Saturday, October 29, 2016

Graduan Sarjana

Alhamdulillah dengan segala rahmat dan pertolongan yang Allah berikan untuk saya menyelesaikan pelajaran saya di peringkat Sarjana. Akhirnya, berjaya juga saya menggapai Ijazah Master Sains Kejuruteraan Aerongkasa dari Universiti Putra Malaysia.

Bukan sesuatu yang mudah apabila membuat keputusan belajar secara sambilan (Part Time) di samping kerjaya sebagai Jurutera, terlibat aktif di dalam NGO dan menguruskan keluarga dan anak-anak. Apatah lagi apabila saya menyambung di dalam mod Penyelidikan (Research), sedangkan kebanyakan orang yang bekerja hanya berani untuk sambung belajar di dalam mod Kelas (Course Work).

Sebenarnya, tiada apa yang layak digapai melainkan kesemua ini adalah kurniaan dari Allah. Saya masih ingat ketika mengerah keringat menyiapkan tesis pada semester akhir; dan ketika bulan terakhir semester, sibuk pula membantu isteri menguruskan kelahiran anak kedua. Juga di dalam kegentingan bertarung di dalam Viva selama hampir 3 jam! Rezeki anak barangkali...

Pesan saya bagi ahli usrah dan sahabat di dalam Dakwah dan Tarbiyah, jangan jadikan alasan kerja dan sambung belajar itu untuk kita bermalas-malasan atau berlengah-lengah di dalam dakwah. Dakwah dan Tarbiyah itu lah denyut nadi kita. Saya sendiri menganggap kejayaan yang saya capai ini adalah bantuan dari Allah sepenuhnya yang berpunca dari kerja-kerja Dakwah dan Tarbiyah yang dilakukan selama ini. Allah tidak akan pernah menghampakan Hamba-Nya.

Di saat ini, saya sedang membuat pertimbangan untuk menyambung pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan moga Allah membuka jalan yang seluas-luasnya untuk perjalanan hidup saya pada masa hadapan.

Amiin...



No comments:

Post a Comment