Tuesday, October 4, 2016

Pentaksir Ruang


Link di atas menghuraikan berkaitan taktikal di dalam bola sepak, dan sekaligus menarik minat saya untuk menulis artikel kali ini. Rupa-rupanya, taktikal bola sepak ini sangat luas, dan bergantung bagaimana fungsi jurulatih atau pengurus pasukan dalam memposisikan mengikut kekuatan dan kemampuan anak buahnya. Sedikit sebanyak, ada kaitan dengan artikel saya sebelum ini - Murobbi Itu Juga Seorang Jurulatih

Raumdeuter bermaksud pentaksir ruang atau space investigator. Perkataan ini diilhamkan daripada perkataan traumdeuter yang bermaksud 'pentafsir mimpi' dalam bahasa Jerman. 

Apabila kita menyebut tentang taktikal, boleh dikatakan ianya wujud hasil dari ilham atau cetusan idea baru bagi mempelbagaikan aspek ini. Inilah hasil dari 'bacaan' orang-orang yang berpengalaman. Bagi mengatasi musuh dan lawan yang pelbagai, banyak inovasi yang wujud untuk digunakan. 

Maka, taktikal pentaksir ruang ini merupakan antara kaedah yang digunakan oleh Louis Van Gaal ketika membimbing Bayern Munich. Dan, bukannya mudah untuk dilaksanakannya kerana hanya Thomas Muller saja yang setakat ini mampu berperanan penuh dalam menjayakannya. Tidak semestinya pantas dan handal mengawal bola, tetapi beliau bebas dan bijak menghidu dan mentaksir ruang untuk menjaringkan gol. 

Maksud mentaksir ruang adalah "Muller akan membaca serangan pasukannya sambil mencari ruang untuk menjaringkan gol dari mana-mana arah! Kedengarannya mudah tetapi memerlukan kebijaksanaan yang tinggi. Muller diibaratkan boleh masuk ke dalam kawasan yang sebesar lubang jarum sekalipun untuk menjaringkan gol."


(Analisis Lokasi Jaringan Thomas Muller)


Mentaksir Ruang Dakwah

Justeru itu, di dalam dunia dakwah dan tarbiyah, alangkah indahnya jika seorang dai'e mampu menjadi seperti seorang Thomas Muller. Dia mampu membuat bacaan medan, mampu melihat ruang dakwah di sesuatu tempat, dan bijak mengambil ruang untuk pertumbuhan dakwah. Letak saja di mana-mana medan, dia mampu menggerakkan gerak kerja dakwah dengan baik.

Ramai orang memberikan alasan bahawa dakwah itu sukar namun sebenarnya bagi orang yang bijak mentaksir ruang, dia akan melaksanakan pelbagai kaedah untuk menarik mad'unya. Menyapa, memberi salam, senyum, bersembang, ajak bersukan dan belanja makan hingga hati seseorang mad'u itu tertarik pada Islam.

Firman Allah: "Lalu sesungguhnya aku menyeru mereka dengan cara terang-terangan. Kemudian, aku menyeru mereka secara terbuka dan dengan diam-diam." (Nuh, 71: 8 - 9) 

Nah, Nabi Nuh sendiri mempelbagaikan kaedah dakwah dalam menyantuni umatnya! Berdakwah pada masyarakat dengan pelbagai lapisan umur memberikan petunjuk bahawa pelbagai kaedah perlu dilaksanakan. Remaja, Siswa, Belia, Pekerja Kilang, Mat Motor, Veteran, Wanita dan Orang Kampung memerlukan kaedah yang berbeza untuk menyantuninya. Dari segi percakapan, penampilan dan tingkah laku, kesemuanya memerlukan cara yang berbeza. Kedengarannya mudah tetapi semestinya memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran yang tinggi.

"Berucaplah kepada manusia mengikut kadar kemampuan akal fikiran mereka." (HR Muslim)

Jika seorang Thomas Muller dan Loius Van Gaal mempunyai 90 minit untuk merancang pentaksiran ruang, para dai'e juga perlu sentiasa berfikir dan terus berfikir untuk menyelamatkan ummat ini. Berfikir, merancang dan sentiasa mencari dan mentaksir ruang yang ada untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah ini. 

Usah ditunggu peluang terhidang terlepas begitu saja, maka sambarlah peluang dengan cepat dan tepat. Dan, usah ditunggu saja peluang itu tiba, sebaliknya perlu berfikir dan mencipta ruang untuk diperolehi manfaatnya.

Wallahua'lam...


*Kredit kepada web Semuanyabola.com di atas artikel Raumdeuter - Pentaksir Ruang

No comments:

Post a Comment