Thursday, April 14, 2016

Sepintas Lalu Isu Dr Zakir Naik

Saya teringat semasa saya berada di Tahun 1 di Universiti dahulu, iaitu sekitar tahun 2002. Semasa melalui minggu orientasi, ada jemputan dari beberapa senior untuk menjadi Urusetia Program Perbandingan Agama. Kagumnya saya dengan program ini apabila merancang untuk menjemput Syeikh Ahmad Deedat sebagai tetamu istimewa!

Ketika itu lah, saya mula mengenali nama-nama orang yang hebat di dalam perbandingan agama seperti Ahmad Deedat dan Dr Zakir Naik. Ketika itu, saya baru tahu adanya Program Perbandingan Agama di dunia ini yang sedikit demi sedikit menarik minat diri saya untuk menonton video debat Ahmad Deedat dan Paderi Kristian dan lain-lain.

Berbalik kisah Program Perbandingan Agama di Universiti dahulu, ketika sedang mesyuarat urusetia, muncul soalan yang sangat menarik, "Kita nak anjurkan Program Perbandingan Agama ni, tiada masalah ke dengan agama lain? Apa respon penganut agama lain nanti."

Justeru itu, ketika kecoh satu negara berkaitan Jelajah Dr Zakir Naik di Malaysia, fikiran saya melayang jauh kepada soalan di atas. Saya tidak ambil kisah sangat dengan halangan atau cercaan dari Non-Muslim, kerana bagi saya itu adalah normal bagi orang bukan Islam. Bagi orang Non-Muslim yang masih tidak faham atau keliru, inilah ruang yang terbaik bagi orang Muslim untuk jelaskan sejelas-jelasnya kepada mereka. 'Mungkin' ada kontroversi pada tajuk atau tokoh pada 'pemikiran mereka'.

Tetapi, yang mengecewakan adalah apabila halangan itu dari orang Islam sendiri dan pertubuhan Islam sendiri. Seolah-olah mereka ini lebih keliru berbanding orang bukan Islam sendiri @ lebih non-Muslim dari non-Muslim.

Orang Islam di Malaysia ini terlalu bersifat defensif hingga terlalu memikirkan 'apa agama lain kata' sehinggakan dakwah Islam ini tidak bernilai dan diinjak-injak ke paras yang paling rendah. Jangan kata nak buat dakwah, mempertahankan dakwah juga jauh sekali. Sedangkan dakwah Islam di negara luar menampilkan imej luar biasa dengan bersifat ofensif yang terus-menerus mengajak manusia kepada Islam. Tidak mustahil perkembangan dakwah meningkat dan terus meningkat.

Ali bin Abi Talib r.a. berkata, "Berbicaralah kalian kepada mereka sesuai dengan kadar pemikiran mereka." (Riwayat Bukhari)

Firman Allah: "Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhan-mu, Dialah Yang Maha Mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah Yang Lebih Mengetahui orang-orang yang mendapat pentunjuk." (An-Nahl, 16: 125)

Mengapa kita terus senyap, terus bersikap defensif dan terus membantutkan kerja-kerja dakwah ini? Berdialog, berdebat dan berdiskusi adalah wadah terbaik dalam merungkai segala kesulitan ini. Menjadi Muslim yang baik dan membawa mesej agama rahmah tidak sepatutnya menjadikan orang Islam menjadi pasif, sebaliknya, terus bersikap Izzah dengan segala kerja yang dibawa.

Wallahua'lam...

No comments:

Post a Comment