Filem Do-Re-Mi, salah satu cerita yang saya tak jemu tengok. Babak yang paling menarik ialah bila Do Re Mi masuk rumah nak jual berus gigi tapi pakaian bukan main cantik dengan kot, tali leher dan kasut kilatnya. Tapi pakai topeng mata macam penyamun. Lepas itu, tuan rumah kena paksa membeli.
Memang sinonim dengan situasi sekarang. Maksud yang tersirat ialah Do-Re-Mi itu orang berniaga tetapi berniaga macam penyamun, paksa orang beli dan bayar walaupun orang itu tak perlukan barang itu.
Banyak terjadi sekarang. Laporan audit negara tahun 2007, begitulah keadaannya. Barang yang tak perlu, pun dibeli, kemudian dengan harga mahal pula tu. Barang yang murah, boleh jadi berkali-kali ganda mahalnya. Barang yang langsung tak diperlukan, tapi dibeli hanya sebab nak memuaskan hati penyamun yang bertali leher dan berkot itu. Laporan audit negara 2008 pula, 1 liter petrol bernilai RM 300 yang berlaku di Pulau Pinang.
Siapa penyamun dan siapa yang kena samun?
Penyamunnya ialah kontraktor, pembekal dan pegawai yang meluluskan tender itu. Yang kena samun ialah rakyat, duit pembayar cukai, duit yuran sekolah. Patutnya duit itu boleh buat belanja budak sekolah, bantuan buku dan bantuan makanan, tetapi masuk poket penyamun. Kemudian, dalam 'scene' yang sama, ada pula watak polis. Siapa polis itu?
Hebat betul P.Ramlee mengintepretasikannya. Beliau mungkin telah lihat perkara begitu dalam zamannya, sebab itu filemnya masih sinonim dan tak jemu ditengok. Penyamun- penyamun itu masih berleluasa sampai sekarang dan ada yang dapat perlindungan pula itu.
B) TIGA ABDUL
Cuba pula kita lihat filem Tiga Abdul. Tuan Penasihat ada macam-macam. Tapi kalau silap pilih, penasihat yang paling bijak pun boleh jadi macam sangkar perangkap monyet. Silap haribulan perangkap makan tuan. Tuan penasihat memang dah tetapkan ‘25%’ dalam setiap urusan. Modal dia, bagi idea saja, air liur saja. Begitulah sekarang, tiap urusan memang dah ada ‘25%’ itu untuk orang tengah.
“Kalau marah nanti kena jual.” Itulah syarat utama dalam perjanjian Tiga Abdul dengan Saddiq Sigaraga. Apa maksud P.Ramlee itu? Apa kena-mengena dengan orang marah?
Orang marah ialah orang yang gagal mengawal emosi mereka. Orang marah telah ditiupkan dengan api kemarahan oleh syaitan. Kelemahannya akan terserlah. Hanya orang bijak saja dapat memanipulasi kelemahan ini. Setengah orang, bila melihat orang marah,dia jadi takut atau cuba menenangkan orang itu. Tapi manipulator akan ambil kesempatan sebab orang tengah marahlah paling senang kena provok. Orang yang marahlah akan buat tindakan bodoh, cakap yang tak senonoh dan senanglah manipulator masukkan dia dalam perangkap monyet dan jual dekat restoran eksotik. Dalam Tiga Abdul, jadi hamba lelongan.
Ini banyak jadi dalam politik. Ada seorang yang bertaraf menteri, yang dulu tugasnya mengawal kegiatan kongsi gelap kelas pertama, sebab marah fasal isu ketuk ketampi dan tersalah cakap pasal pelancong negeri Hang Li Po terus kena tukar mengawal kegiatan samseng di sekolah. Jauh sangat turunnya.
P.Ramlee telah beritahu fasal pentingnya Emotional Quotent dulu lagi. Walaupun istilah EQ belum lagi ada masa itu. Hingga untuk perkara baik pun mesti dijaga EQ itu. Lihat semasa Dua Abdul itu ditemukan dengan isteri masing-masing, Abdul Wahib menyergah, supaya mereka mengawal perasaan dan perlakuan.
C) ALI BABA BUJANG LAPOK
Dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, penyamun boleh bawa berpakat, tak ada masalah, asalkan pandai. Boleh buat-buat macam kena rompak, lepas itu claim insurance. Penyamun zaman Ali Baba Bujang Lapuk pun ada persatuan. Samalah macam sekarang, ada macam-macam persatuan dan institusi yang menyamun duit rakyat. Ada macam-macam projek yang kononnya menjaga kepentingan rakyat, tapi sebenarnya nak diagih-agihkan peruntukan kerajaan itu sesama mereka.
“Kalau awak berani mencari lain penyamun, seluruh persatuan penyamun akan mengambil tindakan.” Banyak yang tersirat dalam dialog filem itu sebenarnya.
P.Ramlee dah bagitahu penyakit-penyakit orang Melayu lama dulu. Sekali lagi, kita buat silap, tak pandai nak ambil iktibar yang disampaikan P.Ramlee 40 tahun dulu dan selama 40 tahun itu lah kita hanya pandai gelak bila lihat komedi sinis P.Ramlee di TV tapi tak pandai menilai.
P.Ramlee memang genius, belum ada lagi filem Melayu sekarang ini yang dapat mengetengahkan isu isu orang Melayu secara sinis dalam panggung wayang...atas layar perak. Sebagai orang seni, P.Ramlee cukup sensitif dengan masalah masyarakat Melayu masa itu. Kehebatan beliau terletak pada bagaimana beliau menceritakan kisah Melayu dengan analogi yang halus sekali. P.Ramlee menggunakan adab Melayu yang suka beralas bila bercakap, tapi menerusi medium filem. Filemnya sarat dengan mesej.
D) NUJUM PAK BELALANG
Nujum Pak Belalang, nasib negara ditentukan dengan pertaruhan dan ego si Sultan. Pertaruhan, perjudian, sudah tentu ada taukehnya. Isu hangat yang terjadi. Tauke judi pun terlibat dalam menentukan siapa yang patut jadi ‘Ketua kepada segala ketua perbicaraan.’ Sang penasihat, Si Kitul jadi dalangnya. “Correct... Correct... Correct.”
Dalam filem itu, ahli nujum lah yang menjadi penasihat negara. Apa apa yang dimusykilkan Sultan, pendapat ahli nujum lah yang penting. Sama seperti sekarang, penasihat negara ialah peguam. Nasihat peguam penting sebab dia yang tahu selok belok undang-undang. Ada peguam negara dan ada peguam broker.
Sebab terlalu ghairah bercerita, habis semua jawapan teka teki diberi tahu oleh ahli nujum itu, dia tak tahu si Belalang tengah curi dengar, yang secara kebetulan bersembunyi bawah pelana perahu. Cuma Belalang moden tu badannya besar. Dia tak bersembunyi, cuma pakai kamera tersembunyi sambil duduk atas kerusi. Sang peguam pula beria-ia bercerita, dia langsung tak tahu ada orang curi rakam pula tu. Habis semua dia bagitahu segala rahsia dan komplot. Sebab ahli nujum dan peguam penasihat tak mengikut etika, muslihat masing-masing makan tuan. Bukan itu saja, dengan tuan masing-masing tergadai. Dalam filem itu, Sultan Masai tergadai negeri, dalam cerita moden, hakim tergadai maruah.
Hairan, filem yang dah 40 dan 50 tahun dulu masih sinonim sekarang. Saya tak pasti samada peristiwa yang sama atau hampir sama pernah terjadi masa zaman P.Ramlee hidup dulu.
E) MUSANG BERJANGGUT
Musang Berjanggut, satu filem yang begitu klasik penyampaiannya kerana ia satu-satunya komedi sinikal yang berprofil tinggi yang dihasilkan P.Ramlee. Maksudnya, ceritanya ini memaparkan telatah kurang akal di sebalik jawatan dan protokol pemerintah bila berdepan dengan godaan wanita. Berprofil tinggi kerana kononnya yang terlibat ialah Baginda Sultan, Menteri dan Orang Besar Kerajaan. Ada yang sanggup jadi kerusi, kuda tunggangan, hiasan rumah dam macam-macam lagi kerana wanita. Masing-masing cuba menyembunyikan kebobrokan sendiri, padahal mereka saling tahu tentang kebobrokan sesama mereka. Namun, salah seorang akan menjadi mangsa untuk menyedarkan tentang kebobrokan masing-masing. Seronoknya, bila dibuka peti yang kononnya ada musang terperangkap, masing-masing terpinga-pinga, dan segala orang besar istana, Menteri dan Baginda sendiri tahu yang rahsia mereka dah diketahui. Musang yang tertangkap itu pula ialah orang kuat Baginda sendiri. Orang kuat Baginda terperangkap sebab menyorok dalam tempat yang salah pada waktu yang salah. Jadilah dia mangsa untuk dijadikan bukti di hadapan Sultan. Sultan pula tergamam tak terkata.
Namun kisah ini tidak disulami dengan kematian atau letupan tapi disudahi pula dengan ‘happy ending’ sebagai satu bentuk memohon maaf dari P.Ramlee jika menyinggung pihak tertentu. Tajam sungguh sindiran P.Ramlee itu, dan kebelakangan ini, filem tersebut seperti terkeluar dari senarai rancangan TV jika ada slot untuk tayangan filem-filem P.Ramlee.
P.Ramlee ialah pengkritik sosial terhebat melalui medium filem dan filem-filemnya dah sampai satu peringkat macam cerita rakyat sebab sentiasa sinonim dengan apa zaman pun. Cerita rakyat macam Aladdin, Golden Egg Goose, Luncai dan labunya, tetap segar walaupun dah beratus tahun, moralnya masih relevan, tak kira zaman. Cerita P.Ramlee akan jadi begitu juga. Ada banyak lagi yang tersirat, banyak moral kalau diteliti setiap filem P.Ramlee.
Apa yang P.Ramlee karyakan memang terjadi dulu,sekarang dan masa akan datang juga. Beliau ada kemahiran mengutarakan isu-isu kronik dengan secara sinis dan tidak menghentam orang secara terus tapi secara berseni sekali. P.Ramlee sebenarnya mengajak orang Melayu berfikir, melihat cermin dan menilai diri sendiri. Tak ramai yang dapat melihat apa yang dilihat P.Ramlee menerusi karyanya. Bagi mereka yang faham, terasa tersindir. Tapi yang tak sedar diri, terbahak-bahak gelak, kemudian terdiam sekejap sebab tersedar yang dia menggelakan diri sendiri.......
Hahahahahaha...... Hahahahahaha....
*Artikel ini telah diemail oleh Kharuddin Abdul Wahab kepada penulis dan terdapat sedikit pengubahsuaian.