Thursday, April 29, 2010

Puncak Keutamaan Infaq

Firman Allah: "Mengapakah kalian enggan berbelanja pada jalan Allah, padahalAllah mewarisi (khazanah kekayaan) langit dan bumi? (Sesungguhnya) tidak sama (martabat) orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sebelum pembukaan (Makkah)(dengan mereka yang berjuang selepas itu). Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang-orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sesudah itu. (Kendatipun begitu) Allah menjanjikan kepada mereka semua (balasan) yang lebih baik. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (al-Hadid, 57 : 10)

Al-Wahidi meriwayatkan pendapat al-Kalbi bahawa asbabun nuzul adalah mengenai Abu Bakar al-Siddiq r.a. Disebutkan bahawa Ibnu Umar meriwayatkan bahawa ketika Rasulullah duduk bersama Abu Bakar, Abu Bakar sedang memakai a'ba'ah yang bertampal dengan kain lain. Tiba-tiba Jibril datang menemui Nabi. Jibril mengucapkan salam dan berkata: "Hai Muhammad, mengapaku lihat Abu Bakar memakai a'ba'ah yang bertampal kain lain di dadanya." Baginda menjawab: "Wahai Jibril, beliau telah membelanjakan hartanya untukku sejak sebelum Kota Makkah dibuka lagi." Jibril berkata: "Sampaikan salam Allah kepadanya dan katakan kepadanya bahawa Allah bertanya, adakah kamu suka atau marah kepadaKu kerana kefakiranmu?" Nabi berpaling kepada Abu Bakar dan berkata: "Wahai Abu Bakar, Jibril datang menyampaikan salam Allah kepadamu dan bertanya, adakah engkau suka atau marah kepada Allah kerana kefakiranmu?" Abu Bakar lantas tersedu menangis (dan menjawab): "(Mana mungkin) aku marah kepada Tuhan. Aku redha dengan Tuhan. Aku rela dengan Tuhan."

Tidak sama di antara orang yang menginfaqkan harta pada jalan Allah dan berperang sebelum pembukaan Makkah dengan orang yang menginfaqkan harta dan berperang selepas pembukaan Makkah. Mereka itu (golongan terdahulu) merupakan orang-orang yang mendapat ganjaran lebih besar berbanding orang lain. Ini kerana pada peringkat awal keperluan manusia sangat tinggi dan bilangan mereka sedikit serta lemah. Tambahan pula, harta mereka sedikit. Sedangkan selepas pembukaan kota Makkah, bilangan kaum muslimin sudah bertambah ramai dan harta semaki banyak.

Allah menjanjikan ganjaran yang baik bagi kedua-dua golongan tersebut iaitu syurga dengan pelbagai darjat. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui amalan dan keadaan kamu, sama ada yang zahir dan batin. Kemudian Dia memberi ganjaran kepada kamu. Sebenarnya tiada yang kamu lakukan tersembunyi dari pengetahuan-Nya. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Anas katanya: Pada satu masa dulu, hubungan antara Khalid al-Walid dengan Abdul Rahman bin 'Auf agak tegang sedikit. Khalid menempelak Abdul Rahman dengan berkata sinis: "Kalian hendak membesar diri daripada kami dengan sumbangan masa lampau kalian."

Ucapan itu disampaikan kepada Nabi. Baginda lalu berkata:
"Jangan sesiapa menempelak para sahabatku. Demi Allah, yang nyawaku di tangan-Nya jika ada sesiapa di antara kalian yang berkorban (infaq) emas sebesar gunung Uhud atau sebesar gunung, nescaya masih tidak dapat menandingi pengorbanan para sahabat leluhur."


Rujukan:
1) Prof. Dr. Wahbah Mustaffa al-Zuhaily, “Tafsir al-Munir, Juz 27 ”, Persatuan Ulama Malaysia & Intel Multimedia and Publication, 2002.

Sunday, April 18, 2010

Dr Abdul Aziz Rantisi Dalam Kenangan

Pada 17 April 2004 pulanglah seorang syahid menemui Kekasih yang didambakan. Satu tribute untuk as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi.




Kita sering tercari-cari siapakah di kalangan manusia pada hari ini yang pantas dijadikan contoh ikutan dalam perjuangan menegakkan kalimah al-Haq. Kita mahu mencontohi beliau baik dari sisi istiqamahnya, baik dari segi tsabatnya, baik dari segi jihad, kesungguhan dan pengorbanannya.

Nah! Salah seorang dari insan yang pernah memiliki sifat-sifat ini ialah as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi. Pada 17 April 2004 ini genaplah enam tahun as-Syahid meninggalkan kita semua. Beliau dibedil oleh helikopter Apache Zionis Israel dengan peluru berpandu Hellfire yang juga telah mengambil nyawa as-Syahid Syeikh Ahmad Yassin dua puluh enam hari lebih awal.

Sebelum kakinya melangkah keluar dari rumah kerana menziarahi keluarga selepas waktu Isya’, beliau dengan hati penuh harap berkata "Semoga Engkau masukkan kami ke dalam syurga mu Ya Allah. Inilah puncak harapanku.." Tidak beberapa langkah dia meninggalkan rumah, kedengaranlah bunyi ledakan. Ternyata helicopter Apache telah siap menunggu dan menganugerahkan apa yang didambakan oleh as-Syahid.

“Ia adalah kematian samada dengan pembunuhan atau barah. Tidak ada yang berubah samada dengan Apache atau sakit jantung. Dan aku memilih Apache..” Bukti bahawa as-Syahid gembira dengan anugerah ini tergambar dari senyuman yang menguntum dari bibirnya dan darah yang terus mengalir setelah 24 jam beliau syahid yang menghamburkan bau harum kasturi.

Semua yang hadir menziarahi jenazah as-syahid yang mulia melihat kebesaran Allah dan benarnya janji Allah dan Rasulnya. “Jangan kamu menyangka mereka yang mati syahid itu mati, bahkan mereka hidup dan diberi rezeki, hanya kamu tidak mengetahuinya.”

Pendirian As-Syahid Abdul Aziz Rantisi terhadap perjuangan, cintanya terhadap tanah-airnya bumi Palestin dan Baitul Maqdis yang suci telah sedia kita maklumi. Dia mengabdikan seluruh hidupnya untuk jihad dan untuk al-Quds.

Inilah yang digambarkan oleh isteri as-syahid Ummu Muhammad, beliau adalah gambaran ayat Allah ‘Sesungguhnya tidak dijadikan manusia dan jin melainkan untuk menyembah Dia.’ Sebagaimana juga as-Syahid syeikh Ahmad Yasin yang mendahului beliau, Israel tidak pernah merasa aman dengan beliau yang tidak pernah mengenal erti mengalah dan lemah. Tidak seperti pemimpin-pemimpin Palestin secular yang siap untuk menggadaikan prinsip dan tanah air atas nama rundingan damai, As-Syahid Abdul Aziz Rantisi tidak pernah berganjak dari keyakinan bahawa bumi Palestin tidak mungkin ditukar ganti dengan apapun.

Pilihan yang ada pada Israel hanya satu iaitu keluar dari bumi Palestin yang mereka jajah dan kembalikan hak rakyat Palestin yang mereka rampas. Jika mereka gagal untuk melakukan ini maka bersedialah untuk berhadapan dengan api jihad yang akan terus bersemarak membakar jiwa-jiwa para mukmin sehingga akhir.

Hasrat Zionis untuk melihat lumpuhnya HAMAS dengan terbunuhnya dua pemimpin utama dalam selang 4 minggu meleset sama sekali. Bahkan kematian dua tokoh ini menyuburkan lagi jihad di bumi Palestin dan kini setelah enam tahun kedua mereka meninggalkan kita, Palestin terus berdiri teguh berhadapan dengan segala macam kekuatan yang ditalakan dunia ke atas mereka.

Bukan sahaja mereka diperangi oleh senjata-senjata terkini bahkan mereka dikepung dan di kelilingi oleh tembok-tembok kematian serta dikhianati pula oleh saudara-saudara seagama yang bersekongkol dengan musuh-musuh untuk mencengkam Gaza dan Tanah suci al-Quds. Inilah karamah yang terbit dari kehebatan as-syahid Syeikh Ahmad Yassin dan as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi.

‘Di belakang seorang lelaki yang agung pastinya seorang wanita yang mulia’, demikianlah ungkapan yang disebut kepada isterinya Ummu Muhammad. Namun Ummu Muhammad segera menyanggah kata-kata ini. Sebaliknya beliau memuliakan ibu as-syahid yang mana di atas didikan kemuliaan dan kehebatan dari almarhumah ibunyalah lahir as-syahid Abdul Aziz Rantisi.

Beliau digambarkan oleh isterinya sebagai seorang suami, ayah dan datuk yang bukan sahaja melimpah dengan kasih-sayangnya terhadap isteri, anak-anak dan cucu-cucu bahkan kasih-sayang itu akan segera diluahkan sebaik sahaja ada ruang dan kesempatan. Bahkan ketika dikelilingi oleh tugasan yang banyak termasuk ketika melayan para tetamu dan wartawan beliau akan berhenti sebentar untuk menegur anak-anaknya dengan penuh kemesraan.

Lantaran itu tidak seorang pun dari anak-anaknya dan cucu-cucu (14 orang semuanya) yang tidak merasakan kemesraan ayah dan datuk mereka sehingga mereka semua bercita-cita untuk mengikuti jejak langkah as-syahid dalam perjuangan.

Kelembutan as-syahid terhadap keluarga digambarkan oleh Ummu Muhammad dalam satu pengalaman di mana beliau tersinggung peti televisyen sehingga pecah skrinnya. Beliau begitu bimbang kerana sekatan ekonomi tidak memungkinkan mereka menggantikan TV yang pecah itu. Tetapi as-Syahid yang melihat kebimbangan Ummu Muhammad telah memujuk beliau dan berkata “Qadarallah maa syafaa’a fa’al” (Setiap sesuatu itu ada tempoh akhirnya).

Semoga contoh-contoh kecil dari tokoh besar ini membekas di hati kita semua dan menjadikan kita berjiwa besar dan tidak terikat dengan dunia. Sesungguhnya membebaskan diri dari kesempitan dunia lah yang menjadikan seseorang itu mendambakan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Ketegasannya di dalam perjuangan tidak dipersoalkan. Sewaktu as-Syahid Abdul Aziz Rantisi diusir bersama 416 orang pejuang oleh Israel di selatan Lubnan pada tahun 1992, beliau didatangi oleh seorang wartawan media barat mengajukan soalan ‘Kenapa HAMAS enggan iktiraf Israel’. Jawapan yang diberikan oleh as-Syahid Abdul Aziz Rantisi meninggalkan wartawan tersebut sendiri kebingungan. Israel yang mana? Israel 1948? Atau Israel 1967? Atau Israel 1981? Atau Israel 1993? Atau Israel 2000?

Hakikatnya Israel adalah entiti palsu yang tidak punya sebarang sempadan yang hakiki. Bagaimana mengiktiraf sebuah Negara haram yang tidak punya sebarang ketentuan sempadan kerana ia didirikan di atas Negara orang lain yang dirampok dan dirampas semaunya dan sekehendak hati mereka. Lantaran itu as-Syahid Abdul Aziz Rantisi berikrar “Israel tidak akan mengenal keamanan, kami akan memerangi mereka sehingga Palestin dibebaskan, dibebaskan seluruhnya.”

Inilah gambaran orang-orang beriman yang digambarkan oleh Allah SWT ‘…Mereka kasih kepada Allah dan Allah kasih kepada mereka, mereka berkasih sayang sesame mukmin (izillah alal mu’mimin) dan tegas terhadap golongan kafir (a’izatul alal kafirin), mereka berjihad pada jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela…”

As-syahid Abdul Aziz Rantisi dilahirkan pada 23 Oktober 1947 berhampiran Jaffa (Yaffa) dan syahid pada 17 April 2004.


*Artikel ini dipetik (copy & paste) dari http://www.aqsasyarif.com/

Wednesday, April 14, 2010

Iras

"Hanafi, cuba teka, ini gambar siapa?" Abang Lang menduga anak sulungnya dengan menunjukkan gambar saya ketika berusia lingkungan 5 tahun.
"Itu gambar Pak Busu. Eh, jap, macam gambar Najmi pula." jawab Hanafi seakan-akan keliru melihat gambar itu. Gambar itu seperti gambar adiknya.
"Cuba tengok betul-betul." tanya ayahnya lagi.
"Itu gambar Najmi la..." jawab Hanafi.
Gelak kami sekeluarga mendengar jawapan anak buah yang sorang tu.

Ayah dan Ibu saya pernah cakap yang Najmi adalah iras rupa saya ketika kecil. Tu sebab, abangnya sendiri pun sukar hendak membezakan gambar saya ketika kecil.

Pernah juga ketika sekolah menengah, rakan-rakan dan guru-guru keliru antara saya dan sepupu saya yang dilihat mempunyai iras yang sama. Ketika di Tingkatan 5, pernah ustazah Bahasa Arab saya memanggil saya dengan nama dia dan memanggil dia dengan nama saya. Kebetulan pula, kami menjadi ketua kelas masing-masing dan seringlah terjadi kekeliruan tersebut.

Saya sendiri agak teruja apabila melihat ada iras-iras wajah yang sama. Terutama sekali jika melihat iras wajah manusia yang dicintai ataupun wajah tokoh-tokoh yang disegani walaupun tak pernah berjumpa secara live mahupun yang telah lama meninggal dunia. Bukan soal taksub wujud dalam diri saya tetapi itulah keterujaan yang tiba-tiba hadir. Moga-moga keterujaan ini, tidak hanya menjadikan saya teruja semata-mata, tetapi keterujaan yang memantapkan diri untuk terus berukhwah di atas kalimah 'La ilaha illallah.'

Subhanallah!! Itulah kehebatan ciptaan Allah....

Sunday, April 11, 2010

Keutamaan Ilmu, Mengajar dan Belajar

Tentang keutamaan ilmu, dalil-dalil dari Al-Quran sangat banyak. Di antaranya:

Firman Allah: “…..nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat…..” (Al-Mujadilah, 58: 11)

Ibnu Abbas berkata, “Darjat para ulama berada di atas kaum muslimin sejauh tujuh ratus darjat. Jarak antara darjat adalah (sejauh) tujuh ratus tahun.”

Firman Allah: “Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” (Az-Zumar, 39: 9)

Firman Allah: “Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya, hanyalah para ulama..” (Fathir, 35: 28)

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Manusia terbaik adalah orang mukmin yang berilmu yang apabila dibutuhkan maka dia member manfaat, dan apabila tidak dibutuhkan maka dia mencukupi dirinya sendiri.”

Fatah al-Mushili berkata, “Bukankah apabila orang sakit tidak diberi makan, minum dan ubat, maka dia akan mati?” Lalu seseorang menjawab, “Benar.” Fatah berkata, “Begitu juga dengan hati. Apabila hati terhalang dari hikmah dan ilmu selama tiga hari, maka hati tersebut akan mati.”

Perkataan Fatah merupakan suatu kebenaran. Makanan bagi hati adalah ilmu dan hikmah. Tetapi, hati yang tidak merasakan kedua-duanya akibat kesibukan-kesibukan dunia, maka hal itu akan mematikan sensitivitinya. Apabila kematian itu telah menyingkap kesibukan-kesibukan itu darinya maka dia akan merasakan seksaan besar dan penyesalan yang tidak berakhir.


Tentang keutamaan belajar, dalilnya adalah sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayap mereka kepada penuntut ilmu kerana mereka redha atas apa yang diperbuatnya.” (HR Ahmad dan Tirmidzi)

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika kamu pergi pagi hari lalu mempelajari satu bab dari ilmu, maka hal itu lebih baik daripada kamu melaksanakan solat sebanyak seratus rakaat.” (HR Ibnu Majah)


Tentang keutamaan mengajar, dalilnya adalah firman Allah s.w.t.:

“Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi Kitab (iaitu), ‘Hendaklah kamu menerangkannya (isi Kitab itu) kepada manusia dan janganlah kamu menyembunyikannya….’” (Ali-Imran, 3: 187)

Ketika membaca ayat tersebut, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Allah tidak menganugerahkan ilmu kepada seorang alim, kecuali Dia mengambil janji darinya, sebagaimana janji yang telah Ia ambil dari para nabi, iaitu janji untuk menjelaskan ilmu tersebut dan tidak menyembunyikannya.”

Umar r.a. berkata, “Barang siapa yang menyampaikan sebuah hadith, lalu hadith itu diamalkan, maka ia mendapat pahala amal seperti pahala orang yang mengamalkan amal tersebut.”

Muadz bin Jabal berkata tentang belajar dan mengajar dan menurut Imam al-Ghazali, perkataannya itu termasuk hadith marfu’ iaitu, “Pelajarilah ilmu. Sungguh, mempelajari ilmu untuk Allah merupakan suatu kebaikan, menuntut ilmu merupakan suatu ibadah, mengkajinya merupakan tasbih, membahasnya merupakan jihad, mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya merupakan sedekah dan mendermakannya kepada ahlinya merupakan amal yang mendekatkan diri kepada Allah. Ilmu merupakan teman dalam kesendirian, sahabat dalam kesepian, petunjuk menuju agama, pembentuk kesabaran dalam menghadapi kesenangan dan kesengsaraan, pembantu bagi orang-orang yang bersahabat, teman bagi orang-orang yang berteman dan penerang menuju jalan ke syurga.”



Rujukan:

1) Imam Al-Ghazali, “Mukhtashar Ihya Ulumiddin (Jalan Menuju Penyucian Jiwa),” Pena Pundi Aksara, 2008.