Saturday, May 29, 2010

Ikhlas Dalam Niat

Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah tidak melihat bentuk badan dan rupamu, tetapi memperhatikan niat dan keikhlasan dalam hatimu. (Riwayat Muslim)

Sekiranya, ada dua orang, seorang kaya dan seorang miskin, sedang menunaikan solat, yang dilihat pada diri mereka bukanlah taraf kekayaan tetapi adalah keikhlasan dan kekhusyukan ketika menunaikan solat.

Dalam sirah, kita mengenali beberapa orang sahabat yang jika dilihat dari sisi keduniannya, di tahap yang terbawah tetapi pada sisi Allah, mereka inilah yang berada di samping-Nya. Bilal bin Rabah sebagai contoh, merupakan seorang hamba tetapi diangkat martabatnya sebagai muazzin yang pertama dalam sejarah Islam. Beliau akhirnya juga dilantik sebagai Gabenor Syam. Inilah kehebatan Bilal, di mana dakwah Islam menjadikan beliau seorang yang cukup hebat, "from zero to hero." Ternyata, Allah Taala tidak melihat dari segi taraf beliau sebagai hamba dan warna kulitnya, tetapi dilihat dari segi keimanan kepada Allah. Mush'ab bin Umair, ketika zaman jahiliyyah adalah seorang yang kacak dan berasal dari keluarga yang kaya, tetapi beliau sanggup meninggalkan segala apa yang dimilikinya semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.

Sama juga dengan kondisi pada zaman sekarang. Yang selalu dilihat adalah taraf kekayaan, pekerjaan yang hebat dan latar belakang keluarga yang berada. Tidak kisahla sama ada seseorang itu adalah orang bandar ataupun orang kampung, itu bukan lah ciri utama yang perlu diperhatikan. Bukan juga ciri utama apabila seorang itu orang yang kaya ataupun orang yang miskin. Bukan juga pekerjaan-pekerjaan yang hebat yang selalu diperhatikan seperti Jurutera, Doktor, Peguam ataupun Peniaga kecil-kecilan. Itu semua bukanlah perkara yang penting untuk kita labelkan seseorang itu dan juga bukanlah asbab utama untuk kita agungkan seseorang itu. Jika ciri-ciri ini dititikberatkan, nescaya tidak diangkat martabat Bilal bin Rabah di sisi Allah.

Ini kerana, yang dilihat di sisi Allah adalah niat dan keikhlasan dalam hati seseorang itu serta keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah. 



No comments:

Post a Comment