Tuesday, March 29, 2011

Out Station

Hari ini, baru pulang dari Kota Kinabalu, setelah 2 hari melakukan kerja-kerja pemeriksaan pendawaian elektrik bersama Chargeman di cawangan sana. Sesetengah orang amat gemar kerja-kerja yang melibatkan tugasan luar atau out station tapi tidak bagi saya. Tetapi, sebagai Eksekutif Fasiliti (Maintenance) dan Pegawai Aset syarikat, itu seolah-olah tidak dapat dielakkan. Cukup bimbang jika tugasan-tugasan luar ini akan mengganggu kerja-kerja dakwah seperti halaqah, daurah dan sebagainya.

Tetapi, jika dilihat dari sudut positif, out station ini juga boleh dimanfaatkan ke arah dakwah dan kebaikan. Boleh diambil iktibar kisah-kisah pedagang dari Arab, India dan China yang datang berdagang ke Tanah Melayu (out station), namun mampu berdakwah kepada semua masyarakat setempat.

Sama juga kisahnya kepada orang yang bekerja shift yang kononnya boleh mengganggu dakwah dan tarbiyyah. Namun, dulu, seorang sahabat yang bekerja sebagai Assistant Medical Officer (AMO), mampu saja hadir ke halaqah dan program dakwah walaupun bekerja secara shift. Titik tolaknya, bergantung pada kita.

Out station ini barangkali boleh menjadi medan yang cukup baik untuk dakwah fardiyah rakan sekerja yang lain. Tapi, harus diingat, mendakwahi orang yang sudah bekerja amatlah berlainan dan saya juga masih cuba memahami golongan sebegini. Golongan yang tidak solat, kaki perempuan, tidak puasa, pemabuk, kaki judi, kaki video lucah (golongan ini semakin ramai) dan macam-macam lagi. Untuk mengislahkan golongan ini, harus ada sifat mengasihi dan menyayangi mereka agar kita bersama-sama dengan mereka tidak terjerumus ke lembah neraka.

Meskipun cukup berat hati untuk out station, namun jika ia bermanfaat pada dakwah, JUST DO IT!!

Wednesday, March 23, 2011

Tahniah Kepada Semua Calon SPM 2010

Pihak Futuwwah Training & Consultancy merakamkan ucapan "Tahniah" kepada semua calon SPM 2010, terutama yang mendapat keputusan yang cemerlang.

Bagi yang kurang cemerlang, nasihat kami janganlah berputus asa kerana mungkin ada pelangi indah menanti di akhir ribut badai. Hadapilah musibah dan kedukaan dengan sabar dan shalat, seraya bermuhasabah dan berusaha memperbaiki diri. Janganlah ditiru perangainya sebahagian "ahlud dunia" yang menghadapi kegagalan dengan berbuat kemaksiatan.

Dengan keputusan yang diperolehi ini, diharapkan adik-adik redha, berbaik sangka dan terus-menerus mendekatkan diri dengan Allah di samping terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

 

Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Pengurus Besar,
Futuwwah Training & Consultancy

Sunday, March 20, 2011

Kenyataan Rasmi Berkenaan Serangan Ke Atas Libya

Pihak Futuwwah Training & Consultancy mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak luar yang melakukan campur tangan dan serangan terhadap negara Libya yang mengakibatkan puluhan nyawa terbunuh dan ratusan cedera. Kami percaya bahawa kedaulatan sesebuah negara perlu dihormati dan tidak boleh diceroboh sewenang-wenangnya.

Krisis politik dan kepimpinan yang berlaku di negara Arab termasuk Libya sepatutnya diselesaikan mengikut saluran tertentu dan bukanlah dicampuri ataupun diceroboh oleh pihak luar sehingga mengorbankan rakyat jelata.

Kami turut menggesa agar serangan tersebut dihentikan dengan segera demi menghormati kedaulatan negara Libya. Kami juga turut menyeru agar Presiden Libya, Muammar Ghadafi turut mendengar suara rakyatnya, mengasihi mereka dan berhenti daripada terus bertindak menyerang rakyat yang tidak bersalah untuk mengelak krisis berpanjangan.

 

Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Pengurus Besar,
Futuwwah Training & Consultancy

Tuesday, March 15, 2011

Peristiwa Tsunami di Jepun

Pada hari Jumaat, 11 Mac 2011, sesuatu yang tidak pernah dicatat oleh sejarah, Pantai Timur Laut Jepun dilanda gempa bumi paling dahsyat berukuran 8.9 pada skala Ritcher. Gegaran yang begitu dahsyat mengundang bencana yang paling menakutkan iaitu gelombang Tsunami. Peristiwa ini mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa, ribuan yang masih hilang, kemusnahan tempat tinggal, sistem pengangkutan dan harta awam serta terencatnya sistem ekonomi. Tidak cukup dengan itu, loji nuklear meletup yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan nyawa di sekelilingnya dengan bahan radioaktif.

Saya pernah menjejakkan kaki di Jepun pada November 2008 dengan melakukan latihan intensif di syarikat lama saya iaitu Taitsu Electronics di kawasan Hitachi Ohmiya dan Kawasaki di samping berkunjung di beberapa tempat seperti Bandar Mito, Ibaraki dan Oarai Beach. Apabila membaca akhbar, hampir kesemua tempat tersebut berlakunya tragedi yang sangat tragis itu.

Rajah 1: Tragedi di Bandar Mito, Ibaraki

Rajah 2: Oarai Beach


Saya melahirkan rasa cukup simpati kepada seluruh warga Jepun sama ada yang berada di Jepun ataupun di luar Jepun dan juga kepada orang luar yang menetap di Jepun yang terkena tempias tragedi ini. Semoga mereka bangkit dari kemusnahan ini seperti mereka bangkit selepas berlakunya Perang Dunia Kedua yang lepas.

Sehubungan dengan itu, saya memuji langkah-langkah oleh beberapa negara dalam membantu untuk memulihkan dan membangunkan semula negara tersebut. Semoga, dengan berlakunya peristiwa ini, kembali menginsafkan diri kita sebagai hamba Allah yang kerdil dan juga dapat mendidik jiwa kita menjadi lebih insaf dan bertindak di atas landasan kemanusiaan dalam apa jua perkara.

Tuesday, March 8, 2011

Surah al-Quraisy

Perbahasan:

Ketenteraman Quraisy Didahulukan
Ayat ini dalam konteks mewujudkan perpaduan dan kemesraan di kalangan Quraisy di tanah Suci Makkah dan di bumi yang padanya terdiri rumah Allah. Kaum Quraisy dan penduduk Makkah didahulukan dengan penganugrahan nikmat makanan dan keamanan kerana mereka memilih bumi Makkah sebagai tempat tinggal yang menjaminkan pemakanan dan keselamatan.  Bumi ini juga menyaksikan kedatangan orang-orang dari luar Hijaz untuk menunaikan haji, di samping mengadakan kegitan ekonomi dan deklamasi kesusasteraan Arab di negeri yang aman ini. Kaum Quraisy seharusnya mengerti segala kegitan hanya boleh dilakukan apabila sesebuah negeri itu berada dalam keadaan aman, sumber pemakanannya cukup, hubungan dagang dengan dunia luar tidak terputus. Ditakdirkan negeri ini berada dalam kacau bilau atau rumah suci itu berjaya dirobohkan oleh Abrahah dan tenteranya, masakan mereka boleh merasai nikmat kemesraan, kasih sayang di bumi Makkah ini.


(106: 1) Kerana (mengenangkan nikmat) kebiasaan kaum Quraisy.

Perintah Allah sama ada takwini atau taklifi, larangan atau suruhan semuanya tersirat hikmat di sebaliknya. Kekalahan tentera bergajah Abrahah juga ada hikmatnya, pelaksanaan ibadat berterusan  kepada Tuhan rumah Kaabah di bawah pentadbiran kaum Quraisy juga ada hikmahnya. Kedua-duanya bertemu pada satu `illat,  iaitu supaya kaum Quraisy bersatu dan berkasih sayang. Kebiasaan kaum Quraisy ialah mengurus dagangan mereka ke Syam dan Yaman mengikut pusingan musim sejuk dan panas mempunya kesan yang sangat besar kepada ketenteraman penduduk Makkah. Justeru Allah menjadikan negeri itu aman dan selamat, pemakanan mereka cukup dan keselamatan mereka terjamin.


(106: 2) (Iaitu) kebiasaan mereka melakukan perjalanan  pada musim sejuk dan panas,

Ketenteraman diperlukan dalam semua keadaan, tetapi lebih diperlukan lagi ketika  dalam perjalanan membawa bekalan dan barang-barang untuk diniagakan. Negeri Makkah merupakan sebuah negeri yang kering, tanpa tanaman dan tidak banyak ternakan padanya.  Bisanya angkatan dagang dari Makkah pada musim sejuk mereka pergi Ke Yaman kerana udaranya nyaman. Yaman adalah sebuah negeri yang bermusim panas, sejuk dan sederhana. Udara di negeri Makkah sejuk ketika udara sederhana di negeri Yaman. Negeri Syam pula sederhana udaranya, ketika negeri Makkah berada dalam musim panas. Orang Arab terutama pedagang-pedagang dari Makkah melancong ke Yaman dan Syam apabila negeri mereka mengalami cuaca sama ada panas atau sejuk. Sama ada pemergian keluar negeri itu kerana menikmati udara yang lebih nyaman atau kerana urusan perniagaan atau hanya untuk melancong dan bersuka-suka, semuanya membayangkan tahap pencapaian kehidupan penduduk Makkah yang tinggi.  Ini kerana semakin moden kehidupan rakyat dalam sesebuah negara, semakin banyak pula pilihan untuk mencari keselesaan, sekalipun di luar negeri terutama dalam keadaan mendesak.


(106: 3) Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini,

Kediaman dan tempat tinggal yang mereka perolehi serta keamanan dan kesejahteraan yang mereka nikmatinya pula lokasinya tidak jauh dari Baitullah.  Mengapa ada pihak tergamak melakukan syirik di kawasan ini dan mengapa mereka menentang Rasulullah saw  Bukankah sepatutnya ihsan di balas dengan ihsan juga?  Apakah faktor yang mendorong mereka melakukan kekufuran dan penderhakaan itu? Keamanan yang biasa diperolehi dalam perjalanan pada musim sejuk dan musim panas itu mewajarkan mereka meningkatkan ibadat kepada Tuhan yang menguasai rumah Kaabah yang mulia ini kerana nikmat itu memungkinkan mereka mendapat kekayaan yang lebih banyak dan makanan yang lebih bermutu bagi menyelamatkan mereka dari kelaparan.


(106: 4) Tuhan yang telah mengurniakan mereka makanan yang menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan.

Kerana nikmat keamanan, kaum Quraisy dapat hidup dengan baik dalam sebuah negeri yang kering kuntang.  Tidak sudikah mereka beribadat kepada Allah kerana mensyukuri anugrah-Nya yang tidak terhingga. Kaum Quraisy lupa bahawa nikmat-nikmat yang mereka terima itu adalah berkat doa Nabi Ibrahim as sebagai pendakwah yang pernah bermohon agar dijadikan rantau itu aman dan makmur.

Firman Allah: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian.” (Al-Baqarah, 2: 126)

Mereka harus ingat bahawa negeri ini diberi keistimewaan khas oleh Allah, firman-Nya:

Firman Allah: “Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, sedang manusia sekitarnya rompak-merompak.” (Al-Ankabut: 67)

Memang besar dan banyaknya nikmat Allah terhadap mereka sehingg tidak dapat dihitungkan lagi. Jika mereka tidak mampu bersyukur atas nikmat-nikmat itu, bersyukurlah atas nikmat mendapat makanan dan keamanan, itu pun sudah cukup untuk membuktikan kesyukuran kerana ibadat yang sebenar-benarnya ialah bersyukur. Kaum Quraisy banyak melakukan kesilapan pada mentafsirkan nikmat, menyebabkan Allah menariknya sedikit demi sedikit, dahulu mereka mempunyai kedudukan sebagai ketua yang berkuasa kini mereka bertukar menjadi ketua tanpa kuasa.


Kesimpulan:

1. Allah membinasakan angkatan tentera bergajah dan menahan mereka dari memasuki Makkah bagi mempastikan keamanan tetap berterusan di bumi yang banyak barakahnya ini.

2. Allah mengurniakan rezeki dan keamanan melalui perniagaan di luar negeri pada musim-musim sejuk dan panas, lalu mereka beroleh berbagai-bagai barangan yang baik dan selesa diguna.

3. Kaum Quraisy dipandang mulia dan dihargai kerana ada Kaabah di bumi mereka.  Tanpa Kaabah, sudah pasti kedudukan mereka tidak lagi sebagai yang mereka perolehi.

4. Peringatan Allah yang menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan sepatutnya menimbulkan rasa malu kerana mereka tidak beribadat kepada Allah Tuhan yang memelihara rumah suci itu.

5. Menyediakan bekalan makanan yang secukupnya serta jaminan keselamatan  merupakan tanggungjawab pemerintah terhadap rakyat.  Negeri-negeri yang maju pada hari ini dan sebelum ini tidak mampu menyempurnakan dua nikmat ini kepada rakyatnya.



Rujukan:
1) Sayyid Qutb, “Tafsir Di Bawah Naungan Al-Quran (Juz 30),” Perniagaan Jahabersa, 2008

Wednesday, March 2, 2011

Surah al-Kauthar

Asbabun Nuzul:
Diriwayatkan bahawa orang-orang Quraisy yang bodoh adalah penentang Nabi s.a.w. dan dakwah yang dibawanya, dengan melakukan kejahatan, tipu daya, penghinaan dan ejekan untuk mempengaruhi orang ramai supaya jangan lagi menghiraukan lagi seruan kebenaran yang dibawa Baginda dari Allah seperti Asb ibn Wail, Uqbah bin Abi Mu’ith, Abu Lahb, Abu Jahl dan lain-lain. Mereka sering mengatakan: “Celaka, putus” kepada Nabi. Mereka menunjukkan kata-kata itu kepada orang-orang yang telah kematian anak lelaki mereka. Seorang dari mereka berkata: “Biarkanlah dia, dia akan mati juga tanpa kami seksa, sedangkan urusannya akan berakhir juga.” Hinaan ini dilakukan agar dengan harapan agar hati Baginda bergetar dan menderita.

Lalu surah ini diturunkan untuk menghapuskan rasa dukacita Nabi agar tidak bersedih dan hendaklah bergembira serta menetapkan hakikat kebajikan yang terus menerus yang sudah ditentukan oleh Allah baginya, atau hakikat putusnya rahmat Allah dan kecelakaan yang telah ditentukan bagi musuh-musuh Baginda.


Perbahasan:
(108 : 1) Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) nikmat yang melimpah-ruah.

Allah mengurniakan kepada Nabi Muhammad nikmat kebajikan yang banyak dan melimpah-limpah tidak tersekat dan tidak terputus iaitu bertentangan dengan kempen-kempen yang dilancarkan oleh tokoh-tokoh Quraisy yang biadab itu. Bagi siapa yang ingin memeriksa nikmat kebajikan yang melimpah-ruah dikurniakan Allah kepada Rasul-Nya ia akan menemuinya pada segala aspek yang difikirkan olehnya iaitu ia akan menemuinya pada banyak nikmat iaitu:

a) Nikmat Nubuwwah
b) Nikmat Hubungan dengan Allah
c) Nikmat Al-Quran: Satu surah dari al-Qur'an merupakan satu ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah tidak berkesudahan
d) Nikmat Al-Mala'ul A'la (para Malaikat yang tertinggi): Yang sentiasa mendoakan rahmat ke atas Rasulullah s.a.w dan mendoakan rahmat ke atas orang-orang yang mendoakannya
e) Nikmat Sunnah Rasulullah s.a.w.: Berjuta-juta manusia bersilih ganti menurut sunnahnya. Berjuta-juta lidah dan bibir tak berhenti-henti menyeru namanya. Berjuta-juta hati sentiasa cinta akan sirahnya dan sentiasa mengingatinya sampai hari Qiamat.
f) Nikmat Kebajikan: Yang melimpahi umat manusia dari seluruh generasi dengan sebab dakwahnya sama ada manusia yang mengenal nikmat kebajikan itu dan beriman dengannya atau manusia yang tidak mengenalnya tetapi turut dilimpahi nikmat ke atas mereka.

Terdapat banyak hadith dari berbagai-bagai saluran yang menerangkan bahawa al-Kauthar itu ialah sebuah sungai di dalam syurga yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w., tetapi menurut Ibn 'Abbas sungai itu merupakan salah satu nikmat daripada nikmat-nikmat kebajikan yang melimpah-ruah yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w. dan pendapat ini amat munasabah dengan keterangan ayat al-Qur'an.


(108 : 2) Kerana itu dirikanlah solat dan berkorbanlah dengan ikhlas kerana Tuhanmu.

Setelah menerangkan nikmat yang melimpah-ruah yang bertentangan dengan kempen-kempen orang-orang kafir itu Allah memerintah Rasul-Nya s.a.w. supaya mensyukuri nikmat itu dengan kewajipannya yang pertama, iaitu kewajipan melahirkan keikhlasan dan pemusatan hati kepada Allah dalam amal ibadat dan tujuannya dalam mengerjakan solat dan menyembelihkan binatang korban dengan ikhlas kerana Allah tanpa menghiraukan kesyirikan orang-orang musyrik dan tanpa menyertai upacara ibadat mereka mengikuti perbuatan mereka yang menyebut-nyebut selain dari nama Allah ketika menyembelih korban-korban mereka. Keterangan yang berulang-ulang supaya disebutkan nama Allah sahaja ketika disembelih binatang-binatang korban dan diharamkan binatang-binatang sembelihan yang disebut nama lain dari nama Allah menunjukkan betapa besarnya perhatian agama Islam dalam usaha membersihkan seluruh kehidupan dari kesan-kesan syirik bukan hanya sekadar membersihkan fikiran dan hati sahaja. Islam adalah agama keesaan dalam erti katanya yang sebenar dan agama Tauhid yang bersih dan jelas, kerana itu ia memburu dan menyerang syirik dalam segala bentuk rupanya dan di mana-mana sahaja sama ada dalam hati, dalam ibadat dan dalam adat resam kehidupan. Kehidupan lahir dan batin ini merupakan satu kesatuan dan Islam melayani kehidupan sebagai satu kulli/kesemestaan yang tidak berbelahbahagi dan membersihkannya dari segala noda syirik dan membawa kehidupan ini tawajjuh kepada Allah dalam bentuknya yang bersih dan jelas sebagaimana yang kita dapat lihat dalam masalah binatang-binatang sembelihan dan lain-lainnya dari syi'ar-syi'ar ibadat dan tradisi-tradisi kehidupan


(108 : 3) Sesungguhnya orang yang benci kepada engkau dialah orang yang putus keturunan.

Dalam ayat pertama Allah menerangkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah seorang yang terputus, tetapi seorang yang dikurniakan ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah dan berterusan. Dalam ayat yang akhir ini pula Allah menjelaskan bahawa orang yang terputus itu bukannya Nabi Muhammad s.a.w., tetapi orang-orang yang memusuhi dan membencinya dan janji Allah itu amat benar kerana sebutan nama mereka telah terputus, sedangkan Nabi Muhammad s.a.w. terus disebut dan disanjung tinggi. Pada hari ini kita dapat saksikan kebenaran Firman Allah yang Mulia ini dalam gambaran (kemasyhuran namanya) yang gemilang dan amat luas tidak pernah disaksikan oleh orang-orang zaman dahulu yang telah mendengar nama beliau. Keimanan, kebenaran dan kebajikan tidak mungkin terputus. Ia akan menghulurkan dahan-dahan dan cabang-cabangnya dan menunjangkan akar umbinya jauh ke dalam. Yang terputus ialah kekufuran, kebatilan dan kejahatan biarpun bagaimana ia membesar dan kuat. Di hadapan kita terpampang contoh yang diterangkan dalam ayat ini sebagai satu contoh yang jelas dan abadi. Di manakah tokoh-tokoh Quraysh yang mengejek Nabi Muhammad s.a.w. dengan ejekan-ejekan yang hina dan menarik hati orang ramai? Ketika itu mereka menyangka bahawa mereka telah berjaya menghancurkan Nabi Muhammad s.a.w. dan menyekat jalan da'wahnya, di mana mereka sekarang? Di mana nama-nama mereka dan kesan-kesan peninggalan mereka dibandingkan dengan ni'mat-ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah yang dikurniakan kepada Rasulullah yang dicap mereka sebagai manusia yang terputus keturunannya itu? Da'wah kepada Allah, kepada kebenaran dan kepada kebajikan tidak mungkin terputus. Dan penda'wahnya juga tidak terputus. Bagaimana ia mungkin terputus, kerana ia sentiasa mempunyai pertalian yang kukuh dengan Allah yang Maha Hidup, Maha Kekal, Azali dan Abadi. Hanya kekufuran, kebatilan dan kejahatan sahaja yang terputus bersama pejuangnya walaupun dalam setengah-setengah ketika ia kelihatan panjang umur dan akar-akarnya menunjang jauh. Amatlah benar Firman Allah yang Maha Agung dan amatlah bohong tanggapan kaum Musyrikin yang melakukan tipu daya yang jahat itu.


Rujukan:
1) Sayyid Qutb, “Tafsir Di Bawah Naungan Al-Quran (Juz 30),” Perniagaan Jahabersa, 2008.