Wednesday, July 21, 2010

Subsidi

Mengapa SUBSIDI dikurangkan?
Mereka kata, untuk menjana ekonomi negara...
Mereka kata, supaya beban mereka dapat dikurangkan...
Sedangkan dahulu mereka pernah berkata, 'kami didahulukan....'

Apabila SUBSIDI dikurangkan...
Supaya kami mengambil langkah berjimat cermat...
Supaya kami menjaga kesihatan dengan kurang mengambil gula...
Supaya kami memanfaatkan pengangkutan awam...

Tetapi...
Mereka sendiri yang boros berbelanja...
Mereka sendiri yang bermewah-mewah dalam makanan...
Mereka sendiri sibuk menaiki jet dan kapal selam...
Aduhai, celaka dan munafiq sungguh mereka...

Mengapa SUBSIDI dirampas?
Adakah mereka menganggap kami adalah beban bagi mereka?
Sedangkan gaji minimum kami masih belum diselesaikan...
Sedangkan gaji asas pekerja kilang hanya RM 400 sebulan...
Sedangkan masih ramai lagi di antara kami yang merempat dan berhutang keliling pinggang...
Sedangkan ramai lagi di antara kami yang masih menganggur...
Sedangkan masih banyak rumah kami yang usang menanti rebah...
Sedangkan masih ramai anak-anak kami yang tidak mampu bersekolah...

Sebaliknya...
Mereka sibuk membesarkan istana...
Mereka sibuk melancong dan berbelanja mewah di luar negara...
Mereka sibuk mengagihkan kekayaan sesama mereka...
Mereka sibuk mengumpul kekayaan dan saham jutaan ringgit...
Aduhai, celaka dan munafiq sungguh mereka...

Apabila berbicara tentang SUBSIDI...
Teringat kepada Rasulullah yang bersama para sahabat mengikat perut pada zaman pemboikotan...
Teringat kepada Umar Abd Aziz yang berjaya membasmi kemiskinan dalam tempoh 2 tahun menjadi khalifah...
Teringat kepada Muammar Gadafi yang tinggal di dalam khemah bersama-sama rakyat...

Mengapa mereka tidak mengambil pengajaran daripada tokoh-tokoh tersebut?
Mereka mudah lupa.....

Tuesday, July 20, 2010

Bertemu dan Berpisah

"Ini menantu baru yang kahwin hari tu ye?" tanya seorang pakcik kepada bapa mertua saya sambil bersalam dengan saya. Ketika itu, baru saja selesai kenduri doa selamat dan tahlil saudara bapa mertua saya pada hari Sabtu dua minggu lepas.

"Ya" jawab bapa mertua saya.

"Eh, ini Cikgu Ibrahim kan? Pengetua Sek. Keb. Dato' Bandar Rasah dulu kan?" tanya saya apabila agak mengenali wajah pakcik tersebut.

"Oh, kamu kenal saya. Kamu anak siapa ni? Anak Ustaz Abid?" tanya Cikgu Ibrahim yang merupakan pakcik tadi.

"Tidak. Itu bapa saudara saya.  Ya, cikgu jadi pengetua ketika saya Darjah 6." balas saya.

"Oooo....itu 14 tahun yang lepas. Saya tinggal di sini, di rumah murah Linggi." jawab Cikgu Ibrahim seperti seronok bertemu dengan bekas anak murid dia.

Ketika itu, hati saya agak seronok dan seperti tidak percaya berjumpa dengan beliau. Bahkan bapa mertua saya pun tersenyum mendengar perbualan kami. Saya yakin, beliau sendiri mesti seronok apabila bekas anak murid 14-15 tahun dahulu menegur beliau.

Tetapi, pagi Ahad yang baru ini, bapa mertua telefon mengkhabarkan bahawa Cikgu Ibrahim dan isteri meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada Sabtu petang yang turut disiarkan di akhbar. Saya sempat ke rumah dia tetapi tidak sempat menatap wajahnya.

Bagaikan terkejut apa yang berlaku. Baru seminggu bertemu, akhirnya tempoh pertemuan kami tidak panjang. Tidak sempat untuk saya bersilaturrahim dengan beliau, akhirnya beliau pergi dulu mengadap Rabb. Meskipun beliau tidak pernah mengajar saya di kelas, tetapi sedikit sebanyak, banyak perkara yang boleh saya contohi darinya. Bahkan, ibu dan abah saya juga yang mengenali beliau turut mengatakan bahawa beliau seorang guru yang baik.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah Cikgu Ibrahim Bachik dan isteri. Semoga kamu damai di sana, Insya Allah. Al-Fatihah...

Sunday, July 11, 2010

Manusia Semakin Tidak Sabar

Kemungkinan pengaruh akibat pertaruhan bola sepak, minda manusia termasuklah orang Melayu masih terus dibelenggu atau dijajah. Sehinggakan, manusia yang diciptakan Allah sebaik-baik kejadian masih dan terus mempercayai kepada perkara-perkara tahyul.

Firman Allah: "Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya." (At-Tin, 95: 4)

Jika dulu, kepercayaan kepada bomoh dan dukun amat menular dalam masyarakat kita bahkan hingga ke hari ini, pengaruhnya masih ada. Cuma yang lucunya, sempena Piala Dunia 2010 kali ini, tiba-tiba manusia beralih arah kepada kepercayaan kepada binatang-binatang yang jelas kejadiannya tidak sehebat manusia. Kononnya, si sotong kurita 'Paul' dan burung nuri 'Mani' mampu membuat ramalan tepat siapakah pemenang sesuatu perlawanan dan pasukan manakah akan menjulang Piala Dunia kali ini. Adakah anda percaya? Tak habis-habis sindrom Piala Dunia ini mengganggu pemikiran masyarakat kita.





Andai tepat sekalipun ramalannya, mungkin itu adalah kebetulan. Usahlah kita mendewa-dewakan si 'Paul' dan si 'Mani' tu seperti makhluk yang hebat. Janganlah kita percaya dan membawa amalan-amalan khurafat dan tahyul dalam masyarakat kita. Boleh jadi, ini juga adalah amalan sihir yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk mendapatkan keuntungan.

Firman Allah: "Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka, jauhilah itu agar kamu beruntung." (Al-Ma'idah, 5: 90)

Bagi saya, mereka manjadikan kepercayaan tahyul ini supaya menang dalam pertaruhan bola sepak. Itu sebabnya, manusia menjadi tidak sabar untuk mengetahui siapakah pemenang sesuatu perlawanan hatta perlawanan belum lagi berlangsung. Janganlah kerana ketidaksabaran tersebut menjadikan manusia mensyirikkan Allah dan mempertuhankan amalan-amalan tahyul.

Thursday, July 8, 2010

Piala Dunia 2010




Piala Dunia 2010 sudah menghampiri kemuncaknya. Meskipun Malaysia tidak layak ke Piala Dunia, rata-rata masyarakat kita cukup menghayati suasana Piala Dunia seperti mana kejohanan sebelum ini. Lihat saja di kedai-kedai mamak, penuh dengan peminat bola. Kesian dengan pemilik restoran, pengunjung duduk hingga 2-3 jam semata-mata untuk menonton perlawanan sedangkan hanya minum teh tarik dan roti canai.

Kejohanan Piala Dunia kali ni, rasanya, tidak saya hayati secukupnya, mungkin itu yang dilemparkan kepada saya oleh peminat fanatik bola disebabkan tiada satu pun perlawanan yang saya tonton keseluruhannya. Jika dulu, saya adalah antara orang cukup minat menonton Piala Dunia atau Kejohanan Euro tidak kira masa, tetapi tidak lagi sekarang. Seorang kerani wanita di kilang saya bercerita, dia sanggup bersengkang mata untuk melihat pasukan pilihannya Brazil beraksi. Meskipun, dia adalah seorang isteri kepada seorang lelaki dan seorang ibu kepada beberapa orang anak, namun pengorbanannya kepada bola sepak tidak dapat disangkal lagi.

Meskipun saya tidak menonton perlawanan yang disiarkan tetapi sempat mengambil tahu tentang keputusan dan perkembangan yang berlaku dalam Piala Dunia kali ini. Seperti kebiasaan pada sesuatu kejohanan besar, sudah pasti ada pasukan dan nama-nama besar yang menjadi sebutan dan sanjungan. Tidak kurang juga, pasukan dan nama-nama besar yang kecundang dan menjadi cacian penyokongnya. Sebagai contoh, runtuhnya Perancis dan Itali yang merupakan finalis 2006 pada peringkat kumpulan. Itulah sunnah atau kebiasaan dalam sesebuah kejohanan besar.

Mengikuti perlawanan Piala Dunia tidak hanya menimbulkan keseronokan menontonnya tetapi jika dilihat dari segi hak asasi manusia, ianya jelas meruntuhkan moral masyarakat sehingga ada yang terlibat dengan pertaruhan dan perjudian bola sepak. Bukannya sedikit jumlahnya, bahkan mencecah jutaan dan berbillion ringgit. Lebih parah lagi, ada golongan yang menghalalkan aktiviti perjudian tersebut dengan alasan untuk mendapatkan keuntungan daripada aktiviti tersebut. Kalau begitu, lebih baik dihalalkan sahaja perzinaan untuk menambah bilangan penduduk di Malaysia ini dengan cepat tanpa perlu akad nikah, kenduri kahwin dan kursus kahwin. Bagaimana, setuju?? Bukan itu sahaja, Piala Dunia ini juga berjaya melenyapkan isu Palestin dari bualan masyarakat. Baru sahaja, dalam sebulan atau dua bulan lepas kita berdemo membantah serangan Israel laknatullah ke atas kapal pengaman LL4G, kini isu tersebut hanya kembali asing dalam masyarakat disebabkan keseronokan Piala Dunia. Inilah salah satu sarana Ghazwul Fikri yang berjaya manjauhkan orang Islam dari mengingati Allah dan ikhwah dan akhwat di Palestin.

Sama-samalah kita muhasabah diri....

Thursday, July 1, 2010

Usah Gelisah Apabila Kehilangan Mad'u

Firman Allah: "Dan katakanlah, 'Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.'" (At-Taubah, 9: 105)

Apabila kehilangan mad'u yang mungkin merupakan musibah bagi seorang dai'e, kita harus faham bahawa itu adalah normal dalam sebuah perjuangan. Munculnya seorang mad'u baru ataupun gugurnya seorang mad'u adalah di luar kemampuan seorang dai'e, tetapi itu adalah hidayah atau pemberian dari Allah.

Firman Allah: "Barang siapa dikehendaki Allah akan mendapat hidayah, Dia akan membukakan dadanya untuk (menerima) Islam. Dan barang siapa dikehendaki-Nya menjadi sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak....." (Al-An'am, 6: 125)

Sebaik-baiknya, kita hendaklah sentiasa merendah diri dengan sentiasa muhasabah diri agar dosa-dosa yang kita lakukan tidak menjadi asbab mad'u kita menjauhi dakwah yang kita sampaikan. Lihat sahaja contoh yang dipaparkan dalam Al-Quran mengenai Nabi Muhammad, Nabi Musa dan Nabi Nuh yang sering merendah diri dan mengadu hal dakwah baginda kepada Allah. Itulah contoh terbaik yang boleh kita ikuti

Maka, bekerjalah dan beraktiviti secara baik dan benar, bukannya menuntut hasil. Yang hilang, pastilah ada gantinya. Memberi mestilah dengan kasih sayang. Tanpa kasih sayang, memberi adalah beban dan benci.