Tiba-tiba pandangan rakyat Malaysia tertumpu kepada kejayaan Khairul Idham pada Moto3 di GP Argentina. Julung-julung kali anak Malaysia menjuarai kejohanan tersebut. Bukan itu saja, sikap berani beliau mengelak dari siraman arak di atas podium haruslah dipuji. Bukannya mudah untuk berpendirian sedemikian lebih-lebih lagi itu adalah tradisi perlumbaan motor.
Namun, kekaguman saya lebih tertumpu kepada Adam yang terjatuh di pusingan terakhir, di mana kedudukan beliau ketika itu adalah di tempat kedua di belakang Khairul. Beliau bangun dan terus menolak motor hingga ke garisan penamat. Tiada istilah putus asa walaupun beliau sendiri menyedari yang beliau pasti tidak akan menaiki podium. Alang-alang berjuang, biarlah hingga habis walau apa pun kedudukannya.
Begitulah selalunya. Kita mudah kecewa apabila hendak melakukan kebaikan. Kecewa apabila dikritik, diperli dan diperlekehkan atas usaha yang dilakukan. Dan, apabila telah jatuh, sukar untuk kita bangkit kembali. Kita mudah kecewa dengan sikap manusia, sedangkan kita harus tahu bahawa Allah sama sekali tidak akan mengecewakan kita.
Firman Allah: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, 'Kami telah beriman' dan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta." (Al-Ankabut, 29: 2 - 3)
Justeru itu, bangkitlah wahai saudaraku. Bangunlah dan marilah bersama-sama kita menuju syurga. Buanglah sikap putus asa itu. Itu hanyalah cubaan dari Allah bagi memastikan kita menjadi Muslim yang tulen. Jika seorang pelumba motor mampu bangkit untuk berjuang hingga ke saat-saat akhir, mengapa tidak kita?
Justeru itu, bangkitlah wahai saudaraku. Bangunlah dan marilah bersama-sama kita menuju syurga. Buanglah sikap putus asa itu. Itu hanyalah cubaan dari Allah bagi memastikan kita menjadi Muslim yang tulen. Jika seorang pelumba motor mampu bangkit untuk berjuang hingga ke saat-saat akhir, mengapa tidak kita?
No comments:
Post a Comment