Friday, June 4, 2010

Derita Mu, Derita Ku Jua...

Hari ini saya mengambil cuti disebabkan hendak membuat rawatan gigi. Akhirnya, pergi mendapat rawatan Klinik Pergigian UiTM Shah Alam disebabkan murah dan agak mudah prosedur berbanding hospital kerajaan yang lain. Alhamdulillah, tidak dibedah tetapi hanya dicabut sahaja gigi geraham. Ketika disuntik bius pada gigi saya, saya teringat suatu diskusi yang menampilkan ahli politik kerajaan dan pembangkang apabila Amerika Syarikat menceroboh Iraq beberapa tahun dahulu. Dalam diskusi itu, diceritakan, orang-orang Iraq, kalau hendak cabut gigi, tidak memerlukan bius. Ini kerana, bius disimpan untuk perkara yang lebih penting. Saya cuba bayangkan diri saya, andai kata dicabut gigi geraham saya tanpa diberi suntikan bius, bagaimana rasanya?? Sedangkan diberi suntikan bius pun, masih terasa kesakitan.

Begitu juga dengan suasana di Palestin dahulu dan sekarang, bahkan saya merasakan penderitaan mereka lebih teruk berbanding yang dialami oleh Iraq. Kebiadaban dan kebinatangan Yahudi cukup menusuk hati-hati umat Islam. Tak mampu dan tak larat hendak diceritakan kebiadaban mereka. Di manakah solidariti kita sebagai Muslim? Apa sangatlah kesibukan kita di tempat kerja sehinggakan tiada masa untuk bersimpati dengan mereka. Apa sangatlah duit yang kita cari-cari sehinggakan tiada satu sen pun yang kita infaqkan.

Kadang-kala kita pernah mengalami kemalangan, kesakitan, kesusahan dan penderitaan. Tetapi sejauh mana bezanya penderitaan yang kita alami berbanding yang dialami oleh sahabat kita di Palestin. Jangan kita biarkan mereka keseorangan dan perlunya kita bersama-sama dengan mereka. Meskipun tidak menjejaki Gaza, perjuangan dan laungan kita di Malaysia seharusnya dilaungkan sekuat-kuatnya.

Ketika menulis artikel ini, masih lagi terasa sedikit sakit dan denyutan akibat cabutan gigi geraham pagi tadi. Meskipun sakit, derita lagi nasib sahabat kita di Palestin.

Palestin...
Derita Mu, Derita Ku Jua...
Kami Bersama Mu...


No comments:

Post a Comment