Kehidupan yang penuh keseronokan amat disukai oleh semua manusia. Tidak perlulah untuk banyak berfikir atau berusaha andainya kehidupan tidak ada liku-likunya. Masakan tidak, di saat seseorang menikmat begitu banyak keseronokan dan kebahagiaan, begitu ramai orang di sampingnya dan menyanjunginya. Namun apabila seseorang itu ditimpa cubaan ataupun musibah, kehidupan adalah sebaliknya. Dia tidak lagi dipedulikan oleh rakan-rakannya. Bukan mudah untuk mencari kawan yang sentiasa berada di samping kita di waktu senang ataupun susah.
Teringat sebuah lirik lagu dari Kumpulan Hijjaz:
“Alangkah susah mendapat kawan,
Bukan kenalan di zaman ini,
Berpunca dari hati yang rosak,
Kerana dunia memautnya….”
Jika pada zaman Rasulullah, para Sahabat amat menantikan cubaan atau dugaan dari Allah. Mereka cukup resah jika tiada cubaan mendatangi mereka. Bagi mereka, cubaan-cubaan inilah sebagai bukti Allah sentiasa memerhatikan dan ingatkan mereka dan sebagai bukti Allah masih sayangkan mereka.
Kenapa sebaliknya bagi kita? Kenapa yang kita harapkan hanya indah-indah belaka? Kenapa kita gagal mendidik jiwa kita seperti para Sahabat?
Firman Allah: “Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah, 2: 155)
Firman Allah: “Dan Dialah yang menjadikan kamu sebagai khalifah-khalifah di bumi dan Dia mengangkat (darjat) sebahagian kamu di atas yang lain, untuk mengujimu atas (kurnia) yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya, Tuhanmu sangat cepat memberi hukuman dan sungguh, Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Al-An’am, 6: 165)
Teringat juga sebuah lirik lagu yang bertajuk 'Sabar':
“Bersabarlah dan bertawakallah,
Dalam kehidupan ini,
Sesuatu yang terjadi itu,
Tentu ada hikmahnya…”
Mungkin itu rahsia atau hikmah di sebalik cubaan-cubaan yang menimpa Rasul-Rasul dan para Sahabat yang menjadikan mereka tetap utuh memperjuangkan Islam. Walau apa jua cubaan yang menimpa, mereka tetap bersabar untuk mendapat Syurga Allah.
Semoga dengan cubaan-cubaan yang sering melanda, memotivasikan diri kita dan menjadikan diri kita tetap teguh dalam Islam dan terus bersangka baik dengan Allah. Sudah pasti ada hikmahnya di sebalik cubaan-cubaan yang di luar pengetahuan kita sebagai manusia.
No comments:
Post a Comment