Isu Murtad yang tiba-tiba mendapat liputan meluas di negara kita sekarang ini, sebenarnya merupakan isu yang telah lama. Isu ini menjadi hangat secara tiba-tiba dan muram dengan sekelip mata. Kini, isu ini kembali menarik perhatian. Adakah kita masih ingat dengan isu pemurtadan Aisyah Bukhari dan Hartina Kamarudin yang berlaku pada pertengahan 1990-an? Adakah juga kita masih ingat dengan kenyataan dari Mufti Perak bahawa terdapat lebih 100,000 permohonan untuk keluar dari Islam di Jabatan Pendaftaran Negara? Jadi, apa tindakan? Atau hanya menunggu isu tersebut dimakan waktu?
Kini, kecoh pula tentang kewujudan gerakan kritianisasi untuk memurtadkan orang Islam. Isu 15 tahun dahulu didiamkan, tiba-tiba muncul pula isu baru. Jangan pula didiamkan tanpa sebarang tindakan. Berkaitan isu ini, persoalannya, adakah tuduhan tersebut benar dan mempunyai bukti yang kukuh? Sekiranya benar, lihat diri kita dahulu. Apa yang telah kita lakukan sejak kes murtad yang berlaku lebih kurang 15 tahun dahulu? Di Malaysia, kebanyakan Menteri Kabinet dan Menteri Besar adalah orang Islam. Di setiap negeri ada Jabatan Agama, Jabatan Mufti, Pusat Zakat, Baitulmal dan lain-lain institusi dalam menyebarkan dakwah dan membantu orang Islam. Adakah masih tidak mencukupi? Jika kita mengatakan gerakan untuk memurtadkan orang Islam dibantu dengan kekuatan kewangan yang tinggi, mana perginya wang zakat yang berjuta-juta ringgit yang tujuan utamanya adalah untuk membantu dari segi kewangan golongan yang memerlukan? Apalah gunanya dihebah di dalam media massa tentang kutipan zakat setiap negeri yang berjumlah berjuta-juta ringgit jika pengurusan zakat sendiri tempang?
Dari segi sudut yang lain, usah kita terlalu cepat menyalahkan pihak yang melakukan kerja-kerja dakyah sedangkan diri kita masih lagi statik. Di saat gerakan pemurtadan bergerak dengan rancak, kita hanya mampu berkata-kata dan mengutuk sahaja. Di mana gerak kerja dakwah kita? Di manakah pendakwah-pendakwah kita? Saya teringat tulisan blog Dr Asri mengenai teguran Allahyarhamah Dr Lo' Lo' yang menyelar golongan 'Ustaz Sampul' yang sibuk meminta bayaran apabila diminta menyampaikan ceramah di saat umat di luar tunggang langgang.
Saya cukup takut akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak sekiranya gagal menyelamatkan umat di sekeliling saya dari terus hanyut dan murtad. Apalah gunanya hidup bahagia di samping keluarga tercinta, dapat kerja yang bagus dan berpendapatan lumayan, tetapi umat terus terumbang-ambing. Bukan mudah jadi pendakwah. Berdakwah memang senang tetapi mencintai dakwah terlalu sukar untuk dilaksanakan. Mencintai dakwah menuntut pengorbanan yang luar biasa, kesusahan dan keperitan semata-mata untuk menyelamatkan umat.
Firman Allah: "Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, 'Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri)?'" (Fussilat, 41: 33)
Firman Allah: "Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum engkau (Muhammad), melainkan Kami wahyukan kepadanya, bahawa tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Aku, maka sembahlah Aku." (Al-Anbiya', 21: 25)
Dalam sebuah perlawanan bola sepak, sekiranya Team A mengamalkan teknik bertahan daripada asakan Team B sepanjang permainan, kebarangkalian Team A menjaringkan gol sangat rendah dan kebarangkalian bolos adalah sangat tinggi. Tetapi jika Team A mengubah teknik permainan dengan memperhebatkan serangan di samping bertahan dengan baik, kebarangkali Team A menjaringkan gol akan meningkat dan kebarangkalian bolos akan berkurangan. Dalam permainan bola sepak, menyerang adalah strategi bertahan yang cukup baik. Begitu juga dengan dakwah. Untuk menghalang gerakan dakyah terhadap umat Islam ini, kita harus merancakkan dan mempercepatkan dakwah Islam. Insya Allah, kebarangkalian orang mencintai dan mahu kepada Islam akan bertambah dan kebarangkalian orang yang murtad akan berkurangan ataupun tiada.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment