Sunday, August 31, 2014

Manusia Merdeka



Kemerdekaan bukan hanya bermaksud kebebasan semata-mata. Bagi seorang Muslim yang merdeka, kemerdekaan adalah tiada lagi kebergantungan selain pada Allah. Justeru itu, tiada lagi kebergantungan pada manusia yang menyebabkan dirinya terus dikongkong. Manusia yang merdeka tidak akan tunduk pada sebarangan kuasa kerana kebergantungan pada Allah semata-mata.

Sebagai contoh, sahabat di Gaza yang jauh lebih merdeka meskipun mereka dikepung dan dikawal oleh tembok kekejaman Zionis. Tiada perasaan takut pada musuh yang sekian lama cuba menghancurkan mereka. Berbanding dengan sebuah negara yang merdeka tetapi rakyatnya masih dijajah dengan ketakutan pada musuh dan terus dijajah dari segi ekonomi, politik dan sebagainya.

Minda dan jiwa kita harus bebas dan merdeka. Memetik kata-kata Syeikh Hasan Hudhaibi, "Penjara bukanlah tembok tebal dan jeriji besi. Sebenarnya penjara adalah keadaan dalam perasaan dan fikiran kalian."

Ayuh bangkitlah jiwa-jiwa Islam. Keluarlah dari penjara dunia dan jadilah manusia yang merdeka walau di mana saja kita berada. Teruslah mencari ketenangan dan kejayaan dengan jiwa dan minda yang merdeka. 

Allahu Akbar!!
Allahu Akbar!!
Allahu Akbar!!

Saturday, August 30, 2014

Hari Kemerdekaan - Sejarah dan Realiti



Ya Allah! Anugerahkanlah taufiq kepada sekelian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam. 

Ya Allah! Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan ke hadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan. Ya Allah! Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.

Ya Allah! Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati. Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan. Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmat-Mu, wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang. 

Ya Allah! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahan-Mu dan kemurkaan-Mu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakkan.

Ya Allah! Awasilah dengan penglihatan-Mu yang tidak pernah lena dan bentengilah dengan perlindungan dan benteng-Mu yang tidak mudah diterima....



Oleh,
Al-Marhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said.

*Doa ini dibaca ketika pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 31hb Ogos 1957.