Saya teringat semasa saya masih kecil dahulu, apabila Hari Raya Puasa, banyak menerima duit raya daripada ibu bapa, adik beradik dan saudara mara. Memang sangat gembira ketika itu, apatah lagi saya merupakan anak bongsu. Sama juga jika ibu bapa sering memberikan hadiah sempena hari lahir ataupun jika mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Keseronokan menerima hadiah bukan hanya pada diri saya sahaja tetapi kepada semua orang yang menerima hadiah atau penghargaan. Apabila kita mendapat hadiah, mungkin kita merasakan kita adalah insan yang cukup bahagia. Bagaimana pula perasaan insan yang sering memberi seperti ibu bapa kita?
Seorang anak yang belajar bersungguh-sungguh, pasti akan cukup gembira apabila memperolehi kejayaan. Lihat sahaja ketika konvokesyen, betapa gembiranya anak tersebut apabila dihujani ucapan tahniah dan hadiah dari keluarga, pensyarah dan rakan-rakan. Jauh di sudut hati, bagaimana pula perasaan ibu bapanya? Cukup banyak mereka korbankan dan mereka berikan kepada anaknya sama ada wang ringgit, kata-kata semangat dan makanan yang berkhasiat kepada anaknya agar mereka berjaya. Justeru itu, apabila anak mereka berjaya, mereka juga menangis kegembiraan yang menandakan tidak sia-sialah pemberian dan pengorbanan mereka selama ini. Bahkan, mereka lebih gembira daripada anak-anak mereka.
Seperti juga, seorang ibu yang sedang mengandung. Dijaganya kandungan itu sebaik mungkin dan diberinya pemakanan agar anak di dalam kandungannya tidak terlepas zat-zat yang diperlukan. Dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran seperti surah Luqman, Yusuf ataupun Maryam seperti yang dituntut untuk dibaca oleh ibu mengandung agar beroleh anak-anak yang soleh dan solehah. Apabila kandungan semakin membesar, bertambah perhatinnya sang ibu terhadap kandungannya. Dan apabila tiba waktu bersalin, si ibulah yang paling gembira pada waktu itu meskipun susah atau sakit di saat melahirkan anaknya yang bertuah itu. Ini kerana, si ibu bersusah payah selama 9 bulan dan bertarung dengan nyawa di saat kelahiran anaknya.
Apabila semakin berusia meninggalkan zaman kanak-kanak dan remaja, hati ini sering teringat kisah-kisah dahulu, betapa gembiranya di saat memperolehi sesuatu pemberian. Apabila semakin dewasa, bertukarnya posisi itu 180 darjah dan perlunya kita lebih berada pada proses memberi. Betapa nikmatnya hidup memberi ini kepada keluarga dan ummat kita jika hasil pemberian itu menggembirakan atau memberi manfaat kepada mereka. Justeru itu, tidak rugi seseorang itu jika hidupnya adalah untuk ummat seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan melakukan sebaik mungkin untuk menyelamatkan ummatnya. Jika difikir-fikirkan, hidup memberi ini adalah lebih nikmat berbanding hanya hidup menerima sahaja.
No comments:
Post a Comment