Alhamdulillah segala puji bagi Allah, Rabb sekalian alam. Semalam, 20 Jun 2010, telah dilancarkan Pertubuhan IKRAM Malaysia, sebuah NGO yang bermatlamat menyebarkan dakwah ke sekalian manusia.
Dalam sidang media, Presiden IKRAM, Dr Mohd Parid bin Sheikh Ahmad menjelaskan bahawa IKRAM adalah sebuah NGO Islam yang komprehensif dan tidak memberikan fokus kepada bidang-bidang tertentu sahaja kerana dakwah adalah hak semua orang. Bingkisan Islam yang hendak disampaikan oleh IKRAM adalah untuk semua manusia tanpa mengira agamanya agar lebih ramai yang dapat menerima kebaikan Islam dan sujud kepada Pencipta alam. Walaupun begitu, kita tetap berpegang kepada konsep bahawa tidak ada paksaan dalam beragama. Mereka yang belum bersedia menganut Islam tiada halangan untuk berdialog dan bekerjasama dengan kita dalam bidang-bidang tertentu.
Menurut Dr Mohd Parid lagi, antara matlamat IKRAM yang disebut dalam perlembagaannya adalah menyebarkan Islam melalui dakwah, meninggikan taraf sosio-ekonomi umat Islam, memupuk keadilan masyarakat dan kesejahteraan sosial dan menegakkan syariat Islam secara praktikal. Selain yang demikian, IKRAM bersedia mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam memajukan kepentingan umat Islam, sesuai dengan moto IKRAM, 'Ukhuwah Teras Kegemilangan'. IKRAM menyatukan dalam satu organisasi kerja-kerja dakwah yang telah diusahakan oleh ahli-ahlinya di bawah pelbagai nama. Dengan tertubuhnya IKRAM, kegiatan-kegiatan seperti dakwah kepada yang belum Islam, pendidikan, wanita, remaja, belia, kebajikan, bantuan kemanusiaan, hak asasi manusia dan urus tadbir yang baik (good governance) akan digabung (consolidate) dan diperteguh.
Dr Mohd Parid turut menerangkan bahawa IKRAM berusaha membawa konsep dakwah yang dapat diterima oleh semua pihak demi mewujudkan kefahaman serta amalan hidup yang selari dengan tuntutan massa. Yang penting, ia mestilah tidak terkeluar daripada landasan Islam. Kita mesti yakin Islam itu baik bukan sahaja untuk orang Islam tetapi juga untuk yang belum Islam.
Pada pendapat saya, dengan pelancaran IKRAM ini, kita tidak seharusnya terlalu gembira sebaliknya bersedia untuk menerima dan memikul amanah yang diberikan untuk memastikan dakwah Islam itu dapat diseru di seluruh pelosok negara khususnya dan di serata dunia umumnya. IKRAM, jika difahami dalam Bahasa Arab yang bermaksud mulia, perlulah dimanfaatkan oleh seluruh ahlinya dalam membawa misi penyebaran Islam iaitu agama yang paling mulia di atas muka bumi Allah ini. Wahai sahabat sekalian, ayuh kita teruskan dan gandakan usaha dakwah dan tarbiyah kita agar tidak malu untuk berjumpa Allah dan Rasul di akhirat kelak. Takbir!!
No comments:
Post a Comment