Wednesday, June 17, 2015

Gagasan Politik Baru dan Progresif

Barisan Nasional Era 90-an
Pada pertengahan tahun 90-an, saya merasakan Malaysia ini diperintah oleh pemimpin yang sangat hebat. Ketika itu, Perdana Menteri ialah Dato' Sri Dr Mahathir Mohammad (Dr M) dan Timbalan Perdana Menteri ialah Dato' Sri Anwar Ibrahim (DSAI). Politik Pembangkang yang agak kuat mencabar kerajaan pusat ialah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan. Namun segalanya berubah pada 2 September 1998 apabila DSAI dipecat daripada kerajaan dan UMNO. Bagi saya, itulah tarikh permulaan kejatuhan UMNO dan bermulanya era kebangkitan Parti Pembangkang.

Dr M terus memerintah dan diganti oleh Pak Lah dan kini, Dato' Sri Najib. Prestasi UMNO semakin teruk, begitu juga Barisan Nasional (BN). Paling muktahir pada PRU-13 pada 2013 di mana sokongan rakyat pada BN hanya sekadar 48% dan diselamatkan oleh kawasan Borneo, FELDA dan luar bandar. Seolah-olah tiada jalan keluar atau selamat untuk BN bangkit seperti zaman Dr M.

Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat
Parti Pembangkang pula mula mendapat perhatian selepas pemecatan DSAI. Apabila DSAI dipenjarakan, Barisan Alternatif diwujudkan hasil gabungan PAS, DAP, PRM dan PKN (Parti Keadilan Nasional) dan diketuai oleh Ustaz Fadzil Noor. Akhirnya pada 1999, PAS menang besar dan dapat menawan Terengganu. Sayangnya DAP kalah teruk dan menarik diri dari Barisan Alternatif. Ianya lebih kepada punca fobia pada masyarakat Cina. Setelah pemergian Ustaz Fadzil Noor, Barisan Alternatif seolah-olah tiada 'umph' dan tak dapat pergi jauh dan akhirnya PAS tumbang di Terengganu dan nyaris kalah di Kelantan pada PRU-11 pada 2004.

Apabila DSAI dibebaskan sekitar pertengahan 2000-an, parti pembangkang akhirnya disatukan kembali di bawah Pakatan Rakyat (PR) dengan PAS, PKR (PKN + PRM) dan DAP. Kesannya ialah apabila PR dapat menafikan majoriti 2/3 dan menawan 5 negeri pada PRU-12 pada 2008. Seterusnya, pada PRU-13 pada 2013, di samping menafikan majoriti 2/3, PR juga berjaya meraih undi majoriti keseluruhan sebanyak 52%.

Pakatan Rakyat Berkubur
Begitulah serba sedikit fenomena politik Malaysia dalam masa 20 tahun. Politik Malaysia sememangnya begitu menarik dengan pelbagai isu, watak dan pergolakan. Isu muktahir apabila PAS mengusulkan untuk memutuskan hubungan dengan DAP pada Muktamar ke-61, tambah menghangatkan lagi pergolakan di dalam PR. Hingga menyebabkan DAP mengisytiharkan Pakatan Rakyat berkubur pada 16 Jun 2015 disebabkan isu tersebut. Apabila melihat pergolakan ini, mungkin ada di kalangan rakyat yang bersyukur apabila PR masih belum memerintah Malaysia lagi. Jika tidak, makin celarulah pentadbiran negara, bahkan lebih celaru dari keadaan sedia ada.

Merujuk pada artikel saya sebelum ini - http://imam-abuhanifah.blogspot.com/2015/02/gagasan-politik-baru.html, sebenarnya artikel yang ditulis ini adalah lanjutan daripada krisis yang dialami oleh PAS. Saya secara peribadi melihat hasil Muktamar PAS ke-61 seolah-olah menjadikan parti tersebut terkebelakang dan semakin menjauhi citarasa rakyat yang mahukan pembaharuan. Dalam keadaan rakyat yang berbilang kaum, kerosakan umat yang semakin tak terbendung, penderitaan rakyat akibat penindasan pihak berkuasa dan isu-isu lain seperti kewangan, sosial dan sebagainya, memerlukan sebuah parti politik yang ke hadapan untuk menyantuninya. Ternyata, PAS yang sebelum ini bangga dengan slogan "PAS For All" gagal menghadapinya. Makin memilukan ahli-ahli yang ditarbiyah dari segi berlapang dada dalam menerima pendapat, seolah-olah tidak mengotakan apa yang dikatakan. Bukankah Islam mengajar "Walk The Talk"?

Apabila mengenangkan nasib Pakatan Rakyat kini, pasti ramai yang merindui kelibat DSAI di dalam arena politik Malaysia. Bagi saya, DSAI adalah di antara pemimpin politik negara yang mampu menyatukan kekuatan parti politik. Lihat saja dengan wujudnya Pakatan Perpaduan Sabah (PPS) dan Angkatan Perpaduan Sabah (APS) di bawah pimpinan Lajim Ukin dan Wilfred Bumburing. Dengan wujudnya APS dan PPS ini, PR mampu menembusi kekuatan BN di Sabah.

Gagasan Politik Baru dan Progresif
Sememangnya, kita perlu merentasi sebuah politik yang "smart". Bukan saja parti politik yang "smart", tetapi politik juga mesti "smart". Dan parti politik yang mahu terjun ke dalam politik yang "smart", semestinya mesti "smart"!! Justeru itu, melihat kepada keperluan rakyat kini, kita sememangnya memerlukan sebuah Gagasan Politik Baru dan Progresif yang semestinya ditunjangi oleh sebuah Parti Progresif Islam yang membawa kepada keadilan sejagat dan membawa keharmonian negara. Bukan sahaja PKR dan DAP, bahkan Gagasan Politik ini perlu disertai oleh parti-parti lain dari Sabah dan Sarawak dengan bertujuan meluaskan empayar kekuasaan kepada semua. Tiada masalah dengan parti kecil, kerana apabila sudah berpakat pasti akan membesar dan lebih kuat.

Inilah yang kita mahukan - Gagasan Politik Baru dan Progresif. Baru dan Progresif di sini membawa maksud ke arah kemajuan politik semasa, idea-idea baru, cakna dan memperjuangkan isu rakyat dan negara secara keseluruhan, menguruskan perbezaan pendapat dalam pentadbiran, menolak isu perkauman yang sempit dan membawa kepada corak pemerintahan Islam yang syumul.

Kini, rakyat sudah muak dengan politik sempit yang tidak membawa kepada kebaikan, melainkan perseteruan yang berpanjangan. Wajah Politik Baru perlu dihidangkan dan dibentangkan seluas-luasnya. Kita harus bergerak ke hadapan dengan membina Malaysia Baru melalui Gagasan Politik Baru dan Progresif.

Wallahua'lam...