Sunday, May 4, 2014

Kenyataan Media: Isu Sahsiah di Kalangan Remaja

Assalamualaikum.

IKRAMTeens Negeri Sembilan merupakan sebuah institusi yang menguruskan Hal Ehwal Remaja di bawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (Cawangan Negeri Sembilan).
 
IKRAMTeens Negeri Sembilan sentiasa mengikuti perkembangan semasa isu-isu yang melibatkan remaja di seluruh negara. Terbaru, kes yang melibatkan kematian seorang pelajar akibat pergaduhan dengan rakan sekolah di sebuah sekolah berasrama di Selangor.
 
IKRAMTeens Negeri Sembilan melahirkan kebimbangan dengan kes yang melibatkan buli, pergaduhan dan adab dengan ibu bapa/guru di kalangan remaja. Kes-kes ini dilihat semakin membimbangkan dan perlu diberi perhatian dan mendapatkan solusi terbaik untuk perkara tersebut. Sebagai contoh, kes buli adalah isu yang telah lama berlaku terutama sekali di sekolah berasrama dan gejala buruk ini perlu dibuang dan tidak patut diwarisi ke generasi akan datang.
 
Remaja adalah generasi umur yang berkembang dan mudah terpengaruh dengan sekeliling. Usia ini amat kritikal kerana mereka mengalami perubahan menjadi lebih dewasa. Justeru itu, IKRAMTeens Negeri Sembilan menyeru agar wujudnya sokongan dan kebersamaan serta fokus daripada ibu bapa, para guru, jiran, anggota masyarakat dan pemimpin masyarakat.
 
Dalam mendepani masalah ini, IKRAMTeens Negeri Sembilan amat yakin dengan membawa golongan remaja ini kepada tarbiyah dan didikan secara syumul. Didikan ini perlu menerapkan didikan akhlak kepada ibu bapa, guru, rakan sebaya dan masyarakat secara amnya. Akhlak ini seharusnya wujud atas dasar seorang hamba Allah yang menerapkan kasih sayang dan hormat sesama manusia yang sangat bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Islam iaitu 'Rahmatan Lil A'lamin'. Didikan ini boleh diterapkan dalam pengajaran di rumah dan di sekolah atau melibatkan para remaja ini dengan program-program yang bersifat ketuhanan yang membawa mereka ke arah kebaikan.
 
Sehubungan dengan itu, IKRAMTeens Negeri Sembilan sentiasa bersama-sama masyarakat dalam membantu membangunkan sahsiah di kalangan para remaja. Program-program yang dianjurkan IKRAMTeens seperti usrah, program motivasi, program sahsiah, program kepimpinan dan banyak lagi diyakini dapat membantu dan mempersiapkan para remaja ini ke arah yang lebih baik dan lebih dewasa. Peranan semua pihak amatlah dituntut dalam memastikan kerja-kerja pengislahan ini berjaya.
 
 
Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Pengarah,
IKRAMTeens Negeri Sembilan.
Pertubuhan IKRAM Malaysia (Cawangan Negeri Sembilan)

No comments:

Post a Comment