Wednesday, August 17, 2016

This Is Korea!



Ini bukannya isu Korea Utara atau Korea Selatan. Di sebalik perseteruan di antara kedua-dua negara ini, rakyatnya menjadikan pertarungan di Sukan Olimpik ini sebagai medan persahabatan. Tiada yang pelik pada gambar ini kerana naluri Manusia sememangnya ke arah kebaikan.

This is KOREA!

Tuesday, August 16, 2016

Revolusi Sang Peminat Kepada Sang Juara



Ketika Joseph Isaac Schooling masih kecil, beliau sangat mengagumi Michael Phelps sebagai Jagoan Renang Dunia. Beliau menjadikan Phelps sebagai Idola di dalam sukan renang yang diceburi. Akhirnya, pada Olimpik 2016, mereka berentap dan Schooling menewaskan idolanya itu di dalam acara 100 meter Gaya Kupu - Kupu.

Phelps boleh dikatakan Lagenda Dunia di dalam Renang. Merangkul 23 Pingat Emas sepanjang penglibatan dalam Sukan Olimpik merupakan pencapaian terunggul yang sukar untuk diatasi. Namun, kejayaan Schooling sebagai 'bintang baru' dengan menewaskan Phelps lebih istimewa, apatah lagi ini merupakan Pingat Emas Pertama Singapura dalam sejarah Sukan Olimpik. Mungkin ramai yang tak terfikir pun kemampuan Singapura dalam acara Renang ini di peringkat dunia.

Begitulah dalam kehidupan kita, ramai rakyat menjadikan pemimpin sebagai idola, anak menjadikan ibu bapa sebagai idola dan mutarobbi menjadikan murobbi sebagai idola. Mempunyai idola bukan sekadar meminatinya, tetapi berusaha mendekati dan mengatasi kebaikan dan kehebatan yang ada pada idolanya. Itulah yang ditunjukkan oleh para Sahabat dalam menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai idola mereka. Menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai idola mengikatkan umatnya di dalam sunnah baginda yang mendekatkan kecintaan terhadap Rasulullah. Melaksanakan sunnah Baginda adalah satu satu cara menunjukkan kecintaan kita kepada Baginda Rasulullah s.a.w. dan bukannya melafazkan cinta semata-mata.

Maka, siapa pun idola kita, dekatilah dan capailah kehebatannya. Jadilah seperti Schooling dalam menjejaki idolanya. Apa pun, Jejak Idola oleh Schooling sangat bermakna pada diri beliau. Beliau bukan saja mengagumi, tetapi mendekati dan mengatasi Idolanya itu. Inilah dikatakan 'Revolusi Sang Peminat Kepada Sang Juara.'

Wednesday, August 3, 2016

Aktivis Politik Juga Perlukan Tarbiyah?

Melihat kondisi Politik tanah air sekarang ini, pemikiran saya jauh melayang. Jauh melayang seperti tiada noktah. Pertembungan dan perseteruan yang tidak berkesudahan, skandal yang memualkan dan kebajikan rakyat yang dianak tirikan, menjadikan politik ini mewarisi tabiat buruk yang berakar umbi. Laungan Reformasi, Politik Nilai dan Gerakan Pembaharuan hanya sekadar penyedap telinga yang ditenggelamkan oleh perilaku dan sikap sebenar ahli politik.

Politik juga merupakan suatu kerjaya, seperti kerjaya yang lain. Setiap orang pasti mempunyai pandangan yang berbeza berkaitan politik. Cuma, apabila kita melihat dari segi kebaikan, politik adalah saluran yang terbaik untuk meyebarkan kebaikan pada masyarakat.

Namun, persepsi di Malaysia ketika ini adalah berbeza. Seorang politikus itu ibarat 'tikus' dalam kerjayanya yang tidak memberi impak yang baik kepada diri dan masyarakat. Dipenuhi dengan skandal, penyalahgunaan kuasa, fitnah, mencerca lawan, provokasi dan sebagainya, seperti sudah sebati dengan kehidupan seorang politikus. Saya masih mencari pejuang tulen di dalam politik ini yang membawa politik baru dan matang untuk masyarakat.

Bagaimana seorang ahli politik mendepani lawannya dengan pelbagai ragam dan akhlak yang buruk? Bagaimana  ahli politik berdepan dengan fitnah dan cercaan yang berterusan dari lawannya? Bagaimana pula mendepani provokasi yang memualkan? Jangan pula, ahli politik yang membawa imej Islam yang berlebih-lebih dengan cercaan dan provokasi terhadap lawannya pula!

Justeru itu, mencari pejuang tulen di dalam politik semestinya membawa kita kembali kepada perjuangan Al-Quran dan As-Sunnah. Bagaimana hendak mengislahkan hubungan di kalangan manusia jika hubungan dengan Pencipta lebur? Bagaimana hendak berdepan dengan pelbagai godaan dunia jika benteng amal soleh tidak dijaga? Maka, tidak hairanlah kebanyakan ahli politik Muslim hanyut dengan godaan dunia jika hubungan dengan Allah tidak dijaga.

Bukan semua orang atau bukan semua pejuang Islam mampu menjadi ahli Politik yang baik. Semestinya, yang menjadi seseorang itu hebat hanyalah Allah Taala. Maka, proses Tarbiyah itu perlu diteruskan seiring dengan komitmen di dalam politik, bukannya diringankan. Teringat kata-kata seorang syeikh kepada seorang ukhti yang berjinak-jinak di dalam politik, "Ini adalah contoh yang terbaik di mana anti menyediakan bekalan di dalam mehwar politik dengan memberikan komitmen di dalam program tarbiyah."

Begitu juga perkongsian dari seorang Ahli Parlimen Parti Islam di Indonesia yang mengatakan bahawa beliau perlu menghabiskan 2 juzuk bacaan Al-Quran dalam sehari semenjak menjadi Ahli Parlimen, berbanding 1 juzuk ketika belum menjadi Ahli Parlimen. Itulah Tarbiyah Dzatiyah yang perlu dijaga di dalam dakwah ini.

Justeru itu, menjadi seorang aktivis Politik bukannya menjadikan diri kita mencari rukhsah atau keringanan di dalam tarbiyah. Jiwa dan diri perlu dilengkapi dengan bekalan yang secukupnya sebelum terjun ke arena politik.

Menjadi Ahli Politik bukan saja perlu cerdik dan pintar, tetapi juga tunduk kepada Allah. Menjadi Ahli Politik bukannya mahu membina empayar kuasa dan kekayaan, tetapi mahu meluaskan ruang kebaikan kepada seluruh manusia. Barulah Politik itu sendiri memberi manfaat kepada semua.

Wallahua'lam...

Tuesday, August 2, 2016

Manusia Semakin Pantas

Agak lama kisah berkaitan acara Larian Pecut 100 meter tidak dibualkan oleh rakyat Malaysia. Nama-nama seperti Watson Nyambek, Azmi Ibrahim dan Nazmizan Muhammad serta kisah perseteruannya hanya tinggal sejarah. Tenggelam seolah-olah tidak akan wujud lagi nama-nama besar seperti itu.

Jika rekod 10.42 saat oleh Dr Jega saja, mengambil masa berpuluh tahun untuk dipecahkan, apatah lagi rekod 10.30 saat yang dicipta oleh Watson. Akhirnya, sejarah tercipta selepas 18 tahun, rekod 100 meter Malaysia dipecahkan oleh Khairul Hafiz Jantan dengan catatan baru 10.18 saat. Secara tiba-tiba, ada sedikit sinar di dalam sukan olahraga negara.

Begitu juga dengan rekod 100 meter Dunia yang sangat lama pada catatan 9.80 ~ 9.90 saat pada penghujung tahun 90an dengan nama-nama besar seperti Carl Lewis, Donovan Bailey dan lain-lain lagi. Akhirnya, Usain Bolt mencipta sejarah dengan rekod 9.58 saat! 

Adakah rekod itu akan terhenti di situ saja? Pastinya TIDAK kerana Manusia Semakin Pantas! Setiap rekod itu pasti akan diperbaharui tetapi masa yang menentukan. Dunia sukan akan lebih menarik apabila banyak jagoan baru muncul dan apabila banyak rekod baru dicipta. Sukan pada zaman sekarang bukan hanya di padang dan gelanggang semata-mata, tetapi turut merangkumi pengajaran di kuliah, teknologi dan R&D bagi memastikan Sukan turut mempunyai nilainya yang tersendiri.

Kini, Manusia Semakin Pantas kerana Kepantasan Manusia berkadar langsung dengan Kemajuan Teknologi Manusia.



Tahniah diucapkan kepada Khairul Hafiz Jantan di atas kejayaan di SUKMA Malaysia. Di sebalik kejayaan dan rekod baru 100 meter, kini, Malaysia menantikan rekod baru 200 meter pula yang masih bertahan lebih 40 tahun.