Menurut En. Wikipedia, Komunikasi boleh ditakrifkan sebagai "Satu proses perpindahan
maklumat, perasaan, idea dan fikiran seseorang individu kepada individu atau
sekumpulan individu yang lain." Ia merupakan proses interaksi yang bererti
antara hidupan dan merangkumi kedua-dua perkara iaitu:
1) Perbuatan menghantar maklumat
2) Proses untuk bertukar-tukar maksud
Lantaran itu, ianya bertujuan dapat menghasilkan pemahaman. Komunikasi boleh mengambil bentuk,
baik secara lisan mahupun tidak, misalnya bahasa gerak-geri, bahasa isyarat,
sentuhan, hubungan mata dan penulisan.
Maka, komunikasi ini boleh dikira sebagai interaksi minimum dua pihak. Interaksi ini memerlukan respon daripada kedua-dua belah pihak. Jika hanya satu pihak saja yang bercakap tanpa sebarang respon dari pihak yang lain, maka itu bukanlah komunikasi.
Komunikasi ini akan dilihat sebagai elemen yang cukup mudah. Tetapi, mudahnya elemen sering disalah anggap sehingga tidak melihat ianya suatu unsur yang sangat penting. Bahkan, di dalam syarikat-syarikat yang besar, komunikasi dijadikan salah satu nilai-nilai korporat yang perlu ada pada majikan dan pekerja. Mana mungkin kerjasama dalam sebuah syarikat dapat dilaksanakan tanpa komunikasi yang baik. Mustahil juga bagi sebuah syarikat untuk mendapat jualan yang baik jika Sales & Marketing Department tidak berfungsi atau berkomunikasi dengan baik.
Begitu juga dengan dakwah. Ketika Jibril a.s menyampaikan wahyu yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w., Jibril memaksa Baginda untuk berkomunikasi dengannya supaya wahyu itu dapat disampaikan. Rasulullah juga berinteraksi dengan mad'u-mad'unya dalam menyebarkan dakwah meskipun adakalanya dibalas dengan cercaan. Maka, sebenarnya, dalam dakwah ini juga menuntut komunikasi yang berkesan untuk melancarkan dakwahnya tidak kira sama ada dakwah itu diterima atau ditolak.
Justeru itu, mengapa berlakunya double standard di dalam dakwah ini? Jika di alam pendidikan atau di alam kerjaya, sang dai'e boleh saja berkomunikasi dengan baik, bercakap dengan sesiapa saja dan respon di alam maya (email / sms / WhatsApp); mengapa tidak di dalam dakwah? Agak pelik dengan orang yang menggelarkan diri mereka sebagai sang dai'e tetapi tidak langsung menerapkan ciri-ciri professional di dalam dakwah. Bukankah bergerak aktif di dalam dakwah ini menuntut untuk kita lebih professional di antara satu sama lain? Bersikaplah lebih professional di dalam dakwah ini seperti mana di alam kerjaya, dan tidak perlulah untuk diajar atau ditatang untuk perkara-perkara sekecil ini.
Mana mungkin seorang dai'e itu hanya mendiamkan diri atau memencilkan diri dari masyarakat sambil meletakkan harapan dakwah akan tersebar luas.
Wallahua'lam...
No comments:
Post a Comment