Tuesday, December 29, 2015

JDT



Transformasi yang dilakukan oleh Johor Darul Takzim FC atau JDT ternyata sedikit sebanyak membuahkan hasil. Bukan sekadar meraih kejayaan di dalam Liga Malaysia, tetapi berjaya menjuarai Piala AFC, yang merupakan kejohanan kedua tertinggi di kalangan kelab bola sepak Asia.

Kekuatan kewangan pasukan memberikan kelebihan dalam membeli pemain berstatus bintang, meningkatkan fasiliti dan merangka pembangunan akar umbi untuk jangka masa panjang. Sememangnya, dalam apa jua kerangka termasuk di dalam arena bola sepak, pembangunan akar umbi amat penting seperti di dalam artikel saya sebelum ini - (http://imam-abuhanifah.blogspot.my/2015/09/pembangunan-akar-umbi.html). Sayangnya, hal ini dilupakan dan tidak digunapakai terutama bagi kelab bola sepak di Malaysia kerana mahukan kejayaan yang cepat.

Justeru itu, pelaburan dalam bidang sukan bukan saja memastikan kejayaan merangkul kejuaraan di peringkat domestik dan antarabangsa, tetapi juga berterusan menarik minat rakyat pada sukan berkenaan yang akhirnya turut memberikan keuntungan pada pasukan tersebut.

Semoga kejayaan JDT di arena bola sepak membuka mata pada pesaing di peringkat domestik untuk turut sama melangkah lebih jauh dalam sukan bola sepak.

Monday, December 21, 2015

The Special One



Sejurus beliau dipecat, bekas pasukan bimbingannya mempamerkan aksi yang bertenaga dan memenangi perlawanan liga dengan Sunderland dengan keputusan 3-1. Sedangkan, sebelum beliau dipecat, pasukannya telah kalah sebanyak 9 kali termasuk dengan pasukan bawahan liga. Itulah nasib yang menimpa bekas Pengurus Chelsea, Jose Mourinho.

Chelsea, yang dibimbingnya pada musim ini, adalah pasukan yang sama ketika menjuarai Liga Perdana Inggeris 2014/2015. Dan sehingga hari terakhir beliau bersama Chelsea, pasukan tersebut berada di kedudukan ke-16. Entah di mana silapnya.

Jolokan sebagai "The Special One", adalah suatu yang menggambarkan keistimewaan pada dirinya yang dirasai oleh peminat bola sepak antarabangsa, para pemainnya dan juga lawannya iaitu pengurus yang selalu bertarung dengannya. Gelaran ini sebenarnya tidak menjadikan beliau sentiasa istimewa di arena bola sepak. Tidak perlu pada kekuatan lawan untuk mengalahkannya; cukup sekadar dengan 'sikap' pasukan kendaliannya sendiri yang menyahkan karier beliau yang sedang berada pada tahap kemuncak. Akhirnya, dari seorang yang "Special", menjadi "Nothing Special".

Justeru itu, kita harus ingat bahawa kehidupan ini umpama roda yang tidak selamanya berada di atas. Dan, kita harus bersedia untuk berada di bawah. Apatah lagi, jika keegoan itu yang menyebabkan kita mula dibenci manusia, dan lebih malang lagi apabila dibenci oleh orang sekeliling, rakan karib dan organisasi kita sendiri. Maka, tundukkanlah ego diri kita sesuai dengan keadaan diri dan situasi kita. Sebab, keegoan ini lah yang menyebabkan manusia hilang hormat pada diri kita.

Wallahua'lam...

Tuesday, December 8, 2015

Bina dan Guna

Firman Allah: "Dialah yang mengutus seorang Rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menyucikan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Sunnah), meskipun sebelumnya, mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata." (Al-Jumu'ah, 62 : 2)

Firman Allah di atas menunjukkan 'prosedur' dakwah dan tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. Di antara dalil lain yang mempunyai maksud yang serupa adalah Al-Baqarah, 2 : 129 & 151. Lafaz Tilawah, Tazkiyah dan Taklim menunjukkan langkah-langkah dalam mentarbiyah manusia manakala Taklim juga adalah langkah permulaan di dalam amal dakwah. Ketiga-tiga ini bersifat berturutan dan berterusan.

Justeru itu, kerja-kerja dakwah dan tarbiyah ini perlu berjalan seiringan. Di samping mentarbiyah manusia seperti melaksanakan usrah dan lain-lain, tidak dilupakan juga untuk membuat dakwah pada masyarakat. Tidak sempurna bagi dai'e itu apabila hanya mentarbiyah saja tanpa melakukan dakwah. Dan, tidak betul juga apabila sibuk melakukan dakwah tanpa membuat persiapan dengan kerja-kerja tarbiyah. Dakwah tanpa Tarbiyah adalah gila, manakala Tarbiyah tanpa Dakwah adalah bodoh.

Persoalan timbul apabila kesibukan berdakwah ini melampaui kemampuan diri. Bahkan, kesibukan itu menyebabkan longgarnya kerja-kerja tarbiyah. Hinggalah pada akhirnya, mengeluh akan kurangnya orang atau manpower untuk membuat kerja-kerja ini.


Bina & Guna

Kita berbalik pada sirah Rasulullah dan bagaimana cara Rasulullah berdakwah dan mentarbiyah manusia. Rasulullah mentarbiyah para Sahabat sebaik-baiknya dan Baginda mengambil masa dalam proses ini. Setelah diyakini kemampuan para Sahabat, dimanfaatkannya untuk kerja-kerja dakwah di samping menguatkan kerja tarbiyah itu tadi. Bahkan, para Sahabat (yang telah ditarbiyah) juga turut sama dalam mentarbiyah sahabat-sahabat dan ahli masyarakat yang lain, serta menggerakkan mereka di dalam amal dakwah. Ini bermakna, Rasulullah MEMBINA para Sahabat dengan agenda tarbiyah Al-Quran dan As-Sunnah dan MENGGUNAKAN para Sahabat di dalam amal dakwah dan mentarbiyah Sahabat yang lain. Inilah kesinambungan proses Bina dan Guna.

Maknanya, di dalam dakwah dan tarbiyah ini, tidak sewajarnya hanya fokus pada pembinaan semata-mata tanpa menggunakan di dalam amal dakwah. Juga, tidak sewajarnya hanya menggunakan saja hingga mengabaikan proses pembinaan.




Proses BINA atau Tarbiyah ini adalah proses membangunkan dan menguatkan diri seseorang individu. Ketika inilah, peribadi seseorang itu dibentuk dan dibangunkan menjadi muslim yang baik. Manakala, proses GUNA atau Dakwah ini adalah proses untuk beramal dan berjuang setelah melalui proses pembinaan. Tidak cukup sekadar menjadi orang baik, tetapi mesti disebarkan kebaikan itu kepada semua orang supaya ramai yang mendapat manfaatnya. Inilah kitaran yang lengkap dan tepat di dalam dakwah dan tarbiyah oleh para dai'e dan murobbi. Bahkan, proses Bina dan Guna ini adalah berterusan dan saling melengkapi antara satu sama lain. 

Kesimpulannya, kita MEMBINA manusia untuk MENGGUNAKAN manusia, dan kita MENGGUNAKAN manusia untuk MEMBINA manusia.


Wallahua'lam...