Thursday, May 15, 2014

Komunikasi

Menurut En. Wikipedia, Komunikasi boleh ditakrifkan sebagai "Satu proses perpindahan maklumat, perasaan, idea dan fikiran seseorang individu kepada individu atau sekumpulan individu yang lain." Ia merupakan proses interaksi yang bererti antara hidupan dan merangkumi kedua-dua perkara iaitu:
1) Perbuatan menghantar maklumat
2) Proses untuk bertukar-tukar maksud
 
Lantaran itu, ianya bertujuan dapat menghasilkan pemahaman. Komunikasi boleh mengambil bentuk, baik secara lisan mahupun tidak, misalnya bahasa gerak-geri, bahasa isyarat, sentuhan, hubungan mata dan penulisan. 
  


Maka, komunikasi ini boleh dikira sebagai interaksi minimum dua pihak. Interaksi ini memerlukan respon daripada kedua-dua belah pihak. Jika hanya satu pihak saja yang bercakap tanpa sebarang respon dari pihak yang lain, maka itu bukanlah komunikasi.
 
Komunikasi ini akan dilihat sebagai elemen yang cukup mudah. Tetapi, mudahnya elemen sering disalah anggap sehingga tidak melihat ianya suatu unsur yang sangat penting. Bahkan, di dalam syarikat-syarikat yang besar, komunikasi dijadikan salah satu nilai-nilai korporat yang perlu ada pada majikan dan pekerja. Mana mungkin kerjasama dalam sebuah syarikat dapat dilaksanakan tanpa komunikasi yang baik. Mustahil juga bagi sebuah syarikat untuk mendapat jualan yang baik jika Sales & Marketing Department tidak berfungsi atau berkomunikasi dengan baik.
 
Begitu juga dengan dakwah. Ketika Jibril a.s menyampaikan wahyu yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w., Jibril memaksa Baginda untuk berkomunikasi dengannya supaya wahyu itu dapat disampaikan. Rasulullah juga berinteraksi dengan mad'u-mad'unya dalam menyebarkan dakwah meskipun adakalanya dibalas dengan cercaan. Maka, sebenarnya, dalam dakwah ini juga menuntut komunikasi yang berkesan untuk melancarkan dakwahnya tidak kira sama ada dakwah itu diterima atau ditolak.
 
Justeru itu, mengapa berlakunya double standard di dalam dakwah ini? Jika di alam pendidikan atau di alam kerjaya, sang dai'e boleh saja berkomunikasi dengan baik, bercakap dengan sesiapa saja dan respon di alam maya (email / sms / WhatsApp); mengapa tidak di dalam dakwah? Agak pelik dengan orang yang menggelarkan diri mereka sebagai sang dai'e tetapi tidak langsung menerapkan ciri-ciri professional di dalam dakwah. Bukankah bergerak aktif di dalam dakwah ini menuntut untuk kita lebih professional di antara satu sama lain? Bersikaplah lebih professional di dalam dakwah ini seperti mana di alam kerjaya, dan tidak perlulah untuk diajar atau ditatang untuk perkara-perkara sekecil ini.
 
Mana mungkin seorang dai'e itu hanya mendiamkan diri atau memencilkan diri dari masyarakat sambil meletakkan harapan dakwah akan tersebar luas.
 
 
Wallahua'lam...

Sunday, May 4, 2014

Kenyataan Media: Isu Sahsiah di Kalangan Remaja

Assalamualaikum.

IKRAMTeens Negeri Sembilan merupakan sebuah institusi yang menguruskan Hal Ehwal Remaja di bawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (Cawangan Negeri Sembilan).
 
IKRAMTeens Negeri Sembilan sentiasa mengikuti perkembangan semasa isu-isu yang melibatkan remaja di seluruh negara. Terbaru, kes yang melibatkan kematian seorang pelajar akibat pergaduhan dengan rakan sekolah di sebuah sekolah berasrama di Selangor.
 
IKRAMTeens Negeri Sembilan melahirkan kebimbangan dengan kes yang melibatkan buli, pergaduhan dan adab dengan ibu bapa/guru di kalangan remaja. Kes-kes ini dilihat semakin membimbangkan dan perlu diberi perhatian dan mendapatkan solusi terbaik untuk perkara tersebut. Sebagai contoh, kes buli adalah isu yang telah lama berlaku terutama sekali di sekolah berasrama dan gejala buruk ini perlu dibuang dan tidak patut diwarisi ke generasi akan datang.
 
Remaja adalah generasi umur yang berkembang dan mudah terpengaruh dengan sekeliling. Usia ini amat kritikal kerana mereka mengalami perubahan menjadi lebih dewasa. Justeru itu, IKRAMTeens Negeri Sembilan menyeru agar wujudnya sokongan dan kebersamaan serta fokus daripada ibu bapa, para guru, jiran, anggota masyarakat dan pemimpin masyarakat.
 
Dalam mendepani masalah ini, IKRAMTeens Negeri Sembilan amat yakin dengan membawa golongan remaja ini kepada tarbiyah dan didikan secara syumul. Didikan ini perlu menerapkan didikan akhlak kepada ibu bapa, guru, rakan sebaya dan masyarakat secara amnya. Akhlak ini seharusnya wujud atas dasar seorang hamba Allah yang menerapkan kasih sayang dan hormat sesama manusia yang sangat bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Islam iaitu 'Rahmatan Lil A'lamin'. Didikan ini boleh diterapkan dalam pengajaran di rumah dan di sekolah atau melibatkan para remaja ini dengan program-program yang bersifat ketuhanan yang membawa mereka ke arah kebaikan.
 
Sehubungan dengan itu, IKRAMTeens Negeri Sembilan sentiasa bersama-sama masyarakat dalam membantu membangunkan sahsiah di kalangan para remaja. Program-program yang dianjurkan IKRAMTeens seperti usrah, program motivasi, program sahsiah, program kepimpinan dan banyak lagi diyakini dapat membantu dan mempersiapkan para remaja ini ke arah yang lebih baik dan lebih dewasa. Peranan semua pihak amatlah dituntut dalam memastikan kerja-kerja pengislahan ini berjaya.
 
 
Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Pengarah,
IKRAMTeens Negeri Sembilan.
Pertubuhan IKRAM Malaysia (Cawangan Negeri Sembilan)