Seminggu yang lepas, ketika saya pulang ke kampung, sebaik sahaja selesai makan malam, isteri saya sempat melayan filem Melayu seram untuk beberapa ketika. Saya secara peribadi, memang tak suka menonton filem sebegitu. Setelah beberapa minit, dia minta saya menemannya ke dapur disebabkan waktu malam walaupun rumah ibu bapa saya adalah rumah teres di bandar dan bukanlah rumah kampung yang sunyi. Mungkin sedikit ketakutan rasanya.
Saya juga perasan dan pelik, mutakhir ini, begitu banyak drama dan filem yang berunsurkan seram dan tahyul. Meskipun, makin ramai cendekiawan dan ahli professional dilahirkan, tetapi tahap industri filem kita makin mundur ke belakang. Saya lihat kesannya cukup medalam dalam mewujudkan generasi penakut dan generasi pengecut dalam masyarakat. Cuba bayangkan anak-anak kecil sekarang dibesarkan dengan filem-filem sebegitu, menyebabkan mereka tidak berani apabila menjadi dewasa. Ini merupakan salah satu perang saraf yang dilakukan oleh musuh Islam untuk menjadikan masyarakat mudah tunduk kepada taghut. Sebagai contoh, pelajar-pelajar universiti ditakutkan dengan AUKU atau penarikan biasiswa apabila bergiat aktif dengan program-program Islam. Sebahagian masyarakat juga mudah tunduk kepada ugutan pihak penguasa atau majikan.
Kita mengetahui bagaimana perang saraf itu dilakukan dan apakah sarana-sarananya. Kita juga perlu sedar bahawa perang saraf ini akan terus menyerang dan melemahkan masyarakat Islam. Bukannya tiada filem-filem yang membangkitkan semangat dan berani dalam diri kita. Melambak!! Tetapi kenapa tidak ditayangkan? Kenapa hanya ditayangkan ketika Hari Kemerdekaan sahaja?
Filem seperti Bukit Kepong, Leftenan Adnan, The Message, The Lion of Desert, Hang Tuah dan banyak lagi filem-filem yang berteraskan perjuangan. Saya sendiri, sejak kecil hingga sekarang masih lagi berkobar-kobar semangat apabila menonton filem tersebut walaupun sudah hafal jalan ceritanya. Sepatutnya, filem-filem sebegini perlu mewarnai dunia seni tanah air kita. Begitu juga dengan buku-buku yang mengisahkan Nabi Muhammad s.a.w., para Sahabat baginda, Imam-Iman Mazhab, tokoh-tokoh kemerdekaan Tanah Melayu dan kisah-kisah perang seperti Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khandaq.
Justeru itu, sebagai orang soleh ataupun hendak memperbanyakkan generasi soleh dalam masyarakat kita, perlu dilontarkan semangat pada ahli masyarakat. Ini kerana, generasi orang yang soleh adalah bersifat berani dan tidak melayan perasaan pengecut. Perlu dididik anak-anak sekarang dengan didikan yang baik, diperkenalkan buku-buku yang baik, kisah-kisah yang menjadikan diri mereka cintakan Allah dan Rasul, bencikan maksiat dan berkobar-kobar untuk berjuang di jalan Allah.
Matahari tidak selama-lamanya akan terbenam...
Matahari akan terbit dengan sinar kemenangan Islam...
No comments:
Post a Comment