Tuesday, April 26, 2011

Program Motivasi Sains & Al-Quran SMA Nilai

NILAI, 24 April 2011 - Pada 23 dan 24 April 2011, telah berlangsungnya Program Motivasi Sains & Al-Quran di Sek. Men. Agama (SMA) Nilai, hasil kerjasama dengan Futuwwah Training & Consultancy. Program ini dihadiri oleh seramai 48 orang pelajar Tingkatan 4 dan 5 manakala dari pihak Futuwwah dihadiri oleh seramai 12 orang fasilitator.

Program bermula dengan Majlis Perasmian oleh Puan Aisyah, wakil guru SMA Nilai di samping ucapan guru kaunselor, Puan Siti Suria dan wakil Futuwwah iaitu Pengurus Besar, En. Abu Hanifah bin Mohd Kamal. Dalam majlis perasmian ini, pihak sekolah mengalu-alukan usaha Futuwwah dalam membantu memperbaiki akademik dan sahsiah para pelajar.

Sejurus majlis perasmian, program bermula dengan Ceramah 1 yang bertajuk "Sains & Al-Quran" yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Shahman bin Md Azmi, Senior Consultant Futuwwah. Dalam slot ini, dihidangkan aplikasi Sains menurut acuan Al-Quran dan sekaligus menarik minat para pelajar dalam mempelajari Sains dan Pengajian Al-Quran. Sesudah itu, para pelajar dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk slot LDK 1 iaitu "Menuju Puncak IPT" di mana slot ini, para fasilitator yang terdiri dari pelajar IPT dan golongan professional memberi gambaran tentang cabaran dalam mengharungi cabaran akademik ke IPT dan sekaligus memberi motivasi supaya memajukan diri dalam bidang akademik di samping menjaga imej sebagai seorang pelajar Muslim. Selepas solat Zuhur, para peserta terlibat dengan LDK 2 iaitu "Explorace Sains Solat" yang merupakan aktiviti luar di mana setiap kumpulan akan berlumba-lumba untuk menyelesaikan setiap check point. Pada setiap check point, setiap fasilitator akan menjelaskan tentang Sains Solat iaitu hikmah-hikmah yang terselindung sekiranya melakukan ibadah Solat. Pada malam hari, selepas Solat Isyak, berlangsung LDK 3 iaitu "Serangan Pemikiran" yang menerangkan usaha-usaha golongan musuh Islam yang sentiasa berlumba-lumba merosakkan pemikiran umat Islam tanpa disedari. Inilah antara slot yang perlu diberi penekanan untuk memastikan setiap peserta sentiasa berjaga-jaga dalam menghadapi cabaran di luar sana.

Pada keesokan harinya, seawal pukul 5.15 pagi, semua peserta dan fasilitator bangun pagi dan menunaikan ibadah Qiamullail secara berjemaah yang bertujuan mendekatkan hubungan diri dengan Allah. Selesai sarapan pagi, berlangsungnya slot Ceramah 2 iaitu "Kepentingan Tarbiyyah Kepada Pelajar" yang disampaikan oleh En. Abu Hanifah bin Mohd Kamal, Pengurus Besar Futuwwah. Dalam ceramah ini, diberinya penekanan tentang kerosakan ummat yang cukup hebat melanda manusia dan perlunya umat Islam bertindak agresif dengan melaksanakan program tarbiyyah secara konsisten dan berterusan. Tarbiyyah ini lah yang menjamin seseorang atau sesuatu terselamat dari kehancuran dan azab Allah. Selepas itu, slot yang terakhir berlangsung iaitu LDK 4 yang bertajuk "Peranan Pemuda". Dalam slot ini, setiap peserta diberikan gambaran tentang amanah yang perlu dipikul iaitu amanah kepada agama, Allah, ibu bapa, adik beradik, sekolah, guru-guru, rakan-rakan dan masyarakat. Ini kerana, hanya pemuda yang mampu bertindak dan mencorak masyarakat menjadi lebih baik.

Pada akhir program, berlangsungnya Majlis Penutup oleh Puan Rashidah, GPK SMA Nilai. Beliau secara terbuka menyatakan kerisauan sekiranya para pelajar keluar ke masyarakat kerana cabaran yang cukup hebat menanti mereka di luar sana. Beliau juga berharap agar program yang berlangsung ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar. Dalam majlis ini, turut disampaikan sijil dan cenderahari kepada semua fasilitator yang terlibat.


* Untuk gambar-gambar sepanjang program, sila layari 


ABU HANIFAH BIN MOHD KAMAL
Pengurus Besar,
Futuwwah Training & Consultancy

Tuesday, April 19, 2011

Audit

Bermula semalam hingga ke esok hari, berlangsungnya Audit Kualiti di syarikat saya, manakala di cawangan-cawangan lain, telah dilaksanakan pada minggu lepas. Bahagian saya sendiri diaudit pada hari semalam dan alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Melalui perlaksanaan audit kali ini, dapat dilakukan penambahbaikan di atas segala kekurangan dan kepincangan dalam sistem sesuatu bahagian.

Peranan setiap pekerja adalah: "Buat apa yang didokumenkan dan dokumenkan apa yang dibuat." Jika ini dilakukan, maka tiada sebarang masalah setiap kali menjelangnya audit.

Bahkan, dalam firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan" (As-Saff, 61: 2-3)

Dalam ayat di atas, sebenarnya, ditonjolkan kepentingan audit di dalam Islam ke atas setiap orang mukmin. Justeru, bagi setiap orang mukmin, perlaksanaan mestilah selaras dengan ucapan yang kita lafazkan. Jika tidak, bukan sahaja gagal audit yang dijalankan oleh Allah di akhirat kelak bahkan itulah perbuatan yang cukup dibenci oleh Allah.

Dalam sesuatu sistem tarbiyyah, cukup ditekankan tiga aspek iaitu Tilawah, Tazkiyyah dan Ta'lim (rujuk surah Al-Jumu'ah, 62: 2). Aspek Tazkiyyah iaitu penyucian jiwa adalah simbolik dalam menjaga kualiti seorang dai'e dari segi menjaga mutaba'ah ibadah seperti solat berjemaah, qiamullail, tilawah al-Quran dsb. Itulah sebabnya penjagaan ruhi seseorang itu amatlah penting dalam sistem tarbiyyah. Bahkan seseorang dai'e itu perlulah memandang serius aspek ini kerana ianya untuk dipersembahkan kepada Allah. Bukankah itu audit juga?

Jika dalam pekerjaan dunia memerlukan audit kualiti, apatah lagi kerja dakwah yang sepatutnya lebih ketat dan terkawal prosedurnya kerana melibatkan hubungan terus dengan Pencipta kita.

Sunday, April 10, 2011

Kebangkitan Total!

Setelah teruk diserang dan mengalami serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, lantas Jepun mengisytiharkan diri menarik diri dari Perang Dunia Kedua. Dengan kemusnahan teruk yang melanda negara mereka, mereka melakukan gerakan pemulihan supaya mereka bangkit pada suatu masa nanti. Mereka berikrar akan bangkit untuk menjadi kuasa besar dalam menakluk ekonomi dunia. Ianya terbukti apabila Jepun menjadi salah sebuah kuasa besar ekonomi dunia dan merupakan salah sebuah negara maju. Perubahan yang cukup besar dari segi ekonomi iaitu dalam sektor perindustrian dan kejuruteraan yang berdasarkan falsafah kerja yang mereka cipta sendiri.

Sesiapa yang pernah menjejakkan kaki ke Jepun pasti akan setuju dan kagum dengan sistem pengangkutan yang canggih, kemesraan penduduk tempatan, tatacara dalam berinteraksi, etika di jalan raya, kebersihan, ketepatan masa dan falsafah kerja yang terbaik. Semua orang tahu, dari mana asal-usul falsafah 5S yang dipraktikkan di hampir semua sektor perkerjaan. Juga Kiken Yochi Training - KYT (Hazard Prediction Training) yang popular dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) dan lain-lain lagi. Apakah rahsia kebangkitan rakyat Jepun ini?

Mengapa umat Islam khususnya di Malaysia ini, masih belum lagi membuat kebangkitan total seperti di Jepun? Tidak perlulah kita mengorek rahsia rakyat Jepun sedangkan pada Islam itu sendiri wujud rahsianya. Dengan kemusnahan moral dan akhlak seperti rasuah, fitnah, berzina, merompak, membunuh, buang anak dan tidak berdisiplin, tarbiyyah Islam itulah ubat yang paling mujarab yang mesti ditelan oleh setiap umat Islam. Tarbiyyah inilah yang dibawa oleh Rasulullah dalam menyelesaikan kemusnahan moral Arab jahiliyyah. Bahkan, apa yang dilakukan oleh rakyat Jepun sebenarnya terkandung dalam ajaran Islam dan telah lama dipraktikkan olah Rasulullah, para Sahabat, para Tabi'in dan golongan yang seterusnya.

Kita selalu melihat dan meuji kekuatan dan kehebatan sesuatu kaum, namun, kekuatan dan kehebatan itu sebenarnya ada pada diri kita dan agama kita tetapi tidak diaplikasikan atau tidak disedari. Inilah golongan yang jahil pada diri sendiri...