Saturday, February 11, 2017

Sebuah Catatan: "Perpuakan PAS Era Abdul Hadi Awang 2002 - Jun 2015"


Dalam sebuah organisasi, lebih - lebih lagi parti politik, akan berdepan dengan tiga keadaan iaitu membesar, mengecil dan statik. Keadaan ini bergantung pada halatuju pimpinan pada waktu itu.

Dalam mana - mana parti politik, keadaan membesar akan menyebabkan perpecahan atau perpuakan. Sebut saja parti mana, UMNO, PAS, telah merasainya. Bahkan parti lain seperti PKR sendiri, seolah - olah sedang menuju ke arah itu. Cuma, bagaimana bibit - bibit perpecahan itu diuruskan atau dikurangkan. Jika gagal, maka, kita akan lihat perpecahan atau perpuakan itu membesar.

Sejak 1951, PAS telah berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan. PAS pernah mengalami perpecahan hingga tertubuhnya HAMIM dan BERJASA. Namun, PAS tetap utuh menghadapinya. PAS berkembang bukan sahaja di kalangan orang Melayu - Islam, tetapi melangkaui bangsa dan agama, sesuatu yang tak terjangkau dek akal. Slogan 'PAS For All' pasti akan dikenang oleh ahli PAS dan rakyat Malaysia, di mana, inilah waktu kemuncak PAS dalam sejarah penubuhannya dengan keahlian hampir mencecah 1 juta orang. Namun, perpecahan dan perpuakan yang tidak dapat dielak hingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (AMANAH) melenyapkan sedikit sebanyak kegemilangan parti tersebut. Banyak ramalan dan nujum pengamal politik berkaitan nasib PAS dan AMANAH. Adakah PAS akan terus mengecil atau akan bangkit kembali? Dan, adakah AMANAH akan terus membesar atau mengulangi nasib seperti HAMIM dan BERJASA?

Apa pun, bagi pandangan saya seperti pada awal catatan ini, kebangkitan dan kekuatan sesebuah parti itu bergantung pada pembaharuan, re-branding dan halatuju pimpinannya. 

Kesimpulannya, buku ini tidak sepatutnya menjadi ruang untuk terus bertelagah atau menuding jari, tetapi, sebaiknya menjadi ruang untuk penambahbaikan pada masa hadapan dan juga pengajaran untuk parti politik yang lain. Itulah cabaran menguruskan sekelompok manusia, hatta menguruskan sebuah keluarga saja sudah cukup susah, inikan pula menguruskan sebuah organisasi yang besar.


Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment