Monday, June 6, 2011

Jenama dan Pelaksanaan

Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, “Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan.”

Kenyataan yang betul-betul menarik dan saya amat setuju dengannya. Bukan sibuk pada jenama tapi pelaksanaan. Sesetengah organisasi dakwah, suka betul pada jenama bahkan ada yang cukup taksub pada jenama atau nama organisasi. Hinggakan, berhabisan duit dan tenaga untuk memperkenal jenama tersebut dengan program umum supaya lebih dikenali ataupun nampak lebih gah dari jenama yang lain. Kononnya, jenama atau jemaah mereka adalah yang terbaik manakala jemaah lain tidak sehebat mereka. Bagaimana pula dengan sistem usrah dan tarbiyyah? Adakah berhabisan juga dan all out juga dakwahnya? Adakah pelaksanaan segah pada jenama yang dipromosikan?

Kadang-kadang perlu muhasabah diri, adakah sesetengah dai'e sekarang lebih sibuk memantapkan dakwah dan tarbiyyah ataupun lebih suka promosi bahawa merekalah Ikhwanul Muslimin, merekalah PKS dan mereka jugalah HAMAS. Usah menjadi orang yang cepat perasan. Apalah rupanya berbangga kononnya mereka adalah Ikhwanul Muslimin tetapi pada realitinya, sistem usrah dan tarbiyyah hancur, hanya sibuk pada program umum sahaja. Adakah ini yang diajarkan oleh Rasulullah dan adakah ini yang ditunjukkan oleh As-Syahid Hasan al-Banna?

Menurut As-Syahid Abdullah Azam, gerakan ataupun harakah Islam di serata dunia adalah diibaratkan sebagai beberapa batang sungai yang akan terus mengalir dan akan bercantum kesemuanya di penghujungnya. Matlamatnya sama, Insya Allah untuk menegakkan Islam di muka bumi ini. Jadi, apa yang hendak disibukkan dengan jenama ataupun cawangan jemaah mana sekalipun? Tidak kisah la sama ada PAS, IKRAM, ISMA, Haluan, Hizbut Tahrir atau jemaah apa pun, tiada gunanya jika yang disibukkan adalah jenama bukannya pelaksanaan. Lebih malu jika mengaku mereka diiktiraf Ikhwanul Muslimin, sedangkan tiada gerak kerja atau pelaksanaan usrah dan tarbiyyah yang seolah-olah menipu dan menzalimi ahlinya. Jika benar-benar golongan ini yang diiktiraf, maka, yang memberi pengiktirafan juga ditipu.

Ikhwah dan Akhwat sekalian,
Di dalam era tarbiyyah, marhalah takwin dan tanfiz cukup-cukup penting untuk dilakukan untuk menjamin keberlangsungan tarbiyyah dan pembentukan seorang dai'e dan muslim yang mantap manakala marhalah ta'rif merupakan batu loncatan kepada kedua-dua marhalah yang disebutkan tadi. Insya Allah, akan saya huraikan secara terperinci tentang marhalah dakwah ini pada entry yang akan datang. Jika sesebuah jemaah dakwah hanya memandang pada marhalah ta'rif tetapi kurang menekankan marhalah takwin dan tanfiz, maka, mana mungkin ahli-ahlinya ditarbiyyah dengan cukup mantap. Maka, lahirlah golongan yang sibuk berprogram umum sebanyak mungkin untuk meramaikan ahli, namun dari segi penyusunan usrah entah bagaimana. Dilihat hebat Islam itu pada luaran atau pada kulit tetapi di dalam atau isinya, mungkin sedikit ataupun mentah.

Ikhwah dan Akhwat sekalian,
Ayuh, kita kembali kepada manhaj kita iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Buka balik buku sirah dan teliti bagaimana cara Rasulullah berdakwah dan cara Baginda membentuk para sahabat. Rasulullah sebenarnya lebih mementingkan pelaksanaan dan gerak kerja dakwah bukan pada jenama semata-mata. Jika kita mahu Islam kembali gemilang dan dakwah kembali rancak, ikutlah cara Rasulullah dan tinggalkan cara-cara merepek yang banyak meresapi jemaah dakwah sekarang.

Ikhwah dan Akhwat sekalian,
Kita sekarang berdepan tugas yang sangat berat. Maka, bertindaklah mengikut manhaj yang benar dan tepat mengikut acuan Rasulullah dan bukannya bertindak membabi buta.

Wallahua'lam..

No comments:

Post a Comment