Untuk permulaan, dikongsikan secara ringkas pencapaian tokoh zaman lampau:
Pencapaian Zaman Khalifah Abu Bakar, Umar Al-Khattab dan Umar Abdul Aziz
1. Apabila Rasulullah s.a.w. wafat, baginda diganti oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan pemerintahan beliau selama lebih kurang 2 tahun sebagai khalifah. Jasa beliau seperti diketahui adalah lebih kepada menyelamatkan akidah umat Islam seperti memerangi orang yang tidak membayar zakat dan memerangi Nabi Palsu.
2. Apabila Abu Bakar wafat, digantikan pula oleh Saidina Umar al-Khattab yang memerintah selama 10 tahun. Pengurusan pentadbiran yang lebih efisien dan perluasan kuasa Islam ke wilayah lain adalah di antara pencapaian terhebat beliau.
3. Khalifah Umar Abd Aziz menjadi khalifah di Zaman Bani Umayyah selama lebih kurang 2 tahun namun mampu menguruskan pentadbiran dan kewangan dengan sangat baik sehingga tiada orang yang layak menerima zakat pada waktu itu.
Banyak lagi sebenarnya kalau hendak dihuraikan pencapaian ketiga - tiga tokoh tersebut, dan banyak lagi tokoh yang hebat dan memberi kesan pada Islam ni secara umumnya.
Pencapaian dan Kegagalan
Menjadi seorang pemimpin, pastilah pencapaian yang dicapai menjadi ukuran. Pencapaian ini lah yang menjadi kayu ukur seseorang itu menjadi pemimpin sama ada dapat dicapai atau tidak. Pastinya rakyat menanti - nantikan sesuatu yang baik, menarik atau luar biasa dari seseorang pemimpin. Paling tidak atau paling teruk, jika tidak dapat mencapai pencapaian yang baik, janganlah melakukan kerosakan atau kesilapan yang merosakkan negara.
Saya lahir sekitar tahun 80-an dan sempat melihat, mengikuti dan merasai pencapaian dan wawasan beberapa tokoh di Malaysia. Istilah yang dahulunya hangat diperkatakan seperti Wawasan 2020, Masyarakat Madani, Dasar Pandang ke Timur dan Negara Berkebajikan, kini seperti hilang ditelan zaman. Ianya idea yang baik dan bernas namun gagal dalam perlaksanaan. Mungkin baik bagi saya tapi tidak pasti bagi orang lain.
Secara ideal, saya sangat mengimpikan sebuah negara yang maju, ekonomi yang stabil, kebajikan rakyat terjaga, Islam didaulatkan tanpa menggugat agama lain dan keharmonian antara kaum. Maka, segala pencapaian dan wawasan pemimpin, tidak kisah siapa pun beliau atau parti politik mana yang diwakilinya, amatlah dialu - alukan. Ini kerana, ianya berkaitan dengan negara dan seluruh rakyat.
Namun, apa yang menyedihkan sekarang, seolah - olah tiada lagi wawasan dan pencapaian untuk dibanggakan. Keharmonian kaum semakin luntur, skandal dan penyalahgunaan kuasa terus menggila, ekonomi terus merundum dengan pengangguran meningkat dan pelaburan luar yang tidak memberangsangkan, rakyat terus dibebani dengan cukai dan dasar ekonomi yang lemah dan institusi Islam terus diperlekehkan dengan pergaduhan para agamawan. Adakah ini pencapaian yang didambakan? Bagi orang gila dan bodoh, mungkin ya!
Seperti yang ditulis awal tadi, jika tidak menghasilkan pencapaian, jangan pula berbuat kerosakan!
Wawasan Kepimpinan
Firman Allah: "Dan berkatalah orang yang selamat di antara mereka berdua dan teringat (kepada Yusuf) sesudah beberapa waktu lamanya: 'Aku akan memberitakan kepadamu tentang (orang yang pandai) menakbirkan mimpi itu, maka utuslah aku (kepadanya).' (Setelah pelayan itu berjumpa dengan Yusuf dia berseru): 'Yusuf, wahai orang yang amat dipercaya, terangkanlah kepada kami tentang tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk yang dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh bulir (gandum) yang hijau dan (tujuh) lainnya yang kering agar aku kembali kepada orang-orang itu, agar mereka mengetahuinya.' Yusuf berkata: 'Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan dibulirnya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu mereka memeras anggur.'" (Yusuf, 12: 45 - 49)
Tadabbur ayat ini berkaitan takwilan mimpi Nabi Yusuf yang menceritakan wawasan seorang pemimpin dalam menguruskan negara. Bagaimana tindakan atau strategi pemimpin membawa rakyat dalam mendepani ketika waktu senang dan waktu getir. Itu sebab adanya perbahasan ekonomi berkaitan bajet tahunan, perbelanjaan, simpanan, hutang tertunggak dan rizab negara bagi memastikan kewangan terus mapan untuk jangka masa pendek dan panjang.
Bagi seorang pemimpin, pencapaian dan wawasan bukannya untuk diri dia, tetapi untuk kepentingan orang lain. Apabila menyebut pencapaian, pastinya ada wawasan yang teguh dan memberangsangkan untuk dicapai. Lebih malang, jawatan dijadikan jambatan untuk membuat kerosakan seperti mengumpul kekayaan diri dan keluarga, mengkhianati amanah yang diberikan dan mengabaikan tanggungjawab pada yang dipimpin.
Para Nabi juga terdapat kepelbagaian di dalam latar belakang. Nabi Yusuf sebagai contoh, memang berbakat dalam aspek kepimpinan sehingga menawarkan dirinya untuk diangkat sebagai Bendahara Negara!
Maka, bukan semua orang layak diangkat menjadi pemimpin, apatah lagi pemimpin negara. Dan, di antara ciri - ciri pemimpin negara ini adalah berwawasan dan berpandangan jauh dalam membangunkan negara. Ya, Wawasan itu sememangnya adalah untuk sesuatu yang jauh dan besar matlamatnya.
Justeru itu, ini lah ciri - ciri yang diidam - idamkan bagi melahirkan atau menaikkan seorang pemimpin. Tidak kira negara dan zaman, menaikkan pemimpin yang baik dan berwawasan adalah dituntut demi menyelamatkan negara, sebaliknya, menaikkan pemimpin yang rosak dan lemah pasti akan membinasakan negara.
Wallahua'lam...