Monday, December 28, 2009

Bersama - Sama Amar Ma'ruf dan Nahi Munkar

Firman Allah: “Mengapa kamu suruh lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban)mu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat). Maka tidakkah kamu berfikir.” (Al-Baqarah, 2: 44)

Firman Allah: “Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebajikan sedang kamu melupakan diri kalian sendiri.” (Ash-Shaff, 60: 2-3)

Imam Malik meriwayatkan dari Rabi’ah katanya: “Aku pernah mendengar Sa’id bin Jubair mengatakan: “Jika seseorang tidak boleh menyuruh yang ma’ruf dan tidak boleh mencegah kemungkaran sampai pada dirinya tidak terdapat suatu (dosa/cela) apapun, maka tidak akan ada seorang pun yang mahu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.” Beliau terus berkata: “Benar demikian, siapakah orang yang pada dirinya tidak terdapat suatu (dosa) apa pun?”

Ibnu Katsir mengatakan: “Namun seorang ulama dengan keadaan demikian itu tercela kerana meninggalkan ketaatan dan meninggalkan kemaksiatan sedang ia mengetahui dan tindakannya menyalahi perintah dan larangan itu berdasarkan pada pengetahuannya akan hal tersebut. Sesungguhnya orang yang mengetahui tidak sama dengan orang yang tidak mengetahui. Oleh kerana itu, ada beberapa hadith yang memaparkan ancaman keras terhadap hal itu.”

Ibnu Mardawaih meriwayatkan dari Anas bin Malik: “‘Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: “Pada malam aku dinaikkan ke langit (mi’raj), aku melewati beberapa orang yang bibir dan lidahnya dipotong dengan gunting yang diperbuat dari api.’ Kemudian aku tanyakan: ‘Siapakah mereka itu hai Jibril?’ Jibril pun menjawab: ‘Mereka itu adalah para pemberi ceramah dari ummatmu yang menyuruh berbuat baik kepada manusia tetapi melupakan dirinya sendiri.’” (Riwayat Ibnu Majah, Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Mardawaih)

Rasulullah bersabda lagi: “Pada hari Kiamat kelak akan didatangkan sesorang, lalu dicampakkan ke dalam Neraka. Kemudian usus-ususnya terburai dan ia berputar mengitari usus-ususnya itu, seperti keldai mengitari sekitar penggilingannya. Maka para penghuni Neraka pun berputar mengelilinginya seraya berkata: ‘Hai fulan, apa yang menimpa dirimu, bukankah dahulu engkau suka menyuruh kami berbuat kebaikan dan mencegah kami berbuat kemungkaran?’ Ia pun menjawab: ‘Dahulu aku menyuruh kalian berbuat baik, tetapi aku tidak mengerjakannya. Dan melarang kalian berbuat kemungkaran, tetapi aku sendiri mengerjakannya.’” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Seharusnya, ini menjadi muhasabah untuk saya dan semua pendakwah. Andai kita bertungkus lumus menyeru kepada ummat supaya amar ma’ruf dan nahi munkar, seharusnya tidak dilupakan kepada diri sendiri. Contoh, sekiranya kita menggalakkan mad’u supaya rajin melakukan qiamullail, seharusnya kita perlu berganda-ganda berusaha untuk melakukannya. Tetapi, janganlah kerana apabila melakukan sedikit kesilapan, terus tidak mahu berdakwah kepada manusia. Sepatutnya, apabila kita menyeru kepada manusia, di samping itu, kita menjaga diri kita sendiri. Wallahua’lam.


Rujukan:
1) Dr. Abdullah bin Muhammad bin Abdurrahman bin Ishaq Alu Syaikh, “Tafsir Ibnu Katsir (Jilid 1),” Pustaka Imam Asy-Syafi’i, 2008.

Wednesday, December 23, 2009

Demam Cacar

Alhamdulillah, hari ini dapat juga menjejakkan kaki ke pejabat setelah dua minggu bercuti disebabkan penyakit cacar. Masih lenguh-lenguh lagi badan tetapi kerja-kerja banyak yang tertangguh ditambah pula kerja-kerja Master lagi lah bertangguh disebabkan cuti ini. Pendaftaran Master untuk semester kedua pun belum dibuat dengan masa yang kian suntuk. Nak buat macam mana, penyakit yang mudah berjangkit ini, harus dielak untuk bertemu dengan ramai orang. Setahu saya, belum pernah kene cacar ini, demam campak pernahla. Tetapi, ibu cakap pernah kene sewaktu kecil tetapi tak banyakla. Mungkin kali ini demam habis-habisan dan itulah yang diharapkan supaya tidak kene lagi akan datang. Nasib baik juga kene waktu ini, buatnya kene pada ‘waktu-waktu yang penting’ lagi haru biru dibuatnya.

Puas juga saya menjaga cuti sepanjang tahun. Mungkin juga bila timbul rasa sedikit bangga bila tahun ini belum ambil sebarang mc (cuti sakit) lagi, lantas Allah Taala memberikan penyakit ini sebagai peringatan. Siapalah diri ku ini? Aku hanyalah seorang hamba yang tidak mampu mengawal kesihatan diri mahupun musibah yang melanda. Semoga dengan penyakit ini menjadi kafarah dosa-dosa saya selama ini dan terus menjadikan dan menundukkan diri ini sebagai hamba yang bersyukur. Cuma, masih terkilan tak dapat pergi program bersama Yusuf Qardhawi.

Thursday, December 3, 2009

Memahami Jiwa Yang Sensitif

“Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling. Kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (‘Abasa, 80: 1 – 6)

Lebih dari seorang ahli tafsir yang menyebutkan bahawa pada suatu hari, Rasulullah pernah berbicara dengan beberapa pembesar kaum Quraisy dan baginda berharap mereka mahu memeluk Islam. Ketika baginda sedang berbicara dan mengajak mereka, tiba-tiba muncul Ibnu Ummi Maktum, di mana dia merupakan salah seorang yang memeluk Islam lebih awal. Maka Ibnu Ummi Maktum bertanya kepada Rasulullah mengenai sesuatu seraya mendesak baginda. Dan Rasulullah sendiri berkeinginan andai saja waktu baginda itu cukup untuk berbicara dengan orang tersebut kerana baginda memang sangat berharap dan berkeinginan untuk memberi petunjuk kepadanya. Dan baginda bermuka masam kepada Ibnu Ummi Maktum seraya berpaling darinya dan menghadap orang lain.

Apabila saya membaca tafsir surah ‘Abasa ini, tersilap diri andai kita tidak menjaga jiwa atau hati masyarakat di sekeliling kita. Sudah pasti turunnya ayat ini, tidak langsung meragukan kita di atas kredibiliti Rasulullah tetapi menjadi pedoman untuk kita supaya berhati-hati dalam berdakwah terutama ketika menuturkan kata-kata. Bagaimana kalau kita lihat masyarakat kita, agak membelakangkan beberapa kelompok iaitu anak-anak yatim, warga emas dan saudara/i yang baru masuk Islam (mu'alaf). Kelompok-kelompok ini jarang sekali diraikan kecuali pada saat hendak menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Pada waktu-waktu lain seolah-olah mereka ini tidak mendapat tempat di hati masyarakat. Menurut Hamka di dalam Tafsir Al-Azhar, beliau kurang bersetuju dengan menempatkan anak-anak yatim yang masih kecil di rumah anak yatim. Alangkah baiknya, sekiranya mereka ini diambil oleh keluarga tertentu dengan melimpahkan kasih sayang sepenuhnya kepada mereka. Seolah-olah diasingkan dari masyarakat dan ini tidak langsung menyebabkan jiwa mereka sangat-sangat sensitif.

Saya tertarik dengan blog YB Zulkifli Noordin (http://zul4kulim.blogspot.com) yang bertajuk “Mu’alaf Hina?” Beliau menegur di manakah peranan Pusat Zakat dalam membantu golongan seperti ini. Kita tidak mahu berulang kembali kisah Allahyarham Mohd Moorthy Abdullah, pendaki gunung Everest Negara, yang terpaksa menyembunyikan pengislamannya dari keluarganya sendiri hingga ke akhir hayatnya. Bagi saya, ini menunjukkan seolah-olah tiada bantuan dari pihak berkuasa seperti Majlis Agama untuk membantu beliau apabila sudak memasuki Islam. Baru-baru ini, saya ditegur oleh seorang sahabat apabila penuturan kata-kata saya yang berbentuk sedikit gurauan kepada seorang saudara/i baru menyebabkan dia begitu marah kepada saya. Apabila mengingatkan kata-kata tersebut, mungkin boleh diterima oleh ramai orang tetapi tidak bagi mereka yang jiwanya terlalu sensitif. Bagi saya, inilah peluang saya untuk muhasabah diri apabila berjumpa dengan golongan seperti ini. Seharusnya, lebih berhati-hati jika berinteraksi dengan golongan seperti anak yatim, warga emas dan saudara/i baru.

Golongan sebegini harus lebih disayangi, dibantu dan diberikan perhatian yang sewajarnya, bukan disisihkan di sesuatu tempat. Ketika golongan seperti ini tiada tempat untuk berpaut, kita lah yang harus menjadi penaung utamanya seperti kaum Ansar menaungi kaum Muhajirin ketika Hijrah Rasulullah.