Thursday, September 12, 2013

Ruang Terkurung @ Confined Space




Ruang terkurung atau 'Confined Space' bermaksud ruang tertutup atau separa tertutup pada tekanan atmosfera semasa dihuni dan tidak disediakan atau direkabentuk untuk digunakan terutamanya sebagai tempat kerja dan boleh pada bila-bila masa mempunyai atmosfera yang mengandungi paras bahan cemar yang mungkin memudaratkan, mengalami kekurangan atau berlebihan oksigen, atau menyebabkan pelingkungan dan mempunyai laluan masuk dan keluar yang terhad.

Maka, aspek keselamatan dalam melaksanakan pekerjaan di ruang terkurung amat dititikberatkan. Seolah-olah ianya keperluan yang paling utama apabila hendak melaksanakan kerja. Masakan tidak, bekerja di ruang terkurung ini sangat meluas perlaksanaannya ketika ini.

Maka, tidak hairanlah, golongan beriman turut memanfaatkan ruang terkurung ini sebagai tempat memperkembangkan dan mempertahankan risalah Islam.

Firman Allah: “Apakah kamu mengira bahawa orang-orang yang mendiami gua dan (yang mempunyai raqim) itu, mereka termasuk tanda-tanda kekuasaan Kami yang menghairankan? (Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa: 'Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sis-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini).'” (Al-Kahfi, 18: 9 – 10)

Firman Allah: “Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: 'Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita.' Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi maha Bijaksana.” (At-Taubah, 9: 40)

Dalam kisah Pemuda Kahfi, gua sebagai ruang terkurung adalah medan di mana mereka mempertahankan akidah mereka dari pemimpin yang zalim. Begitu juga Rasulullah dan Abu Bakar as-Siddiq bersembunyi di gua apabila diburu oleh kaum Musyrikin ketika hendak berhijrah. Maka, ruang terkurung inilah yang menjadi saksi akan pengorbanan mereka mempertahankan akidah dengan Allah menjaga keselamatan mereka.

Maka, apa lagi yang kita khuatir dengan ruang terkurung ciptaan Allah ini? Ia bukannya teknologi baru bahkan Rasulullah serta orang-orang beriman telah menempuhinya. Teruskanlah kerja-kerjamu di ruang terkurung agar dapat merasai kenikmatan seperti yang dirasai oleh pendakwah sebelum ini.

Wallahua'lam

Friday, September 6, 2013

Harga Minyak Naik - Rasionalisasi Subsidi?

Kenaikan harga Petrol 95 dan 97 serta Diesel sedikit sebanyak membebankan rakyat. Pelbagai respon diterima terutama dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang amat merasai kenaikan tersebut. Berikut adalah beberapa kesan akibat kenaikan harga minyak ini:

1) Rakyat harus faham kenaikan 20 sen adalah 20 sen/liter. Sebagai contoh, saya biasanya mengisi Petrol Ron95 full tank sebanyak 35 liter x RM 1.90 = RM 66.50. Maka, selepas harga minyak naik, pengiraannya sudah berubah: 35 liter x RM 2.10 = RM 73.50. Iaitu, untuk 35 liter, penambahan sebanyak RM 7. Kesimpulannya, penggunaan bahan bakar meningkat sebanyak 10%.

2) Kenaikan harga Petrol dan Diesel ini pasti akan memberi kesan kepada pengangkutan awam serta peningkatan harga barang keperluan harian. Pengangkutan awam serta pengangkutan barang-barang keperluan harian akan melibatkan penggunaan petrol atau diesel, jadi, mana mungkin harga barang tersebut tidak naik.

3) Beberapa tahun lepas, penggunaan utama bagi kenderaan ialah Ron97 namun ditukar ke Ron95 yang lebih murah dan kurang kualitinya. Namun, sekarang Ron95 makin mahal harganya dan ada ura-ura untuk penggunaan Ron92 yang lebih teruk kualitinya. Maknanya, semakin membangun dan maju negara dan teknologi kita, kita semakin ke belakang dari segi penggunaannya. Kita berundur ke arah produk yang tidak berkualiti untuk kenderaan dan alam sekitar.

4) Alasan kenaikan ini disebabkan untuk merasionalisasikan subsidi adalah tidak wajar. Ini kerana, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan hasil minyak, kelapa sawit, getah dan sebagainya. Agak pelik, Malaysia yang merupakan pengeksport petroleum tetapi harga petrol di Malaysia antara yang laing mahal dibandingkan dengan pengeksport yang lain. Apabila menjadi pengeksport minyak, pastinya banyak hasil untuk negara ini. Apabila dijadikan alasan kenaikan harga minyak dunia, sepatutnya hasil Malaysia sendiri bertambah. Persoalannya, bagaimana pengurusan kewangan negara kita? Ada 2 Menteri Kewangan tapi pengurusan masih di takuk lama.

5) Selain isu ini, rakyat dihimpit dengan pelbagai masalah. Harga rumah tinggi, harga kenderaan meningkat dan kos pendidikan bertambah terus menghantui masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Dengan kenaikan harga minyak dan barang keperluan harian, menjadikan rakyat terus dibelenggu masalah. Belum ditambah lagi isu pengangguran dan isu keselamatan yang berada di tahap kritikal yang masih belum diselesaikan.

6) Pemberian BR1M bukan langkah penyelesaian kerana hanya diberikan kepada kelompok tertentu. Kesusahan yang dialami bukan dirasai oleh golongan berpendapatan RM 3000 ke bawah saja tapi, golongan yang berpendapatan lebih dari itu, turut merasai kesusahan. Masalah no. 4 yang dinyatakan tidak menjamin golongan yang berpendapatan lebih RM 3000 untuk survive, apatah lagi jika ahli keluarganya ramai.

7) Ubah Gaya Hidup – Saya setuju dengan slogan ini dalam menghadapi suasana sekarang. Cuma, bodohlah jika yang nak diubah gaya hidup tu pada golongan bawahan sedangkan golongan atasan terus bersikap boros, mengamalkan rasuah, tidak mengamalkan penjimatan dan tidak langsung prihatin nasib golongan bawahan. Golongan atasan dan pemerintah dikekalkan subsidi 100% untuk petrol, tol dan lain-lain sedangkan untuk rakyat, dikurangkan subsidi atas alasan rasionalisasikan subsidi. Kita harus ingat, Rasulullah, apabila umat Islam mengalami zaman pemboikotan ekonomi, Rasulullah sendiri ikat perut bersama-sama para sahabat.


Kesimpulan, rakyat terus diperbodohkan.. lagi dan lagi... Adakah kita hanya diam membisu atau hanya kutuk dari belakang? Itulah akibatnya apabila membiarkan si penipu, si perasuah dan si penyamun berkuasa. Maka, mereka akan terus bermaharajalela.....

Ini bukan soal politik, bukan soal parti yang kita sokong sebelum ini. Ini bukan soal hak individu tapi ini adalah hak rakyat. Saya mungkin masih boleh survive akibat kenaikan harga minyak ini, tapi saya tetap memikirkan masalah rakyat yang lain. Usah hanya mementingkan diri sendiri akibat kemewahan diri sendiri hingga melupakan kesusahan dan kepayahan orang lain.

Wallahua'lam