulullah dan para Sahabat amat menantikan bulan Ramadhan dan menangisi pemergian bulan Ramadhan. Kuatnya Rasulullah dan para Sahabat berdakwah, maka bertambah kuatlah mereka berdakwah ketika bulan Ramadhan dan bertambah kuat lagi apabila memasuki 10 malam terakhir. Kurangnya Rasulullah dan para Sahabat makan dan tidur pada hari biasa, maka bertambah kuranglah mereka makan dan tidur ketika bulan Ramadhan dan bertambah kurang lagi apabila memasuki 10 malam terakhir. Itulah Tarbiyah Ramadhan.
Pemergian Ramadhan ini menggusarkan diri kita, adakah kita mampu mempertahankan fitrah yang dibina ketika Ramadhan. Adakah mampu kita bawa momentum madrasah Ramadhan ini ke bulan-bulan yang seterusnya? Mampu atau tidak kita istiqomah dengan Tilawah al-Quran, Solat Jemaah dan amal-amal soleh yang lain? Patutlah Rasulullah dan para Sahabat begitu merindui bulan Ramadhan ini kerana manusia akan kembali kepada fitrahnya.
Ketika Ramadhan, kita sering dihidangkan dengan kisah Rasulullah dan para Sahabat dalam Badar al-Kubra, iaitu pertarungan antara hak dan batil. Bahkan, Ramadhan kali ini, turut menyaksikan penderitaan umat Islam di Mesir, Syria, Palestin dan negara-negara lain. Maka, saksikanlah, pertarungan hak dan batil ini akan berterusan hingga ke akhirnya seperti pertarungan Nabi Musa dan Firaun. Pertarungan yang akan mengorbankan dan menyeksakan ribuan nyawa hinggalah hak itu menang. Maka, beruntunglah golongan yang berjual beli dengan Allah Taala di mana Allah janjikan syurga untuk mereka.
Maka, kemenangan kita menjejakkan kaki di bulan Syawal sepatutnya meningkatkan izzah dan jati diri sebagai Muslim. Banggalah kalian sebagai umat Islam yang baru saja menempuh madrasah tarbiyah dari Allah dan bersedialah untuk memikul tugas-tugas yang tidak akan habis. Rasailah kenikmatan madrasah Ramadhan ini dan anggaplah ini tarbiyah kita terus dari Allah. Insya Allah, Allah akan memberikan kekuatan dan kemenangan kepada kita dan seluruh umat Islam.
Taqabballahu Minna Wa Minkum
No comments:
Post a Comment