Bermula semalam hingga ke esok hari, berlangsungnya Audit Kualiti di syarikat saya, manakala di cawangan-cawangan lain, telah dilaksanakan pada minggu lepas. Bahagian saya sendiri diaudit pada hari semalam dan alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Melalui perlaksanaan audit kali ini, dapat dilakukan penambahbaikan di atas segala kekurangan dan kepincangan dalam sistem sesuatu bahagian.
Peranan setiap pekerja adalah: "Buat apa yang didokumenkan dan dokumenkan apa yang dibuat." Jika ini dilakukan, maka tiada sebarang masalah setiap kali menjelangnya audit.
Bahkan, dalam firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan" (As-Saff, 61: 2-3)
Dalam ayat di atas, sebenarnya, ditonjolkan kepentingan audit di dalam Islam ke atas setiap orang mukmin. Justeru, bagi setiap orang mukmin, perlaksanaan mestilah selaras dengan ucapan yang kita lafazkan. Jika tidak, bukan sahaja gagal audit yang dijalankan oleh Allah di akhirat kelak bahkan itulah perbuatan yang cukup dibenci oleh Allah.
Dalam sesuatu sistem tarbiyyah, cukup ditekankan tiga aspek iaitu Tilawah, Tazkiyyah dan Ta'lim (rujuk surah Al-Jumu'ah, 62: 2). Aspek Tazkiyyah iaitu penyucian jiwa adalah simbolik dalam menjaga kualiti seorang dai'e dari segi menjaga mutaba'ah ibadah seperti solat berjemaah, qiamullail, tilawah al-Quran dsb. Itulah sebabnya penjagaan ruhi seseorang itu amatlah penting dalam sistem tarbiyyah. Bahkan seseorang dai'e itu perlulah memandang serius aspek ini kerana ianya untuk dipersembahkan kepada Allah. Bukankah itu audit juga?
Jika dalam pekerjaan dunia memerlukan audit kualiti, apatah lagi kerja dakwah yang sepatutnya lebih ketat dan terkawal prosedurnya kerana melibatkan hubungan terus dengan Pencipta kita.
No comments:
Post a Comment