Sunday, August 7, 2011

Demokrasi: Siri 3

Sesetengah golongan mengatakan bahawa sistem demokrasi merupakan sistem kuffar dan tidak boleh digunakan oleh golongan Muslim. Tetapi yang hairannya, mereka mengambil elemen-elemen demokrasi seperti berhimpun, menyuarakan pendapat dan mengedarkan risalah dalam menyampaikan pendirian mereka.

Sebahagian golongan yang lain pula, mengatakan bahawa mereka lah juara demokrasi tetapi melaksanakan sikap yang bertentangan dengan demokrasi. Mereka mencantas golongan yang berhimpun secara aman dan mencantas golongan yang mengkritik untuk memastikan mereka terus berkuasa.

Apakah salahnya berhimpun secara aman? Lebih kurang 10 tahun lepas, ketika Palestin teruk diserang oleh golongan Yahudi laknatullah, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir bersama-sama dengan Ketua Pembangkang, Dato' Hj Fadzil Noor mengadakan pidato umum menyuarakan sokongan terhadap perjuangan Palestin. Ketika itu, saya melihat kedua-dua pemimpin menolak kepentingan dan perseteruan politik demi memperjuangkan kesengsaraan rakyat Palestin. Mereka menggunakan saluran demokrasi iaitu mengadakan pidato umum, dihimpunkan rakyat jelata sama ada dalam dewan ataupun menonton melalui kaca televisyen untuk meluahkan apa yang terpendam dalam hati nurani mereka dan mengajak rakyat bersama-sama dengan mereka.

Pada tahun lepas, isu Palestin juga menyebabkan masyarakat serata dunia turun ke jalanan membantah serangan dan pencerobohan Israel ke atas Palestin. Rakyat di Malaysia juga tidak ketinggalan untuk berdemonstrasi. Meskipun demonstrasi tersebut tidak mendapat premit atau diistilahkan sebagai perhimpunan haram, masih lagi rakyat yang sayangkan perjuangan Palestin turun dan yang paling uniknya, perhimpunan tersebut tidak diganggu malah dikawal oleh pihak berkuasa sebaik-baiknya.

Berlainan pula dengan isu Perhimpunan Bersih 2.0 bulan lepas. Setelah penganjur mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong untuk berhimpun di stadium, namun, rupa-rupanya ada golongan yang lebih berkuasa dari YDP Agong yang tidak membenarkan perhimpunan tersebut. Siapa yang derhaka sebenarnya ni? Maka, berlangsunglah perhimpunan tersebut dan sedia maklum bahawa elemen-elemen demokrasi telah punah dan kotor akibat kuasa-kuasa yang rakus. Berhimpun dan berarak secara aman namun dibalas dengan semburan pemedih mata dan sepak terajang sehingga ada yang cedera dan mati. Astaghfirullah hal azim...

Salahkah rakyat menuntut Pilihan Raya yang Adil dan Telus?
Salahkah rakyat membuat tuntutan dalam menghidupkan sistem demokrasi?
Bukankah itu satu tuntutan normal dalam sesebuah negara demokrasi?

Saya berbicara sebagai seorang rakyat yang cinta kepada kedamaian dan keharmonian seperti yang dianjurkan oleh Islam. Dalam post saya yang terdahulu iaitu Demokrasi: Siri 2, http://imam-abuhanifah.blogspot.com/2011/07/demokrasi-siri-2.html yang memaparkan kisah-kisah di zaman para Sahabat Nabi apabila berhadapan dengan protes dari rakyat ketika pemerintahan mereka. Mereka tidak menggunakan kekerasan untuk menyuraikan suara rakyat tetapi dengan meneliti permintaan mereka dan bertindak dengan penuh hikmah. Adakah tindakan pihak berkuasa dengan memukul, menyepak dan menerajang orang yang berhimpun merupakan tindakan yang penuh berhikmah? Ataupun mahu menjadi pengikut Abdullah bin Saba' (pengasas Syiah yang sesat lagi menyesatkan) dengan melakukan provokasi agar demonstrasi aman menjadi kacau bilau.


Hidup kita di dunia ini tidak kekal abadi. Semua bernyawa pasti akan mati mahupun yang berkuasa ataupun yang dikuasai. Hidup ini pun ibarat roda. Kadang-kadang kita berada di atas dan kadang-kadang kita berada di bawah. Jika kerja kita hari ini adalah sebagai seorang Pemimpin, laksanakanlah pimpinan itu sebaik-baiknya. Tunaikanlah amanah dan tanggungjawab itu seadil-adilnya agar kita tidak didakwa oleh rakyat di akhirat kelak. Jika kerja kita hari ini adalah sebagai Pihak Berkuasa, laksanakanlah kerja kita dalam mengawal keselamatan rakyat dan negara dengan adil tanpa mengira batasan agama, bangsa dan ideologi politik.

Jika hari ini kita tidak adil kepada orang yang kita kuasai, akan datang, pasti akan ada orang yang tidak berlaku adil dengan kita. Jika hari ini, kita tersenyum lebar menindas, memfitnah, memukul, menyepak dan menerajang orang lain tanpa belas kasihan seolah-olah kita akan berkuasa selama-lamanya, maka tidak mustahil, kita ataupun keluarga kita yang akan diperlakukan sedemikian.



Firman Allah: "Dan mereka membuat tipu daya, maka Allah pun membalas tipu daya. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya." (Ali-Imran, 3: 54) 

Buka kembali lembaran sejarah. Mengapa orang dari dulu hingga sekarang tidak kira orang Islam atau bukan Islam amat menyanjungi pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz? Ini disebabkan keadilan dalam pemerintahannya. Mengapa rakyat amat membenci sehingga menggulingkan pemerintahan Suharto di Indonesia, Hosni Mubarak di Mesir dan Ben Ali di Tunisia? Tidak lain dan tidak bukan, ini disebabkan kezaliman dan penindasan dalam pemerintahannya.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment