Monday, December 21, 2015

The Special One



Sejurus beliau dipecat, bekas pasukan bimbingannya mempamerkan aksi yang bertenaga dan memenangi perlawanan liga dengan Sunderland dengan keputusan 3-1. Sedangkan, sebelum beliau dipecat, pasukannya telah kalah sebanyak 9 kali termasuk dengan pasukan bawahan liga. Itulah nasib yang menimpa bekas Pengurus Chelsea, Jose Mourinho.

Chelsea, yang dibimbingnya pada musim ini, adalah pasukan yang sama ketika menjuarai Liga Perdana Inggeris 2014/2015. Dan sehingga hari terakhir beliau bersama Chelsea, pasukan tersebut berada di kedudukan ke-16. Entah di mana silapnya.

Jolokan sebagai "The Special One", adalah suatu yang menggambarkan keistimewaan pada dirinya yang dirasai oleh peminat bola sepak antarabangsa, para pemainnya dan juga lawannya iaitu pengurus yang selalu bertarung dengannya. Gelaran ini sebenarnya tidak menjadikan beliau sentiasa istimewa di arena bola sepak. Tidak perlu pada kekuatan lawan untuk mengalahkannya; cukup sekadar dengan 'sikap' pasukan kendaliannya sendiri yang menyahkan karier beliau yang sedang berada pada tahap kemuncak. Akhirnya, dari seorang yang "Special", menjadi "Nothing Special".

Justeru itu, kita harus ingat bahawa kehidupan ini umpama roda yang tidak selamanya berada di atas. Dan, kita harus bersedia untuk berada di bawah. Apatah lagi, jika keegoan itu yang menyebabkan kita mula dibenci manusia, dan lebih malang lagi apabila dibenci oleh orang sekeliling, rakan karib dan organisasi kita sendiri. Maka, tundukkanlah ego diri kita sesuai dengan keadaan diri dan situasi kita. Sebab, keegoan ini lah yang menyebabkan manusia hilang hormat pada diri kita.

Wallahua'lam...

No comments:

Post a Comment