Selalunya, apabila saya hendak membeli sesuatu produk makanan, akan dipastikan dahulu, sama ada mempunyai lesen atau cop HALAL atau tidak. Jika ada cop HALAL dari Jakim, tidak berlengah-lengah saya membelinya. Meskipun, banyak juga pendapat atau khabar angin yang mengatakan tidak semestinya produk yang mempunyai cop HALAL itu pastinya HALAL, tetapi bagi saya, saya cukup thiqah kepada mereka yang memberikan lesen itu. Sudah pastinya, mereka ini dipertanggungjawabkan atas apa yang mereka lakukan.
Sama juga kalau seseorang hendak melanjutkan pelajaran dalam sesuatu bidang, haruslah dipastikan bidang yang ditawarkan adalah diiktiraf dan diberikan lesen oleh Kementerian Pengajian Tinggi sebab pernah berlaku di sebuah IPTA apabila bidang yang ditawarkan tidak diiktiraf dan ini memberikan beban kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian tersebut.
Apabila saya memperkatakan tentang penguasaan sesuatu penguasa ke atas apa yang dikuasainya, kita harus mengetahui siapakah penguasanya, apa yang dikuasainya dan adakah wujud kuasa yang lebih berkuasa daripadanya? Apabila Yang Maha Kuasa iaitu Allah s.w.t. mengatakan sesuatu itu HALAL, maka HALAL dan tiada sebarang syak lagi padanya. Namun, apabila telah thabit hukumnya HARAM, maka tetaplah HARAM padanya dan tiada sesiapa yang boleh menghalalkannya melainkan golongan yang ingkar.
Justeru itu, apabila Timbalan Menteri Kewangan, Awang Adek Hussein yang mengisytiharkan bahawa dihalalkan lesen judi, saya terus melihat siapa orang tersebut? Ternyata dia juga seorang manusia yang berasal dari tanah dan akan kembali pada tanah. Dia juga adalah salah seorang calon MB Kelantan yang kecundang dalam PRU-12 yang lepas. Apabila melihat sikap dia, memang wajarlah dia kalah untuk mengelakkan tercemarnya negeri tersebut dengan perkara yang tidak berakhlak. Secara peribadi, timbul dalam diri saya rasa tidak hormat dan benci kepada dia dan golongan yang diwakilinya.
Firman Allah: "Mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tetang khamar dan judi. Katakanlah, 'Pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosanya lebih besar dari manfaatnya.' Dan mereka menanyakan kepadamu (tentang) apa yang (harus) mereka infakkan. Katakanlah, 'Kelebihan (dari apa yang diperlukan).' Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu memikirkan." (Al-Baqarah, 2: 219)
Ini adalah salah satu ayat Al-Quran yang memberitahu kepada seluruh manusia bahawa JUDI itu tetap HARAM. Mungkin golongan yang hendak meluluskan lesen judi itu terlepas pandang ayat ini atau pun tidak pernah sama sekali mentadabbur ayat ini. Dalam 10 tahun dahulu, pernah seorang yang berjawatan tinggi dalam pentadbiran, iaitu bekas Ketua Polis Negara yang berkecimpung dengan bisnes judi setelah bersara menyatakan bahawa, dia tidak pernah menjumpai ayat Al-Quran yang mengatakan bahawa judi itu HARAM. Tak tahulah sama ada dia hendak membuat lawak atau pun terlalu jahil. Setahu saya, budak sekolah pun tahu judi itu HARAM.
Mereka yang hendak meluluskan lesen judi ini memberi alasan supaya pihak pemerintah memperolehi cukai di atas aktiviti ini. Saya mempunyai dua persoalan atas alasan ini. Pertama: Tidak cukupkan hasil-hasil bumi dan cukai-cukai yang diperolehi setakat ini? Kedua: Tergamakkah pihak pemerintah membayar gaji jutaan pekerjanya dengan menggunakan hasil yang HARAM, yang akan digunakan untuk menyara anak dan isteri mereka? Tepuk dada, tanya iman.
Saya cukup bimbang akan lahirnya lebih ramai golongan yang berani mencanggah ketetapan dan hukum Allah Taala. Di saat-saat kita hendak memperbaiki akhlak ummat, wujud pula di satu pihak yang lain golongan yang hendak menghancurkan ummat. Jika keadaan ini dibiarkan, kita cukup bimbang akan ada pula lesen industri pelacuran dan lesen kongsi gelap pada masa hadapan yang bakal melumatkan akhlak dan moral ummat kita.
"Tiada Ketaatan Kepada Makhluk Dalam Bermaksiat Kepada Allah"
No comments:
Post a Comment