Monday, December 5, 2016

Konvokesyen

Setiap penghujung tahun, kebiasaannya adalah masa berlangsungnya Konvokesyen bagi Universiti dan Kolej untuk pengiktirafan para graduan yang telah selesai pembelajarannya sama ada Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah.

Maka, Konvokesyen ini adalah antara kenangan yang paling indah dan paling diingati bagi seseorang yang pernah bergelar graduan. Kita akan lihat sebuah perhimpunan yang begitu harmoni dan nostalgia yang penuh dengan protokol, penganugerahan skrol ijazah dari VVIP, hadirin semua bergembira, bergambar dengan ahli keluarga dan sesama graduan serta menerima ucapan tahniah dan hadiah tanda kegembiraan.

Maka, boleh dikatakan, ianya sebuah simbol kejayaan bagi para graduan setelah berhempas pulas dalam pelajaran demi kejayaan dan kegembiraan diri dan keluarga.

Justeru itu, adakah kita mampu membayangi keadaan kita pada Konvokesyen di akhirat kelak? Bagaimana pula dengan pengiktirafan Allah Taala di atas segala amal kita di dunia ini, sama ada diterima atau tidak?

Firman Allah: "Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat. Dan bumi telah mengeluarkan beban - beban berat (yang dikandungnya). Dan manusia bertanya, 'Mengapa bumi jadi begini?'. Pada hari itu bumi menceritakan beritanya. Kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang demikian itu) kepadanya. Pada hari itu, manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan bermacam-macam supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka." (Al-Zalzalah, 1 - 6)

Begitulah lumrah kehidupan kita di dunia. Kovokesyen Universiti adalah seumpama kejayaan yang sementara di dunia. Ianya terhenti di situ saja. Bagi yang berjaya, akan menjadi batu loncatan pada masa hadapan. Namun, bagi yang gagal, peluang tidak tertutup di situ saja. Masih ada ruang lain untuk kita perbaiki dan mencapai kejayaan. Berbeza dengan Konvokesyen di Akhirat pula. Pada saat itu, terhenti segala kegembiraan kerana risau akan perhitungan amal masing-masing. Bagi yang lepas perhitungannya, Syurga menanti. Bagi yang gagal pula, tiada lagi peluang kedua dan akan dicampakkan ke Neraka Jahannam.

Maka, di kala ada yang berseronok dengan Konvokesyen Universiti, hitungilah amal kita dalam menuju Konvokesyen di Akhirat nanti. Jika kita sanggup berhempas pulas untuk mendapat pengiktirafan di Konvokesyen Universiti, pastikan diri kita tidak lalai dalam menghadapi Sang Pencipta di Konvokesyen di Akhirat kelak.

Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment