Sunday, December 29, 2013

Si Kaya Bertambah Kaya; Si Miskin Semakin Menderita

Jika kita menyelusuri sirah Nabi Muhammad s.a.w. sebelum baginda diangkat menjadi Rasul, kehidupannya bukanlah indah seperti kebanyakan manusia. Ayahnya meninggal ketika di dalam kandungan dan ibunya pula meninggal ketika baginda masih kecil. Apabila dibesarkan oleh datuk dan bapa saudaranya, baginda menjadi pengembala kambing dan mengikut bapa saudaranya berniaga ke merata tempat. Sehinggalah beliau bertemu dgn Saidatina Khadijah dan bernikah dengannya serta turut dikenali oleh masyarakat sekitar sebagai al-Amin berdasarkan peribadi baginda.

Maknanya, kehidupan baginda bukannya mudah tetapi dipenuhi pelbagai ranjau. Dan, apabila baginda diangkat menjadi Rasul dan pemimpin umat Islam, qudwah yang ditunjukkan baginda sangat hebat. Di saat umat Islam dikenakan sekatan ekonomi, Rasulullah turut mengikat perut dalam menghadapinya. Di saat para sahabat bertempur di medan perang, Rasulullah juga turut bersama dan turut mengalami kecederaan. Di dalam gigih melaksanakan dakwah, Rasulullah lah yang paling teruk diuji dan diserang hingga luka teruk. Rasulullah tidak meletakkan diri baginda eksklusif dalam sesuatu perkara dan inilah nilai-nilai yang ada pada baginda sebagai pemimpin.

Maka, atas faktor inilah kita sering melihat kualiti pemimpin pada zaman sekarang. Kita sebagai rakyat marhaen mungkin pelik atas kualiti yang dilihat secara kasar bukanlah kualiti pemimpin yang diidam-idamkan. Berikut adalah di antara kenyataan yang keluar dari mulut pemimpin negara kita:

"Jika tak suka dengan undang-undang di negara, boleh keluar ke negara lain."

"Jika harga ayam naik, boleh makan ikan."

"Harga minyak di negara kita masih murah berbanding negara lain (sambil membandingkan dengan negara bukan pengeksport minyak)."

"Jika tak setuju harga tol naik, boleh ikut jalan biasa."

Apa komen anda?
Jika lembu boleh memahami, pasti lembu tersebut akan tertawa ;)

Untuk memohon jawatan kosong di sebuah syarikat atau firma kejuruteraan sama ada sebagai jurutera dan sebagainya, pasti memerlukan kelayakan minima untuk memohon kerja tersebut sama ada dari segi akademik atau pengalaman. Jawatan mufti atau pegawai agama juga memerlukan kelayakan minima untuk menjawat jawatan tersebut. Justeru itu, bagi saya, sangat penting jawatan menteri juga memerlukan kelayakan minima supaya tidak binasa negara ini dan agar rakyat tidak mentertawakan mereka.

Itu sebabnya penting apabila kita menselusuri jalan dakwah Rasulullah kerana baginda adalah contoh terbaik menjadi pemimpin. Para Sahabat sangat menghormati baginda dan begitu juga sebaliknya. Justeru itu, jawatan sebagai menteri bukanlah bererti mereka boleh buat sesuka hati, tetapi yang penting sebagai ruang untuk beribadah. Jika kualitinya seperti sekarang, mustahil mereka sedang beribadah. Bahkan, dijadikan jawatan itu sebagai keseronokan dunia, ruang untuk menambah kekayaan peribadi dan keluarga dan sekaligus menambah kangkuhan diri mereka. Disuruhnya rakyat berjimat sedangkan mereka sendiri boros berbelanja. Disarankan supaya rakyat berbelanja berhemah sedangkan mereka menggunakan pelbagai aset kerajaan untuk kepentingan peribadi. Justeru itu, tidak mustahil apabila mereka diangkat menjadi menteri, keluarga serta anak pinak tiba-tiba turut menjadi kaya raya. Jika begini caranya, adakah rakyat akan menghormati mereka?

Secara peribadi, saya tidak risau dengan keadaan ini sekarang (meskipun sedikit sebanyak akan terjejas). Tetapi, saya sangat khuatir akan masalah sosial dan ekonomi pada masa akan datang. Kita berdepan dengan cabaran yang paling getir dalam tempoh 5 - 10 tahun akan datang. Bagaimana kita atau anak-anak kita akan berdepan dengan situasi tersebut? Masalah ekonomi, jenayah dan sebagainya...

Memang tepat kenyataan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Abas, apabila mengulas tentang masalah ekonomi Malaysia - "Now Everyone Can Cry."

Wallahua'lam...

No comments:

Post a Comment