Saturday, February 22, 2014

Wow Factor

Firman Allah: "Dan Kami wahyukan kepada Musa, 'Lemparkanlah tongkatmu!' Maka tiba-tiba ia menelan (habis) segala kepalsuan mereka. Maka terbuktilah kebenaran dan segala yang mereka kerjakan sia-sia. Maka mereka dikalahkan di tempat itu dan jadilah mereka orang-orang yang hina. Dan para pesihir itu serta merta menjatuhkan diri dengan bersujud. Mereka berkata, 'Kami beriman kepada Tuhan seluruh alam, iaitu Tuhannya Musa dan Harun.' Firaun berkata, 'Mengapa kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya ini benar-benar tipu muslihat yang telah kamu rencanakan di kota ini, untuk mengusir penduduknya. Kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu ini). Pasti akan aku potong tangan dan kakimu dengan bersilang(tangan kanan dan kaki kiri atau sebaliknya), kemudian aku akan menyalib kamu semua.' Mereka (para pesihir) menjawab, 'Sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami. Dan engkau tidak melakukan balas dendam kepada kami, melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami ketika ayat-ayat itu datang kepada kami.' (Mereka berdoa), 'Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan matikanlah kami dalam keadaan muslim (berserah diri kepada-Mu).'" (Al-A'raf, 7: 117 - 126)

Allah Taala mengurniakan kehebatan dan kemuliaan kepada Rasul-Rasul dalam mereka menyampaikan dakwah. Kata-kata mereka, perbuatan mereka dan mukjizat yang Allah kurniakan kepada mereka semestinya memberi impak kepada ummat dan mad'u mereka. Impak inilah yang boleh dipanggil Wow Factor!

Dalam firman Allah di atas, tiada apa lagi yang mampu diucapkan oleh para pesihir Firaun setelah melihat hebatnya mukjizat Allah Taala. Hatta, Firaun menggertak untuk menyalib mereka namun tidak dapat mengatasi kekaguman terhadap mukjizat tersebut. Wow!! Kagum sungguh pada mukjizat Nabi Musa.

Begitu juga terkesimanya apabila musuh-musuh Rasulullah mendengar ayat-ayat Al-Quran dan ianya menjadi impak terbesar dakwah Rasulullah s.a.w. Wow!! Ayat apakah ini? Sangat luar biasa!

Justeru itu, dakwah ini sebenarnya memerlukan impak sehebat begini dalam menyantuni masyarakat. Bahkan, sekiranya kita membaca atau mengikuti sejarah tokoh-tokoh dakwah seperti Hasan al-Banna, Yusuf Qardhawi, Syed Qutb, Ahmad Deedat dan lain-lain, semestinya mereka mempunyai aura dan kekuatan tertentu. Kagumnya masyarakat kepada mereka pastinya disebabkan oleh Wow Factor dari Allah iaitu berpegang dan berdampingnya dengan Al-Quran.

Wahai Dai'e, berdampinglah dengan Al-Quran dan semoga ianya menjadi aura, kekuatan atau Wow Factor untuk mengetuk hati-hati ummat dan mengajak mereka ke jalan yang benar.

Wallahua'lam...

Sunday, February 16, 2014

Rekabentuk

 

Dalam merancang sebuah pembangunan material yang besar seperti di dalam industi automotif dan industri pembinaan atau construction, perancangan yang rapi harus dilaksanakan. Apabila bercerita tentang perancangan, ianya harus dikaji dengan teliti dan rekabentuk (design) perlu dilaksanakan secara persis atau tepat. Mustahil sebuah kenderaan dapat dihasilkan dan sebuah bangunan dapat didirikan tanpa perancangan dan rekabentuk yang terbaik. Jika perancangan dilaksanakan sambil lewa dan rekabentuk yang tidak teliti, ianya bukan sahaja gagal menghasilkan hasil yang terbaik bahkan keselamatan pengguna juga terancam. Itulah peranan ilmu kejuruteraan dan ilmu seni bina. Bahkan, setiap rekabentuk keseluruhan bangunan dan segala sistem yang ada perlu disemak berulang kali oleh pihak perunding bagi memastikan ianya sangat menepati kualiti dan kehendak pengguna.

Firman Allah: "Yang memiliki kerajaan langit dan bumi, tidak mempunyai anak, tidak ada sekutu bagi-Nya dalam kekuasaan-Nya, dan Dia menciptakan segala sesuatu, lalu menetapkan ukuran-ukurannya dengan tepat." (Al-Furqan, 25: 2)

Sebenarnya, apa yang dilaksanakan oleh manusia adalah sunnatullah. Ianya mengikut apa yang Allah buat bagi kerajaan-Nya sendiri. Allah sendiri merancang dan mencipta sebaik-baiknya serta merekabentuk alam ini dengan sepersis-persisnya sebelum penghasilan alam yang indah ini. Ilmu Allah itu sangatlah banyak dan ianya dimanfaatkan oleh manusia sebaik-baiknya untuk kebaikan keseluruhan alam.

Maka, sebagai seorang dai'e harusnya mengambil iktibar dengan firman Allah ini. Dalam menjayakan misi dakwah yang sangat besar, kita harus merancang serapi-rapinya dan merekabentuk dakwah yang diinginkan. Ianya, perlu dirancang untuk tempoh yang sangat lama dan panjang dan tidak akan berjaya untuk tempoh yang singkat. Bak kata seorang ikhwah, "Kalau kita nak buat kerja dakwah dan tarbiyah ini, kita kene pulun!!"



Sekiranya, kita sambil lewa dalam merancang dan bekerja, dan semberono dalam merekabentuk dakwah yang diinginkan, semestinya, bangunan dakwah yang ingin dibina hancur dan musnah. Lihat saja tragedi bangunan runtuh akibat tangan-tangan manusia dan jangan kita pula sebagai dai'e yang meruntuhkan dakwah yang ingin dibina.
 

Wallahua'lam...

Thursday, February 6, 2014

Dare To Fail


Manusia sering mengimpikan kejayaan yang berterusan tapi kadang-kadang mereka lupa bahawa kejayaan itu hadir dengan bermulanya kegagalan. Mengapa harus bimbang kepada kegagalan pada awalnya jika itu merupakan lonjakan kepada kejayaan di akhirnya.
 
Maka, usahlah bimbang jika kita terpaksa menempuh kegagalan dalam kehidupan ini kerana ianya adalah ruang untuk melakukan penambahbaikan demi  kejayaan yang lebih besar.